Opinion

Debat Soi Lek-Guan Eng: Antara emosi dan realiti

FEB 26 — Pernahkah anda menghadiri sesi perdebatan yang mengetengahkan pemimpin politik dari kedua-dua belah pihak, pembangkang mahupun kerajaan? Apakah topik yang dibincangkan dalam sesi debat itu? Bagaimanakah sambutan yang diberikan oleh mereka yang hadir? Adakah ia mencapai matlamat yang dimahukan? Jika anda belum berbuat demikian, usah melihat terlalu jauh. Penganjuran debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada petang Sabtu lalu di Hotel Berjaya Times Square boleh memberi bayangan kepada seluruh rakyat Malaysia bagaimanakah suasana sebenarnya sesuatu acara debat membabitkan pemimpin politik. 

Apabila membabitkan pemimpin politik lebih-lebih lagi daripada dua parti politik yang berseteru, sudah pasti suasananya adalah panas. Cuma bahang kepanasan itu tidaklah sampai ke tahap bercakaran sesama sendiri. Dalam konteks ini juga, media-media tempatan terutamanya media yang proparti masing-masing menyajikan pelbagai analisis dan laporan dari segala sudut bagi mewajarkan kelebihan pemimpin tertentu. Ada yang menyifatkan Soi Lek sebagai pemenang utama dalam debat itu memandangkan beliau berjaya menjawab segala persoalan yang dilontarkan Guan Eng dengan tenang. Tidak kurang juga, segelintir pihak yang melihat Guan Eng sebagai pemenang sebenar memandangkan inilah kali pertamanya beliau mendapat liputan meluas daripada semua media tempatan. Sudah tentu peluang keemasan yang diperolehnya tidak mahu dipersiakan begitu sahaja. Dan ternyata peluang keemasan itu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh beliau apabila melabel MCA sebagai parti yang tidak berani bangun terhadap Umno. 

Boleh dikatakan acara debat antara Soi Lek dan Guan Eng pada petang Sabtu lalu merupakan peristiwa penting yang pernah berlaku dalam konteks politik Cina di negara ini. Maklumlah acara perdebatan sebegini jarang-jarang sekali berlaku dalam pentas politik apatah lagi usaha membawa mereka ke pentas awam. Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama acara perdebatan terbuka dianjurkan di khalayak. 

Beberapa tahun lalu, pernah dianjurkan satu debat terbuka melibatkan Guan Eng dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang mengupas mengenai isu-isu semasa. Kira-kira 20 tahun yang lampau juga, acara debat sekali lagi membabitkan Guan Eng dengan Ketua Pergerakan Pemuda MCA masa itu, Ong Tee Keat pernah diadakan tetapi sesi berkenaan berlangsung selama dua hari dua malam. 

Sekalipun jangkaan masyarakat Cina terhadap perjalanan debat kali in tidaklah setinggi mana (hanya penyokong parti yang berfikiran sebaliknya), rata-ratanya mengharapkan sesi debat itu dapat dijalankan dalam suasana setiakawan yang sejati. Malangnya, apa yang diharap-harapkan oleh masyarakat Cina terhadap debat itu jelas tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, keazaman untuk mempertahankan ego serta maruah oleh kedua-dua pemimpin itu mengatasi segala-galanya. 

Sebuah pentas yang sepatutnya dimanfaatkan untuk membahaskan sesuatu yang berguna untuk rakyat, kemudiannya dijadikan sebagai medan untuk menghentam lawan politik masing-masing. Walau apapun yang diperkatakan oleh kumpulan penyokong kedua-dua pihak mengenai kemenangan pemimpin mereka, debat antara Soi Lek dan Guan Eng itu tidak mencapai matlamat yang disasarkan. 

Kekurangan itu cukup ketara daripada pelbagai sudut baik dari segi kualiti perdebatan, format debat, medium untuk menyampaikan debat serta emosi penyokong yang dilihat agak emosional. Dari wisel permulaan lagi, jelas kelihatan Soi Lek dan Guan Eng tidak begitu berminat untuk terikat dengan tajuk debat iaitu “Masyarakat Cina Di Persimpangan: Adakah Sistem Dua Parti Akan Menjadi Sistem Dua Kaum?” 

Soi Lek umpamanya bertalu-talu membidas DAP kerana bersekongkol dengan PAS dalam kontroversi hukum Hudud dan kegagalan mereka untuk “stand-up” terhadap PAS. Guan Eng pula menggunakan kesempatan medan debat itu untuk menyerang kredibiliti MCA yang dikatakan menjadi pak turut kepada Umno. Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menggunakan platform sedia ada itu untuk menjelaskan kepada mereka yang hadir bahawa perubahan adalah cukup penting dalam menyelamatkan Malaysia. Jelas, hujah-hujah yang diketengahkan oleh Soi Lek dan Guan Eng nampaknya lebih cenderung untuk meraih mata politik dan menambat hati pengundi-pengundi Cina. Mereka sedar inilah medan terakhir untuk meyakinkan pengundi-pengundi bahawa parti merekalah yang paling layak mewakilinya kerana PRU13 berkemungkinan besar akan diadakan pada Jun tahun ini (itu menurut ramalan yang dibuat oleh segelintir penganalisis). 

Tatkala kem Soi Lek dan MCA menuduh Guan Eng tidak menjawab banyak persoalan yang dikemukakan pada sesi debat itu, perkara sama boleh ditujukan kepada Presiden MCA. Misalnya soalan Guan Eng mengenai skandal PKFZ dan keberanian MCA untuk “stand-up” terhadap Umno tidak dibalas secara langsung oleh Soi Lek. Sebaliknya, Soi Lek memilih untuk menjawab pertanyaan tersebut dengan melontar kembali soalan balas kepada Guan Eng. 

Dalam soal balas terhadap soalan sama ada MCA berani untuk “stand-up” terhadap Umno, Soi Lek mencabar DAP kembali sama ada mereka berani untuk mencabar PAS. Di mata penyokong-penyokong Soi Lek, mereka menganggap Soi Lek sebagai seorang pemimpin yang kental dan berani namun tindakan untuk tidak menjawab soalan-soalan panas itu secara tuntas memberi bayangan kepada kita bahawa ada sesuatu yang tersirat di sebalik keengganan beliau untuk menjawab isu-isu kritikal itu. Sekali pandang, suasana acara debat Soi Lek-Guan Eng masih ada banyak kepincangannya. 

Dari aspek kawalan penyokong umpamanya, ternyata penyokong-penyokong MCA begitu ghairah setiap kali Soi Lek menghentam Guan Eng. Ada yang kelihatan melambai-lambaikan sepanduk yang tertera dengan nama MCA manakala segelintir lain pula bertepuk keriangan seolah-olah mereka sudah menang sesuatu pertandingan. Oleh sebab bilangan penyokong MCA dikatakan lebih ramai daripada penyokong DAP, maka tepukan dan sorakan parti itu tidak begitu kedengaran. 

Namun apa yang paling mengecewakan sepanjang sesi debat itu ialah gelagat si penanya semasa sesi soal-jawab. Amat ketara bahawa kebanyakan soalan yang diajukan oleh si penanya nampaknya berbaur emosi. Soalan-soalan yang dikemukakan secara keseluruhannya memfokuskan kepada kegagalan Guan Eng untuk menunaikan janji kepada penduduk di Pulau Pinang. Bukankah isu yang ingin dibincangkan pada hari tersebut lebih menjurus kepada adakah kewujudan sistem dua parti akan membawa kepada sistem dua kaum? Tidakkah soalan-soalan sedemikian sudah jauh menyimpang daripada tajuk asal? 

Mana-mana pihak yang ingin menggunakan sesi debat itu sebagai peluang untuk menghentam lawan, harus diingatkan mengenai matlamat sebenar penganjuran debat itu. Biar pun datang dari parti dan ideologi yang berbeza sekalipun, itu tidak bermakna prinsip-prinsip tertentu perlu diabaikan. Pendek kata, kepada mereka yang terlibat — berdebatlah secara rasional, mengikut tajuk dan fakta bukannya dibelenggu dengan emosi. Jika inilah keadaannya, apakah ada jaminan bahawa debat kedua melibatkan pemimpin yang sama pada Mac ini akan berakhir dengan kesudahan yang serupa? Kalau ketetapan yang mudah begini tidak dapat dipatuhi, pihak penganjur boleh melupakan terus untuk menganjurkan siri debat di masa hadapan. 

Penganjuran acara debat pada amnya bertujuan untuk mengupas sesuatu isu berbangkit secara menyeluruh dengan harapan untuk mencari jalan penyelesaiannya, bukannya untuk mencari kesalahan orang lain. Lebih penting lagi, penganjuran debat sedemikian merupakan platform terbaik buat rakyat untuk menilai sendiri kehebatan dan keazaman pemimpin dan parti politik mereka dalam memperjuangkan nasib mereka. 

Adalah menjadi harapan semua agar pusingan kedua debat antara Soi Lek dan Guan Eng pada Mac ini akan berlangsung dalam suasana yang lebih harmonis. Tidak ada lagi kekecohan dan gelagat murahan yang cuba dicetuskan. Kepada si penanya, tanyalah soalan-soalan yang bernas yang mencabar minda. Format debat juga harus diubah suai sementara penganjuran debat di lokasi yang terlalu besar wajar dinilai semula. Yang pasti, budaya berdebat sebegini harus diteruskan kerana melalui perdebatan sebegini, idea-idea bernas dapat dijana. Saya akan menanti pusingan kedua debat Soi Lek dan Guan Eng dengan penuh antisipasi. 

* Segala pandangan yang diberikan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Comments