Opinion

Menjelang PRU13: Pilih wakil rakyat yang bersih dan jujur

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

22 JAN — Meneka sesuatu perkara yang suspens adakalanya boleh menjadi perkara yang paling mendebarkan dan memenatkan dalam hidup seseorang.

Lebih-lebih lagi, apabila benda yang diteka itu pula merupakan sesuatu yang menjurus kepada kepentingan nasional negara.

Menambahkan kehangatan dan signifikan itu ialah tekaan terbabit bakal menentukan jatuh bangunnya sesebuah rejim politik negara, sesuatu yang mungkin mahu dielakkan dengan apa cara sekalipun.

Persoalannya, apakah tekaan yang dimaksudkan penulis di sini? Adakah ia merujuk kepada siapakah calon pilihan raya di kawasan tempat tinggal anda? Adakah ia berkisar kepada mengapa pemimpin parti politik tertentu terlibat dalam skandal? Ataupun perkara yang lebih besar?

Yang dimaksudkan penulis dalam konteks ini ialah soal tarikh Pilihan Raya Umum ke-13. Ternyata, musim untuk meneka tarikh PRU sudah pun bermula. Malah boleh dikatakan tekaan tersebut kini memasuki fasa paling aktif.

Sudah tentu, individu yang paling sibuk dalam tempoh genting ini adalah parti-parti politik dan wakil rakyat dari kedua-dua belah parti – pemerintah mahupun pembangkang.

Tidak ketinggalan juga, media-media massa dan penganalisis politik yang masing-masing mempunyai ramalan dan analisis tersendiri mengenai kesudahan PRU 13.

Mutakhir ini, pelbagai teori telah dikemukakan oleh pihak yang bergelar pakar ini mengenai tarikh sebenar PRU 13.  Antara masa yang disebut sebagai pilihan untuk penganjuran PRU 13 ialah awal Februari dan awal Mac.

Kedua-dua bulan tersebut dilihat sebagai pilihan memandangkan musim cuti sekolah semester pertama akan bermula manakala program transformasi yang diusahakan kerajaan bakal menampakkan hasilnya tidak lama lagi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagaimanapun berpendapat, dengan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dalam kes liwat, Jun atau September merupakan bulan paling berkemungkinan diadakan PRU13. Pelbagai faktor sampingan telah dikenalpasti yang mungkin mempengaruhi penentuan tarikh PRU itu.

Apapun, mengenai soal tarikh PRU 13 hanya Perdana Menteri sahaja yang mengetahui tarikh berkenaan dan kini terpulang kepada beliau untuk menentukan bilakah sebenarnya PRU wajar dilangsungkan.

Apa yang pasti, kerancakan arena politik negara akan terus hangat dari sekarang sehinggalah ke hari pengundian nanti. Pastinya juga, akan ada percubaan daripada parti-parti politik (pemerintah atau pembangkang) untuk sering “outdo” antara satu sama lain hingga menyebabkan salah satu daripada pihak tidak mampu bangkit untuk bertanding PRU.

Rakyat juga boleh menjangkakan, ramai wakil rakyat yang hanya balik ke kawasan Parlimen seminggu sekali dan mungkin tidak pernah kelihatan sebelum ini, untuk lebih aktif dan lebih peramah. Maklumlah musim pilihan raya semakin hampir dan di waktu inilah, rakyat seolah-olah menjadi raja dalam sehari dan dijanjikan dengan pelbagai gula-gula yang cukup manis untuk menagih sokongan mereka.

Penulis tidak menafikan signifikan tarikh PRU13 ini tetapi barangkali ada baiknya juga segala tumpuan untuk meneka tarikh PRU tersebut dicurahkan kepada usaha memilih wakil-wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat jelata.

Lagipun, sebelum ini kedengaran keluhan demi keluhan dalam kalangan rakyat mengenai kualiti serta komitmen segelintir wakil-wakil rakyat yang tidak mempamerkan prestasi yang diinginkan. Amat malang terdapat segelintir pemimpin politik di negara ini yang nampaknya lebih ligat bermain politik secara sewenang-wenangnya.

Akan tetapi, apa gunanya jika rakyat sudah mengetahui tarikh sebenar PRU13? Apakah ia akan mengubah nasib hidup rakyat? Adakah segala permasalahan yang dihadapi rakyat akan terlerai selepas itu?

Sudah tentu tidak. Yang mendapat manfaat daripada pengumuman tarikh PRU13 adalah parti-parti politik dan calon PRU. Dengan terjawab sudah teka-teki tarikh PRU, maka kini mereka boleh memberikan sepenuh tumpuan kepada kempennya meraih sokongan pengundi.

Bagi rakyat marhaen seperti penulis, soal bilakah tarikh PRU diadakan tidak begitu penting. Tarikh itu hanya satu petunjuk masa yang berperanan untuk mengingatkan pihak tertentu bahawa sesuatu perkara besar akan berlaku tidak lama lagi. Tidak semestinya penetapan tarikh PRU itu akan dapat menaikkan momentum dan semangat pihak berkepentingan.  Ini juga banyak bergantung kepada siapakah pemimpin utama yang memimpin mereka.

Yang jelas, apa yang dimahukan oleh rakyat ialah wakil-wakil rakyat yang dipilih pada PRU nanti akan menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik. Wakil rakyat yang dipilih itu harus menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin untuk semua rakyat Malaysia. Bermakna, apa yang diperkatakan dan janjikan di hadapan audiens di kawasan A harus juga diulangi di kawasan B – bukan sebaliknya.

Sebagai seorang figura awam, beliau juga harus memastikan segala keputusan yang dibuat berlandaskan kepada kepentingan awam, bukannya untuk memenuhi agenda peribadi sendiri. Penampilan sebagai seorang pemimpin yang jujur dan bersih merupakan sesuatu yang amat didahagakan oleh rakyat di negara ini.

Sudah tiba waktunya, wakil-wakil rakyat yang tidak mempamerkan prestasi membanggakan, dibayangi skandal serta tidak mempunyai perlakuan moral yang baik berundur secara terhormat. Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin-pemimpin sedemikian melalui PRU tidak seharusnya dikhianati tetapi dibalas dengan budaya kerja yang tinggi.

Amatlah tidak adil kepada rakyat secara umumnya dan pengundi khususnya, jika kriteria-kriteria tadi tidak dapat dipenuhi. Jika ini tidak dapat dipenuhi, maka kepada siapa yang harus kita persalahkan mengenai perkara tersebut? Mungkinkah kerana itu jugalah, jangan terkejut jika persepsi masyarakat umum terhadap pemimpin politik terus merosot hingga ke satu tahap yang tidak pernah dilihat?

Salah siapa agaknya?

* Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Comments