Opinion

Calon boleh menang MCA untuk PRU 13: Siapakah yang layak?

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

23 OGOS — Sekitar awal Januari tahun ini, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ketika menyampaikan syarahan di S. Rajaratnam School of International Studies, dipetik sebagai berkata bahawa Barisan Nasional (BN) dijangka akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 dengan undi majoriti yang lebih besar.

Pada masa yang sama, beliau juga meramalkan pengundi akan kembali memilih BN pada PRU 13 selepas mencuba pembangkang pada 2008. Dalam satu majlis yang berasingan pula, Soi Lek juga dengan penuh yakin meramalkan Selangor akan kembali ke pangkuan BN.

Keyakinan Dr Chua itu ada asasnya.

Apa tidaknya, kenaikan pemimpin baru Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 dan ketidaksepakatan dalam kalangan parti pembangkang meyakinkan beliau bahawa "feel good factor" akan memberi kelebihan kepada BN, sama seperti mana yang dialami oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada PRU 2004.

Setahun selepas dilanda pergolakan yang hampir melumpuhkan parti, MCA kini seolah-olah dilihat sudah kembali stabil di bawah kepimpinan Soi Lek dan perpecahan yang berlaku sebelum ini kini memberi laluan kepada perpaduan.  Sekurang-kurangnya gambaran itu yang kita dapat lihat dalam tempoh terdekat ini.

Dari aspek luarannya, persepsi yang cuba ditonjolkan itu amat positif untuk MCA tetapi ada ketikanya, persepsi yang ditonjolkan itu tidak semestinya mencerminkan keadaan yang sebenarnya. Bercakap besar memanglah mudah dalam konteks ini. Pemimpin parti komponen akan melontarkan apa sahaja yang positif untuk memberikan persepsi baik dalam media. Mereka sedar bahawa permainan persepsi adalah medan pertempuran yang akan menentukan menang kalahnya dalam PRU nanti.

Yang pastinya, satu hakikat yang mungkin tidak dapat dielakkan adalah jangka hayat MCA bakal ditentukan oleh senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Pengalaman pahit dalam PRU 2008 yang menyaksikan MCA tewas teruk ibarat kepingan domino, menjadikan proses tapisan dan pemilihan calon-calon MCA kali ini lebih signifikan dan mendapat tumpuan ramai.  Ternyata, cabaran yang menanti MCA kali ini jauh lebih genting. Isu kredibiliti Presiden MCA, persepsi umum bahawa MCA sebuah parti yang tidak bertaring dan paras sokongan masyarakat Cina yang kekal rendah sekitar 20 peratus tidak akan memberikan banyak ruang kepada pucuk kepimpinan parti untuk bergerak. Masalah demi masalah yang timbul  hanya akan meletakkan MCA dalam keadaan defensif sekaligus menjejaskan tumpuan untuk memperbaiki imej parti.

Pucuk kepimpinan parti perlu belajar daripada kesilapan PRU 2008 dengan cepat jika ingin terus hidup dalam persada politik yang makin bercelaru ini. Jika pada 2008, kekalahan teruk pada PRU merupakan amaran awal kepada parti itu untuk berubah, pada PRU 13 nanti tidak akan ada lagi amaran kepada MCA. Yang ada hanyalah bahang amarah dan tempias yang meluap-luap terhadap parti berkenaan. Tidak hairan mengapa Soi Lek menyifatkan PRU 13 ini adalah perjuangan hidup mati untuk MCA.

Ketika ini, sudah kedengaran dalam kalangan pemerhati politik dan dunia siber bahawa parti komponen kedua terbesar dalam BN dijangka kehilangan beberapa lagi buah kerusi Parlimen lantaran mengecilkan lagi representasi MCA dalam Kabinet.

Hingga ke saat ini, tarikh PRU 13 masih menjadi tanda-tanya. Namun begitu, ketidakpastian itu tidak sekalipun menghalang mereka yang berkepentingan untuk melobi tiket sebagai calon PRU nanti. Masing-masing akan mengetengahkan kelebihan dan keazaman mereka untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Mereka juga dengan penuh megah mengisytiharkan diri mereka sebagai pilihan terbaik.

Untuk itu, apakah Presiden MCA memilih untuk meletakkan calon yang berwibawa, berintegriti, calon boleh menang ataupun sekadar menjadi pak turut? Apakah maksud sebenar Soi Lek mengenai calon boleh menang itu? Adakah calon-calon yang benar-benar berkaliber, yang berupaya memenuhi aspirasi rakyat ataupun calon boleh menang itu harus datang dari fraksinya sahaja? 

YAB Perdana Menteri baru-baru ini sudah memberikan mesej jelas kepada parti komponen bahawa populariti seseorang calon tidak semestinya menjamin pencalonan mereka. Sebaliknya, keupayaan untuk menang dan diterima baik rakyat akan menjadi pertimbangan utama. Melihat kepada kenyataan PM itu, dapatlah kita simpulkan bahawa beliau sedang menghantar mesej tersirat kepada pucuk kepimpinan parti komponen untuk berubah. Presiden MCA barangkali berhadapan tugas getir jika beliau memilih calon yang bercanggah dengan apa yang disarankan oleh PM.

Salah satu spekulasi yang mewarnai politik MCA sejak sekian lama ialah mengenai kedudukan dua calon heavyweight MCA iaitu Ahli Parlimen Pandan, Dato' Sri Ong Tee Keat untuk kerusi Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan. Desas-desus yang kedengaran ketika ini ialah kedua-dua pemimpin berkenaan berkemungkinan besar tidak akan dicalonkan semula.

Mengapakah Tee Keat dan Ka Chuan berkemungkinan tidak dicalonkan semula? Semua sedia maklum bahawa mereka berdua bukan dari kem Soi Lek dan sebarang usaha untuk memberikan "nyawa" kembali kepada mereka hanya akan menggugat kedudukannya. Perlu ditekankan di sini sokongan yang diperolehi Soi Lek pada Mesyuarat Agung Luar Biasa pada 28 Mac 2010 berjumlah 901 undi hanya mewakili 37.5 peratus undi yakni 1/3 perwakilan sahaja.

Jika benarlah desas-desus tersebut, maka sudah pasti ia akan mencetuskan kemarahan pengikut kedua-dua pemimpin itu. Dengan ketiadaan kedua-dua seteru politiknya itu, maka usaha untuk mengukuhkan kekuasaan dalam parti tampaknya mudah. Tetapi dalam politik MCA yang penuh dengan fraksi, percubaan itu mungkin lebih mudah untuk diperkatakan daripada dilaksanakan.

Tee Keat sebagai contohnya mempunyai rangkaian akar-umbi yang kuat di Pandan. Beliau disukai oleh masyarakat berbilang kaum di Pandan kerana kesungguhan untuk berkhidmat kepada rakyat. Ajukan soalan ini kepada penduduk-penduduk di sana dan anda akan mendapat maklumbalas yang serupa. Saban minggu, beliau kelihatan di kawasan Parlimen dengan menganjurkan aktiviti kemasyarakatan seperti klinik bergerak, sesi dialog dengan penduduk setempat, dan berinteraksi dengan golongan belia.

Yang pasti, beliau bukanlah calang-calang calon yang boleh diketepikan begitu sahaja. Beliau adalah merupakan Ahli Parlimen selama lima penggal (MP Ampang Jaya dan sekarang Pandan). Ketika ini juga, Tee Keat merupakan MP tunggal dari MCA di Selangor.

Barangkali, sebarang cakap untuk menggantikan beliau dengan calon lain berkemungkinan akan memakan diri sendiri. Pada 2008 umpamanya, beliau terselamat daripada tsunami politik yang melanda negara ketika itu. Pada ketika, rakan-rakan seperjuangan dalam parti seperti Datin Paduka Chew Mei Fun dan Datuk Donald Lim Siang Chai semuanya tumbang kepada pembangkang, Tee Keat berjaya menumpaskan pesaingnya dari PKR dengan undi majoriti yang selesa.

Kejayaan Mantan Presiden MCA itu pada PRU 12 membuktikan bahawa pengundi  menyokong Tee Keat bukan kerana beliau dari MCA tetapi kerana beliau seorang pemimpin yang “walk the talk” dan berkhidmat kepada semua rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia. Malah terdapat seruan oleh penduduk dan pembaca blog yang merasakan Tee Keat mempunyai peluang menang yang tinggi jika bertanding atas tiket calon bebas.

Persoalan paling utama sekarang ialah siapakah yang akan menggantikan Tee Keat di Pandan seandainya beliau tidak dicalonkan kembali? Dan apakah percaturan beliau selepas ini?  Adakah MCA akan memutuskan untuk meletakkan calon tempatan di Pandan ataupun sebaliknya?

Sumber-sumber yang diperolehi penulis menunjukkan bahawa penduduk setempat di sini masih menyokong kuat kepimpinan Tee Keat. Dalam kunjungan penulis ke Pandan baru-baru ini, kelihatan sepanduk dan poster dipasang di merata tempat rata-ratanya dari penduduk dan NGO yang mahukan beliau dikekalkan di Pandan.

Bagaimana pula dengan Ka Chuan? Adakah beliau akan terus mendiamkan diri dengan perkembangan terbaru ini? Mungkinkah pengaruh Tan Sri Ong Ka Ting, akan memainkan peranan dalam percaturan politik Ka Chuan?

Soi Lek sudah pasti tidak mahu mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh Presiden MCA sebelum ini.  Adalah tidak mustahil jika kesilapan Soi Lek dalam mengatur percaturan terutamanya mengenai barisan calon untuk PRU boleh menyalakan kembali konflik dalaman parti.

Sekadar menang 15 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU 12, jangan terkejut jika MCA akan mengalami kehilangan beberapa buah kerusi jika konflik dalaman serta kesepaduan dalam parti tidak ditangani dengan baik.

Apakah kesudahannya? Sama-samalah kita nantikan.

* Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Comments