Opinion

Jangan nafi calon pilihan rakyat

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

24 FEB ―Teka-teki mengenai status sebenar Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-13 di Pandan kian berserabut.

Ini kerana, sidang akhbar yang dianjurkan oleh MCA Pandan pada petang Jumaat lalu bagi memberi gambaran sebenar isu berkenaan menimbulkan lebih banyak tanda-tanya.

Kenyataan MCA Pandan bahawa mereka belum memutuskan calon yang akan bertanding di Pandan pada PRU 13 nyata bercanggah dengan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang secara terbuka mengumumkan seorang peguam, Gary Lim sebagai calon MCA.

Lebih menghairankan, lima ahli jawatankuasa MCA Pandan iaitu Tan Chuan Yong, Leong Siew Kam, Chung Mun Hing, Lee Fook Seng dan Lee Cheing Fong mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai sebarang keputusan untuk tidak mencalonkan semula Tee Keat.

Penafian oleh kelima-lima pemimpin itu bagaimanapun ditempelak oleh Gary sendiri yang menegaskan enam nama calon termasuk Tee Keat telah diserahkan kepada Soi Lek untuk pertimbangan.

Jelas, beberapa kenyataan yang dikeluarkan agak lemah dan tidak begitu meyakinkan. Ketidakhadiran beberapa pemimpin utama dalam sidang akhbar berkenaan termasuk Ketua Divisyen MCA Pandan, Ong Chen Huing turut membayangkan ada sesuatu yang tidak kena dengan MCA Pandan.

Ternyata dari satu sudut, sidang akhbar yang berlangsung tempoh hari tidak lebih daripada menjawab persoalan pada permukaan sahaja. Banyak persoalan tidak dijawab dan kalangan pemimpin yang hadir memilih jalan selamat agar tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Malah, kenyataan Ketua Pemuda MCA Pandan, Chong Sin Woon bahawa mereka akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana  calon yang mendapat restu dan dicalonkan oleh pucuk kepimpinan MCA dan BN secara tidak langsung memberi bayangan jelas terhadap pendirian mereka dalam hal ini.

Hakikatnya, nasib Tee Keat sebagai calon BN di Pandan ibarat telur di hujung tanduk. Hanya Perdana Menteri sahaja yang boleh campur tangan dan menyelamatkan beliau. Jika kita menganalisa riak wajah Tee Keat pada sidang medianya beberapa hari lalu, beliau kelihatan yakin dan tenang. Apa tidaknya, senario yang dihadapinya sekarang pernah terjadi.

Contohnya pada 2010 ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor, Najib memilih P. Kamalanathan sebagai calon untuk kawasan berkenaan dan ternyata percaturan itu berjaya. Mungkinkah sejarah akan berulang?

Perdana Menteri sebelum ini menegaskan, beliau mahukan calon boleh menang (winnable candidate) untuk PRU kali ini. Soalan saya kepada Soi Lek…apakah Tee Keat bukan seorang calon boleh menang? Apakah seorang pemimpin yang mendapat sokongan daripada masyarakat berbilang kaum dan berkhidmat selama lima penggal bukan calon yang berpotensi?

Apakah kriteria calon boleh menang dari perspektif Soi Lek? Apakah pengumuman terbuka bagi menyokong Gary satu keingkaran terhadap suara hati rakyat Pandan yang ternyata lebih memihak kepada Tee Keat?

Apapun, jika keadaan sedia ada kekal, ia jelas satu kerugian besar buat MCA dan BN. Jika inilah mesej yang ingin disampaikan oleh Soi Lek kepada pengundi bahawa ego adalah lebih penting daripada suara hati rakyat, maka peluang untuk mengekalkan Pandan pada PRU akan datang kian goyah.

Lebih-lebih lagi, calon daripada pakatan pembangkang yang akan diturunkan pula ialah Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli… seorang pemimpin muda yang meningkat naik.

Sama ada akan bertanding di bawah tiket BN, Bebas ataupun pembangkang, Tee Keat sahaja yang mempunyai jawapannya. Jika Tee Keat pada akhirnya memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas, beliau tidak perlu gusar mengenai kesudahannya.

Barangkali, jika ada pihak yang meragui kebolehan calon Bebas, usah toleh terlalu jauh kerana dalam BN sendiri, ada seorang pemimpin iaitu Datuk Shahrir Samad yang pernah melakarkan kejutan ketika bertanding sebagai calon Bebas di Johor Baru.

Mungkinkah Tee Keat dapat mengulangi kejayaan seperti yang pernah dilakukan oleh Shahrir Samad?

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

 

Comments