Opinion

Kematian Muammar Gaddafi. Siapa mangsa seterusnya?

23 OKT — Selama 42 tahun Libya diperintah oleh seorang pemimpin yang menggelarkan dirinya  “Raja Segala Raja”, Muammar Muhammad Abu Minyar al-Gaddafi atau ringkasnya Muammar Gaddafi. 

Selama lebih empat dekad lamanya, pelbagai dasar dan ideologi diterapkan dalam segala pelosok kehidupan penduduk Libya. 

Ke mana sahaja penduduk pergi, pengaruh, suara serta bayangan Gaddafi ada di mana-mana. Dari Bandar Tripoli ke Misrata, Benghazi hinggalah ke kampung kelahirannya di Sirte, gambar Muammar pemimpin Arab yang paling lama memerintah menghiasi lanskap bangunan. 

Libya seolah-olah begitu sukar dipisahkan daripada Gaddafi. Tidak salah untuk mengatakan bahawa Libya adalah Muammar dan Muammar adalah Libya. Beliau bukan sekadar seorang politikus sembarangan dalam persada politik antarabangsa, statusnya lebih daripada itu yakni sebuah institusi yang menggerunkan. 

Justeru, apabila berita mengenai kematian Muammar tersebar luas tempoh hari, seluruh rakyat Libya bertepuk tangan, menari di atas jalan raya malah melepaskan das tembakan ke udara tanda kegembiraan di atas kematian pemimpin yang mereka dakwa sebagai orang bertanggungjawab mengheret Libya ke kancah konflik yang tidak berkesudahan. 

Namun begitu, adalah tidak beretika dan tidak kena pada masanya untuk rakyat Libya meraikan kematian biarpun orang yang mati itu adalah insan yang paling mereka benci. 

Tetapi, siapa yang boleh salahkan mereka? Inilah kumpulan rakyat Libya yang menderita, diseksa malah diugut oleh rejim Muammar. 

Dalam mengamati reaksi semerta rakyat Libya di atas kematian Muammar, tindakan kumpulan pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (NTC) dalam mengheret Muammar ketika beliau sudah cedera dan kemudiannya mempamerkan jenazahnya (selepas Muammar meninggal dunia) di khalayak, jelas ini sudah melampaui batasan yang dibenarkan. 

Detik-detik cemas ketika Muammar diheret keluar dari sebuah lubang najis yang dipenuhi dengan sampah-sarap dan kemudiannya dipukul dan ditembak oleh pejuang-pejuang NTC mencerminkan wajah-wajah hodoh sebenar umat manusia. 

Apabila NTC melabelkan Muammar sebagai pemimpin kejam dan autokratik, tindakan pejuang-pejuang NTC menghina jenazah Muammar, maka mereka juga tidak banyak bezanya daripada bekas pemimpin Libya itu. 

Walaupun tahap kebencian rakyat dan pejuang-pejuang NTC terhadap Muammar sudah sampai ke peringkat meluat, namun itu tidak memberikan justifikasi kepada kumpulan tersebut untuk melakukan apa sahaja ke atas jenazah Muammar. Sebaliknya, perasaan benci dan meluat itu harus disalurkan dalam cara yang betul dan mencerminkan identiti dan peradaban masyarakat Libya. 

Bukankah lebih baik jika Muammar dihadapkan ke muka pengadilan untuk menerima hukuman setimpal di atas jenayah yang dilakukannya? Sekurang-kurangnya apabila Muammar dihadapkan ke muka pengadilan, ia memberikan peluang kepada sistem perundangan di negara berkenaan untuk berfungsi. Sejak sekian lama, sistem perundangan Libya tidak wujud dan yang wujud hanyalah undang-undang yang ditetapkan oleh Muammar. Inilah masa terbaik untuk membuka lembaran baru dalam sistem perundangan negara itu. 

Muammar bukanlah pemimpin Islam seumpamanya yang diaibkan dalam keadaan sebegini rupa. Bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein dan bekas Presiden Afghanistan, Mohammad Najibullah juga menerima nasib serupa. Bagi Saddam, beliau dihukum gantung sampai mati oleh kerajaan Iraq baru di atas jenayah perangnya ke atas penduduk di Halabja sementara Najibullah pula diseksa oleh pejuang Taliban sebelum mayatnya digantung pada tiang lampu isyarat. 

Apakah yang boleh masyarakat antarabangsa pelajari daripada kematian Gaddafi dan Saddam? Pertamanya, dunia Arab dan negara-negara Islam tidak bersatu. Di saat-saat Libya dan Iraq diserang dan kemudiannya dijajah oleh kuasa asing, negara-negara Arab hanya mampu membisu. Tindakan membisu itu seolah-olah mereka merestui campur tangan kuasa-kuasa Barat. 

Yang kedengaran hanyalah suara-suara bantahan dan resolusi yang tidak bersungguh-sungguh daripada negara-negara Arab berkenaan. Semuanya terhenti di situ sahaja. Kematian Muammar bukanlah titik noktah kepada Revolusi Arab yang semakin membara di rantau Timur Tengah. 

Sudah pastinya, kematian Muammar dalam keadaan yang begitu aib sekali menghantar mesej kuat kepada pemimpin kuku besi di Yaman dan Syria bahawa mereka mungkin menjadi mangsa seterusnya. Apa tidaknya, 2011 sudah menyaksikan tiga rejim kuku besi tumbang satu persatu ibarat kepeingan domino. 

Pemerintahan berdekad-dekad lamanya yang dikatakan sebagai “untouchable” satu ketika dahulu seperti Presiden Tunisia ketika itu, Zine El Abidine Ben Ali, Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi — semuanya tumbang gara-gara gelombang kebangkitan rakyat. 

Dari satu perspektif, meletusnya Revolusi Arab boleh dianggap sebagai titik kebangkitan dan kesedaran rakyat terhadap hak dan perkara yang berlaku di sekeliling mereka. 

Era yang mana pemimpin-pemimpin negara mengenakan tekanan ke atas rakyat dan memberitahu mereka untuk tunduk kepada kekuasaannya sudah berakhir. 

Malah gelombang kebangkitan rakyat terhadap rejim kuku besi di dunia Arab ketika ini, menandakan sistem pemerintahan autokratik sudah tidak mendapat tempat dalam hati rakyat di sana. 

Sesungguhnya, kumpulan yang paling gembira di sebalik kematian Muammar dan Saddam adalah musuh-musuh politik mereka. Kuasa-kuasa Barat sebagai contohnya boleh menarik nafas lega kerana dengan tumbangnya seorang lagi pemimpin kuku besi di dunia Arab, mereka boleh meneruskan agendanya untuk menguasai sumber minyak di rantau itu. 

Atas platform mengembangkan demokrasi juga, mereka boleh melakukan apa sahaja yang disukainya termasuk menyerang dan menggulingkan pemimpin-pemimpin Arab yang disifatkannya sebagai musuh. Bagi kuasa-kuasa Barat, pemimpin-pemimpin Arab hanya menjadi rakan jika mereka mempunyai kepentingan strategik selain tunduk kepada kemahuannya. Manakala mereka yang enggan bersekongkol akan ditentang habis-habisan! 

Daripada konflik-konflik yang melanda dunia Arab sejak sekian lama, jelas terbukti kuasa-kuasa Barat ini boleh berubah topeng dan wajah dalam sekelip mata demi untuk merealisasikan agenda mereka. 

Masih ingatkah kita lagi bahawa Saddam pernah menjadi sekutu politik Amerika Syarikat semasa Perang Iraq-Iran (1980-1988) dahulu? Ingatkah anda bahawa pemimpin-pemimpin Barat mula menjalinkan hubungan diplomatik dengan Libya selepas negara tersebut bersetuju untuk menghentikan usaha membangunkan senjata pemusnah hingga Perdana Menteri Britain ketika itu, Tony Blair menyifatkan tindakan Muammar sebagai berani? 

Jadi, apabila terdapat komentar-komentar penganalisis politik bahawa kuasa-kuasa Barat ini bersikap talam dua muka, tidak dinafikan pandangan itu ada kebenarannya. 

Apakah nasib Libya selepas ini dengan kematian Muammar? Sejauhmanakah kematian Muammar akan membuka lembaran baru dalam politik Libya yang tidak pernah sunyi daripada kontroversi? Mampukah Libya menjadi sebuah negara demokrasi contoh kepada negara-negara Arab yang lain? 

Ataupun sejarah hitam akan berulang? Yang pasti, bayangan Muammar dalam politik Libya akan terus membayangi negara itu untuk satu jangka masa yang panjang. 

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments