Opinion

Nilai manifesto parti-parti politik secara rasional

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

7 APRIL ― Tanggal 10 April ini, tumpuan umum sudah pasti menjurus ke arah Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR apabila tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian untuk Pilihan Raya Umum ke-13 diumumkan.

Selepas menunggu dan bermain teka-teki mengenai tarikh sebenar PRU, penantian tersebut bakal berakhir Rabu ini. Persoalannya, bilakah hari penamaan dan pengundian? Dan berapa lamakah tempoh berkempen?

Jika tarikh dan durasi PRU yang lalu dijadikan sebagai indikasi, besar kemungkinan PRU 13 juga akan diadakan pada hari Sabtu atau Ahad dengan durasi berkempen untuk parti-parti politik bertanding antara 10 hingga 11 hari.

Sesudah pengumuman tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian, maka secara rasminya juga bermulalah kempen PRU 13 di seluruh negara.

Pastinya, ia merupakan detik-detik yang dinanti-nantikan oleh pemimpin politik kerana inilah masa terbaik untuk berdampingan dengan rakyat bagi meraih undi mereka.

Oleh itu, wahai pengundi jangan terkejut jika anda terserempak dengan wakil-wakil rakyat yang tidak pernah turun padang ke kawasan dan muncul di hadapan anda dalam seminggu dua ini.

Demi undi dan kemenangan parti yang diwakili, mahu tidak mahu mereka terpaksa menelan ego dan melakukan apa sahaja demi kemenangan. Janji-janji yang adakalanya tidak masuk akal akan ditabur bagi menarik sokongan rakyat.

Bagi kebanyakan rakyat yang akan keluar mengundi nanti, inilah peluang keemasan untuk mereka membuka mata dan menilai sebaik-baiknya siri janji yang dikemukakan oleh parti-parti politik bertanding.

Jangan kerana faktor kesetiaan membuta-tuli terhadap sesebuah parti atau pemimpin, kebenaran dan kejujuran diketepikan. Sebaliknya, buka mata dan nilai secara ikhlas apa yang baik dan apa yang tidak baik. Justeru, pembentangan manifesto oleh parti pemerintah dan pembangkang harus dinilai secara objektif dan menyeluruh mengambil kira semua faktor tanpa dipengaruhi oleh politik kepartian tetapi didorong oleh kesedaran yang jelas.

Hakikatnya, bukan semua janji yang terkandung dalam manifesto parti pemerintah adalah buruk seperti yang didakwa pembangkang dan begitulah juga dengan manifesto pembangkang.

Apa yang cuba dikatakan oleh pihak pembangkang dan pemerintah dalam mempertahankan manifesto mereka ibarat seorang jurujual yang sedang menjual produk di pasaran. Masing-masing cuba untuk meyakinkan pelanggan untuk membeli produk mereka. Tetapi apa yang tidak sepatutnya berlaku ialah cubaan untuk mempertikai manifesto masing-masing.

Sama ada manifesto yang dibentangkan parti pemerintah dan pembangkang benar-benar berkualiti atau sebaliknya, keputusan tersebut terletak di tangan pengundi.

Mengapakah kalangan pemimpin politik begitu beria-ia untuk memburuk-burukkan “produk” pihak lain? Adakah kerana ia adalah pesaing anda? Ataupun mereka sebenarnya takut akan bayangan sendiri? Barangkali, pemimpin-pemimpin politik kita ada jawapannya!

Ternyata, setiap manifesto ada kekuatan dan kelemahannya tersendiri. Bergantung kepada sejauhmanakah ia memenuhi keperluan sesebuah golongan sasar, ia tidak mungkin dapat memuaskan hati semua yang terbabit. Realiti pahit inilah yang disedari oleh semua pengundi.

Keputusan untuk menerima atau menolak manifesto parti pemerintah dan pembangkang oleh pengundi harus dihormati semua. Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan si pelaku yang mewarnai arena politik harus memastikan semangat demokrasi yang sebenarnya sentiasa ditegakkan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Comments