Opinion

Kembalikan kegemilangan sekolah-sekolah tersohor negara

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

18 MAC — Apabila bercakap mengenai sekolah-sekolah tersohor negara, sudah pasti nama-nama seperti St. John’s Institution (SJI), Victoria Institution (VI), Methodist Boys School (MBS) dan Convent Bukit Nanas (CBN) akan terlintas dalam fikiran kita. Bukan sahaja nama-nama berkenaan menggamit nostalgia zaman silam bahkan juga mencetuskan kebanggaan dalam diri semua. 

Apa tidaknya, nama-nama tersebut merupakan nama yang tidak asing dalam dunia pendidikan negara. Yang terlintas dalam fikiran kebanyakan daripada kita mengenai sekolah-sekolah tersebut adalah prestij, etos dan sejarah silam institusi terbabit. 

Gabungan ketiga-tiga elemen tadi menjadikan institusi-institusi itu begitu unik dan lain daripada yang lain. Kalangan tokoh yang berjaya dilahirkan dan rekod pencapaian sekolah dalam segenap aspek baik dari segi akademik mahupun kurikulum menjadikan sekolah-sekolah tersebut pilihan utama ibu bapa berbanding sekolah-sekolah biasa lain. 

Dalam membicarakan berkenaan isu prestij sekolah ini, tentunya kita tidak dapat lari daripada perasaan iri hati yang timbul dalam kalangan ibubapa yang gagal menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersohor sebegini. Bagi kalangan ibu bapa yang gagal menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang dimaksudkan, ia ibarat suatu kegagalan untuk mendapatkan pendidikan terbaik buat anak-anak mereka. 

Tanpa disedari mereka bahawa kriteria utama untuk melayakkan anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah tadi adalah begitu ketat kerana hanya mereka yang terbaik sahaja yang akan diterima masuk. 

Namun demikian, seiring dengan peredaran masa dan trend mutakhir, era kegemilangan sekolah-sekolah tersohor yang kita banggakan selama ini semakin hari semakin luntur. Barangkali, disebabkan oleh persaraan guru-guru, takuk minda pelajar zaman sekarang yang lebih individualistik serta dedikasi guru-guru sekolah baharu agak berkurangan, kelunturan ini tidak begitu memeranjatkan dan di masa yang sama, tidak dapat dielakkan. 

Mengambil SJI sebagai contoh, sekolah ini pernah dinobatkan antara sekolah yang terbaik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dahulu. Kecemerlangan SJI dalam bidang akademik dan bidang sukan khususnya sukan hoki menjadikan ia antara sekolah buruan ramai. Ketika itu, semuanya mahu mengaitkan diri mereka dengan SJI. 

Semangat Johannian yang begitu utuh dalam kalangan guru dan pelajar masa itu bukti bahawa hubungan antara mereka tidak sekadar guru dan pelajar sebaliknya semacam sebuah keluarga besar yang harmonis ibarat anak dan bapa. Rantaian hubungan yang begitu erat itulah menjadi asas kepada kekuatan SJI. Pendidikan keseluruhan dan holistik yang menggabungkan elemen ko-kurikulum dan kurikulum telah berjaya melahirkan begitu ramai tokoh terkemuka seperti Perdana Menteri Malaysia; Datuk Seri Najib Tun Razak, Gabenor Bank Negara; Tan Sri Zeti Aktar Aziz, Raja Muda Perak; Raja Dr. Nazrin Shah dan banyak lagi. 

Sudah pasti kejayaan ini tidak datang secara kebetulan tetapi lebih kepada pendekatan pendidikan keseluruhan yang dipraktikkan mereka. Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila seseorang menghadiri temuduga kerja dan mengatakan dirinya merupakan pelajar SJI, majikan yang mengendalikan temuduga itu akan merasa kagum dan memberikan pujian terhadap sekolah itu. Disebabkan kehebatan dari segi rekod mereka melahirkan pelajar-pelajar berjaya, kebarangkalian untuk mendapatkan pekerjaan adalah cukup tinggi. 

Kejayaan SJI sebagai sebuah sekolah tersohor juga banyak didorong oleh barisan tenaga pengajar atau guru-guru yang begitu komited terhadap perjuangan mereka. Guru ibarat penggerak utama kepada enjin sesebuah sekolah. Gurulah yang mengilhamkan, memimpin dan mengambil tindakan proaktif dalam operasi pentadbiran serta pengajaran dan pembelajaran sekolah agar segala yang direncanakannya berjalan lancar. 

Tanpa komitmen dan iltizam guru-guru sedemikian, maka tidak keterlaluan untuk mengatakan berkuburlah kecemerlangan yang dimahukan itu. Kehadiran guru-guru sekolah veteran yang telah berdekad-dekad lamanya menyumbang bakti di SJI seperti Vincent Fernandez, David Fernandez, James Gonzales, dan mendiang Brother Lawrence Spitzig memastikan sekolah tersebut terus kekal sebagai antara sekolah yang disegani umum hingga ke hari ini. 

Pengalaman, keghairahan dan pengetahuan mendalam mereka terhadap etos sekolah membolehkan mereka merencanakan sesuatu yang konkrit untuk SJI. Mempunyai barisan guru-guru sekolah berpengalaman seperti disebutkan tadi nyata memberikan kelebihan. Mungkin ada segelintir yang merasakan kehadiran guru-guru veteran ini hanya akan menggugat prospek kenaikan pangkat mereka namun dari aspek jangka panjang, ia tetap memberikan kestabilan kepada sekolah itu. Individu yang berfikiran sebegini adalah orang yang berfikiran sempit dan tidak melihat sesuatu isu secara jangka panjang. 

Kita boleh terus melaung-laungkan SJI dan sekolah-sekolah tersohor lain sebagai yang terbaik dalam itu dan ini tetapi persoalan utamanya sekarang ialah apakah yang akan berlaku selepas ketiadaan guru-guru veteran tersebut? Apakah yang akan dilakukan selepas ini? Apakah iltizam dan komitmen yang ada pada guru-guru veteran ini akan turut diterjemahkan ke dalam diri generasi guru-guru sekolah sekarang? Bolehkah kita terus bergantung harap kepada kejayaan zaman silam untuk melangkah ke hadapan? Inilah cabaran terbesar yang barangkali untuk semua sekolah tersohor termasuk SJI. Pemergian tokoh-tokoh pendidik tersohor seperti Brother Lawrence Spitzig (18 Ogos 2009), Vincent Fernandez (11 Mac 2012) dan Brother Cassian Pappu (29 November 2009) sedikit sebanyak telah meninggalkan vakum yang amat besar dalam kesinambungan tradisi itu. 

Mereka datang dari era yang berbeza tetapi berbekalkan komitmen dan dedikasi kepada agenda pemartabatan pendidikan sekolah, sumbangan mereka tidak mungkin diragukan lagi. Apa yang pasti, guru-guru sekolah generasi sekarang akan berhadapan cabaran sukar untuk mencontohinya apa yang pernah dilakukan oleh rakan seperjuangan mereka terdahulu. Akan tetapi, jika guru-guru veteran boleh berbuat demikian, maka tidak ada sebab mengapa generasi guru sekarang tidak boleh mengulanginya? 

Semuanya banyak menjurus kepada sikap dan kesungguhan guru-guru sekolah yang ada sekarang. Setiap guru mempunyai pendekatan tersendiri dalam menyampaikan ilmu dan mendidik pelajar-pelajar mereka. Tetapi harus diingatkan dalam menunaikan tanggungjawab tersebut, ia perlulah mengambil kira etos sekolah berkenaan. 

Memang benar perubahan dari aspek tenaga pengajar sudah pasti berubah mengikut peredaran masa. Ada yang berpindah, ada yang berhenti dan tidak kurang juga yang telah bersara. Pun begitu, aspek ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak menambahbaik perjalanan pengurusan sekolah. 

Pihak pengurusan sekolah berserta Lembaga Pengelola Sekolah harus tampil dengan satu formula jangka panjang dalam memastikan prestij dan kegemilangan sekolah sedemikian tidak hanyut ditelan zaman begitu sahaja. Ibarat pepatah Melayu yang berbunyi “Melentur buluh, biarlah dari rebungnya.” Sebaik-baiknya, buat persiapan awal agar segala agenda yang ingin dilaksanakan tidak tergendala di persimpangan. 

Dalam konteks ini, banyak aspek penambahbaikan yang boleh diusahakan. Antaranya menyegarkan kembali generasi guru-guru sekolah generasi sekarang terhadap peri-pentingnya etos sekolah, mengenal pasti guru-guru sekolah yang boleh menyumbang kepada usaha murni ini dan tidak ketinggalan peranan pelajar sekolah dan persatuan bekas-bekas pelajar sekolah. 

Persatuan bekas-bekas pelajar sekolah seperti St. John’s Alumni Association (SJAA) harus bergiat lebih aktif dalam usaha mereka untuk mendapatkan ahli-ahlinya setiap masa, bukan hanya dalam acara-acara tertentu sahaja. Pada masa yang sama, aktiviti-aktiviti yang boleh mengeratkan talian silaturahim antara bekas-bekas pelajar harus diperbanyakkan. Begitu juga dengan sesi sumbang-saran antara mereka dan guru-guru sekolah serta pelajar mereka. Dengan pendekatan sedemikian, akan wujud satu sinergi dan interaksi berterusan yang membolehkan usaha penambahbaikan dilaksanakan. Kita sedar perubahan atau transformasi yang ingin dilakukan itu tidak mungkin akan membawa kita kembali ke era asal tapi sekurang-kurangnya ia membawa sekolah seperti SJI kembali ke satu tahap yang boleh kita banggakan. Perubahan merupakan satu evolusi yang tidak mungkin dapat dielakkan. Ia mungkin menyakitkan, mengundang ketidakselesaan tetapi itulah cabaran yang perlu digalas bagi memastikan prestij sekolah-sekolah tersohor ini tidak lenyap begitu sahaja. 

Era kegemilangan sekolah-sekolah tersohor ini mungkin sudah berakhir tetapi ini tidak bermakna bahawa kegemilangan yang pernah dicapai satu ketika dahulu tidak akan kembali lagi. Soalnya, siapakah yang akan menggalas tanggungjawab berat ini? Berbaloikah agenda ini dilaksanakan? Ataupun kita hanya menyerah kepada takdir? 

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Comments