Opinion

Menguruskan sensitiviti masyarakat majmuk

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

3 FEB — Rakyat Malaysia sering kali diingatkan oleh pemimpin-pemimpin politik untuk sentiasa menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum.

Menurut pemimpin-pemimpin politik, langkah itu perlu bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini dalam sebuah masyarakat majmuk yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan adat resam.

Dewasa ini, sensitiviti mencakupi semua penjuru dari aspek menghormati kepelbagaian budaya sesebuah kaum, penjagaan tutur kata hinggalah kepada menjaga hati orang lain.

Tidak dinafikan saranan berkenaan ada kebaikannya tersendiri. Sekurang-kurangnya ia akan melahirkan sebuah masyarakat yang sivil, matang dan objektif.

Kelahiran sebuah masyarakat yang matang dan objektif sekaligus akan menjadikan masyarakat Malaysia lebih bersedia menerima pandangan serta luahan yang selama ini dianggap pantang untuk dibincangkan dalam lensa awam.

Namun demikian, sejak akhir-akhir ini, sensitiviti masyarakat Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan. Ada sahaja isu-isu berbangkit yang sengaja disensasikan oleh pihak berkepentingan dengan harapan ia akan mencetuskan reaksi.

Daripada isu agama, perkauman dan bahasa, semuanya dilabel sebagai sensitif. Malahan, trend ini sudah menjadi satu ikutan dan terbawa-bawa dalam takuk pemikiran segelintir masyarakat Malaysia.

Masyarakat kita kini seolah-olah terperangkap dalam satu kerangka pemikiran ortodoks. Kita membiarkan isu ini melarat ke tahap bahaya tanpa memikirkan cara-cara untuk mengatasinya.

Lebih buruk lagi, kita nampaknya lebih gemar untuk bermain emosi dalam isu-isu sensitif. Dalam isu agama dan kaum umpamanya, pihak berkepentingan seperti pemimpin politik akan cuba memanipulasikan situasi semasa untuk mencetuskan ketidaktentuan. Ketidaktentuan dan kecelaruan pemikiran inilah yang dinanti-nantikan oleh pemimpin politik.

Kita semua sedia maklum, dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, isu agama dan kaum memang sensitif. Ia harus diperhalusi dan ditangani dengan pendekatan yang berhemah.

Namun, apa yang perlu disedari oleh rakyat Malaysia bahawa sudah sampai masanya mereka melangkah keluar dari pemikiran jumud mengenai isu-isu sensitif.

Dalam era globalisasi ini, kita wajar melihat isu-isu sensitif secara objektif, dan bukan hanya menyapu ke bawah permaidani. Menyapu sesuatu isu ke bawah permaidani ibarat menafikan realiti. Bukan sahaja, tindakan itu tidak menyelesaikan masalah pokok bahkan hanya menambahkan masalah.

Hakikatnya, rakyat tidak perlu takut untuk membincangkan isu-isu sensitif secara berhemah kerana perbincangan secara membina akan mewujudkan satu kefahaman terhadap isu sensitif itu.

Hanya apabila kefahaman terhadap isu itu berjaya ditangani, maka tidak akan berbangkitlah persoalan mengenai sensitiviti isu yang disebutkan. Kita perlu berhadapan realiti dengan penuh berani. Kita harus melangkaui batasan sensitiviti yang terpahat dalam fikiran kita selama ini.

Selagi takuk pemikiran masyarakat masih di tahap lama dan enggan untuk berubah, maka selagi itulah masyarakat Malaysia akan terperangkap dalam perdebatan isu sensitiviti.

Soalnya, sampai bilakah masyarakat Malaysia akan terperangkap dalam takuk minda yang jumud ini? Sejauhmanakah rakyat kita bersedia untuk melihat sesuatu isu dari perspektif yang lebih luas dan bukannya terbatas kepada konteks sensiviti semata-mata?

Sudah sampai masanya untuk menyahpekakan isu sensitif di hadapan kita.

Kini, pilihan terletak di tangan anda.

* Ini pandangan peribadi penulis.

Comments