Opinion

Pemimpin-pemimpin politik jangan kiasu

11 Nov — Tempoh empat tahun dalam dunia politik nampaknya begitu lama dan sesuatu yang cukup memeritkan.

Apa tidaknya, tidak pernah satu hari sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12, tidak kedengaran perbalahan politik antara dua pihak yang bertelagah.

Rakyat pula mengaru-garu kepala dan tertanya-tanya – apa sudah jadi dengan wakil rakyat yang dipilih mereka? Mengapa wakil-wakil rakyat yang dipilih ini boleh berkelakuan sedemikian? Apakah mereka sudah lupa bahawa kuasa dan jawatan yang disandangnya ketika ini hanya bersifat sementara?

Suara rakyat yang meminta wakil rakyat melihat ke hadapan tenggelam timbul dan bagaikan tidak diendahkan.

Paling mendukacitakan, perbalahan dan perang lidah antara pihak pemerintah dan pembangkang belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Sebaliknya, keadaan bertambah buruk. Di satu pihak, pelbagai isu dibangkitkan dengan harapan seteru mereka akan memberi maklum balas. Di satu pihak lagi pula, mereka hanya mampu bertahan dan menangkis tohmahan demi tohmahan.

Kedua-dua pihak seolah-olah tidak bersedia menerima kehadiran sesama mereka. Matlamat utama ialah kemenangan di satu pihak manakala kekalahan di pihak lawan.

Apa yang diamalkan itu adalah sesuatu yang lumrah dalam dunia politik. Isu kelangsungan adalah segala-galanya dalam dunia politik. Siapa lebih kuat, dialah yang berkuasa!

Namun demikian, perlukah mereka sampai ke tahap sedemikian?

Lihat sahajalah kepada tindak-tanduk Presiden Barack Obama dan pemimpin parti Republikan, Mitt Romney yang berentap dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.

Mereka berdua cukup berlapang dada. Biarpun Romney tewas pada pilihan raya itu, beliau sempat mengajak kedua-dua pihak, Parti Demokrat dan Republikan untuk tidak berbalah sesama sendiri. Menurut Romney, Amerika kini berada di persimpangan dan sebarang perbalahan hanya akan merugikan kuasa besar dunia itu.

Malah, beliau turut mengajak semua pihak untuk bekerjasama bagi menunaikan mandat yang telah diberikan oleh pengundi. Obama dalam ucapan kemenangannya pula berjanji akan bekerjasama dengan Romney untuk memacu Amerika ke hadapan.

Kata-kata oleh Romney dan Obama itu cukup signifikan dan cukup bermakna. Mereka mempamerkan kematangan berpolitik tinggi yang wajar diteladani oleh semua pemimpin politik dunia.

Keghairahan untuk merebut jawatan paling berkuasa di dunia tidak sekalipun melekakan mereka untuk berperang antara satu sama lain. Romney dan Obama mengerti bahawa agenda yang lebih penting ialah negara. Sentimen partisan yang menebal diketepikan buat seketika.

Ketika kita ghairah bercakap mengenai pemimpin Amerika, bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin politik di Malaysia? Bersediakah mereka untuk berubah dan menjadi teladan kepada pihak lain? Mahukah mereka terus menjadi bahan gurauan? Apa manfaatnya untuk terus bertelagah? Cukuplah…

Tiada gunanya jika pemimpin-pemimpin politik kita sering bercakap mengenai budaya politik baru namun tidak disusuli dengan tindakan konkrit. Elak menjadi pemimpin yang cakap tak serupa bikin dan kiasu.

Budaya politik baru menuntut kesungguhan seseorang pemimpin untuk berubah, berubah ke arah kebaikan dan menjadi seorang yang lebih baik daripada sebelumnya.

Kepada pemimpin politik dari parti pemerintah dan pembangkang, ayuh ketepikan perbalahan dan bekerjasama demi kebaikan negara yang kita cintai ini.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments