Opinion

Pertahankan semangat Johannian!

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

MARCH 25 — Setiap daripada kita tentunya mempunyai kenangan indah dalam hidup mereka. 

Satu kenangan yang bukan sahaja berjaya meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi bahkan juga minda seseorang hingga ke akhir hayat. 

Ada yang menganggap kisah percintaan dengan wanita yang disayanginya sebagai kenangan paling indah manakala tidak kurang juga yang menganggap  masa berharga yang dihabiskan bersama dengan kaum keluarga tersayang sebagai detik yang paling penting dalam hidupnya. 

Dalam konteks ini, tidak mungkin setiap kenangan indah itu adalah sama antara seorang individu dengan individu yang lain. Tetapi sebaliknya, ia banyak bergantung kepada individu itu sendiri. 

Barangkali apa yang diperkatakan oleh penulis dalam artikel ini agak janggal sedikit bagi segelintir pembaca di luar sana kerana ia seolah-olah menggambarkan penulis sebenarnya tidak menikmati alam persekolahan dahulu. Ternyata, itulah hakikat sebenarnya. 

Agaknya perasaan tersebut timbul kerana penulis terlalu serius sebagai seorang pelajar ketika di bangku sekolah dahulu. Kebanyakan masa di dalam bilik darjah dihabiskan dengan menelaah buku tanpa bergaul sangat dengan rakan-rakan sekelas lain. Yang diutamakannya hanya belajar dan terus belajar untuk mengejar kecemerlangan akademik. 

Kini, 13 tahun berlalu sudah dan imbauan serta kenangan manis sebagai seorang pelajar di sekolah terus segar dalam ingatan penulis. Malah bagi memastikan kenangan manis itu terus kekal dalam ingatan, kunjungan ke sekolah kebanggaan penulis, St. John’s Institution dari semasa ke semasa menjadi satu kemestian. 

Ikatan kekeluargaan yang berbentuk “anak-ibu” yang telah terjalin sejak sekian lama antara penulis dengan guru-guru sekolah ini sesungguhnya terlalu sukar untuk diketepikan begitu sahaja. Guru-guru sekolah ini telah memberikan yang terbaik kepada penulis dan sudah sampai masanya jasa baik mereka itu untuk dibalas kembali. 

Lahirnya semangat kekitaan dan hubungan akrab yang begitu utuh dalam kalangan diri pelajar termasuk penulis sendiri adalah kerana semangat Johannian yang telah diterapkan dalam diri kita sejak dari awal lagi. 

Penulis masih ingat bagaimana Tuan Pengetua SJI ketika itu, Rev. Brother Michael Wong tidak jemu-jemu mengingatkan pelajar-pelajar untuk senantiasa menyemai semangat Johannian walau di mana sahaja mereka berada. 

Kata-kata keramat “Once a Johannian, always a Johannian” yang pernah disampaikan beliau kepada pelajar-pelajar semasa perhimpunan pagi, bukan sahaja membakar semangat kita untuk berjaya tetapi juga membuatkan kita berasa “selesa di rumah.” Apa tidaknya, SJI merupakan rumah kedua dalam hidup penulis, bahkan untuk kebanyakan Johannian. 

Disebabkan faktor inilah, Johannian begitu teruja untuk menjayakan segala aktiviti anjuran pihak sekolah. Sekalipun terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan, segala jerih-payah itu berjaya diatasi. Buktinya apabila pelajar-pelajar SJI berjaya menyahut cabaran yang dilontarkan oleh guru-guru SJI untuk menjual kupon Hari Keluarga lebih 15 tahun lalu. Biarpun masa yang diberikan untuk menjual kupon Hari Keluarga terlalu singkat, namun sasaran yang ditetapkan oleh pihak sekolah berjaya dicapai di saat-saat akhir. Inilah keistimewaan pelajar-pelajar SJI! 

Tidak syak lagi, semangat Johannian yang ada pada pelajar-pelajar SJI masa itu begitu kukuh. Keakraban, kekitaan dan semangat setiakawan begitu erat bagaikan aur dengan tebing. Saban kali diadakan aktiviti-aktiviti penting sekolah seperti Temasya Sukan Sekolah, Hari Kad Laporan dan Hari Keluarga, semangat kerjasama dan berpasukan begitu terserlah. 

Tidak kelihatan langsung bahawa pelajar mahupun guru-guru sekolah cuba menidakkan tanggungjawab yang diberikan. Sebaliknya masing-masing memainkan peranannya dengan penuh komitmen untuk menjayakan program yang dianjurkan. Komitmen dan kesungguhan mereka tidak perlu disangkal lagi. 

Bagaimanapun, seiring dengan peredaran masa, semangat Johannian yang kita banggakan selama ini, mungkin luntur jika tiada usaha proaktif diambil untuk memeliharanya. Perkembangan berkenaan bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sedia maklum apa sahaja yang telah bertapak begitu lama sudah pasti akan berhadapan dengan cabaran. Justeru, semangat Johannian yang dikatakan luntur dalam kalangan generasi Johannian sekarang harus diperbaiki. 

Mereka tidak boleh membiarkan semangat tersebut terus berkubur begitu sahaja. Semangat Johannian ini terlalu penting untuk dikuburkan. Jika semangat tersebut berkubur, maka boleh dikatakan lenyaplah jiwa Johannian yang kita laung-laungkan selama ini. 

Apa yang dikhuatiri selepas ini ialah lahirnya Johannian yang hanya tahu belajar dan belajar hingga tidak ada karakter atau jiwa langsung dalam diri mereka.  Senario sebegini yang kita perlu elakkan. 

Lazimnya, Johannian yang kita kenali dari dulu hingga sekarang adalah Johannian yang memiliki kemampuan pelbagai (all-rounder), berketrampilan, berkarisma dan sentiasa berjaya dalam hidup mereka. Ciri-ciri terbabit itulah yang membezakan seorang Johannian dengan seorang pelajar dari sekolah biasa. 

Di pihak guru-guru sekolah khususnya mereka yang baharu memasuki ke SJI pula, mereka harus diajar untuk memahami etos dan sejarah silam sekolah. Bukanlah sesuatu yang sukar untuk memahami etos tersebut. Jika guru-guru sekolah terdahulu seperti David Fernandez, Vincent Fernandez, Dennis Doss,  dan James Gonzales boleh berbuat demikian dan berjaya memacu SJI ke puncak kegemilangan, maka tidak ada alasan untuk generasi guru baharu SJI untuk tidak mahu mengikut jejak itu. Di mana ada kemahuan di situ ada jalannya.  Pemahaman mendalam mengenai etos sekolah secara tidak langsung akan membantu seseorang guru itu memahami dengan lebih intim, jiwa sebenar SJI. 

Apa yang pasti, SJI bukanlah sebuah sekolah biasa. Ia tetap menjadi sebuah institusi pendidikan yang disegani oleh segenap lapisan masyarakat. Kaya dengan sejarah, cemerlang dalam bidang sukan dan akademik selain memiliki prestijnya tersendiri. 

Saban tahun, ratusan ribu penuntut telah masuk dan keluar dari institusi tersohor ini.  Kebanyakannya, walaupun bukan semua telah berjaya dalam hidup masing-masing. Sudah pasti selepas ini, SJI akan terus menjadi kilang untuk melahirkan lebih ramai lagi individu-individu yang berjaya dalam hidup mereka. 

Kepada generasi guru-guru sekolah SJI yang baharu, obor perjuangan untuk mengekalkan semangat Johannian kini terletak di tangan anda.  Manfaatkan tempoh perkhidmatan anda di sekolah yang tersohor ini dengan memperhebatkan usaha murni itu.  Seperti mana pemimpin negara mengajak rakyat untuk cintakan tanah airnya, begitu juga peranan guru-guru SJI untuk menanamkan semangat cintakan kepada sekolah dalam diri para pelajar. 

Dan kepada generasi guru-guru SJI terdahulu, jutaan terima kasih diucapkan di atas pengorbanan dan bakti yang dicurahkan dalam mendidik anak-anak bangsa. Segala curahan bakti anda tidak sia-sia. Kami tidak akan lupa tunjuk ajar dan nasihat yang diberikan sebaliknya akan jadikannya sebagai pedoman hidup. Komitmen dan kesungguhan dalam memberikan yang terbaik kepada pelajar-pelajar SJI tiada tolok bandingnya. 

TERIMA KASIH CIKGU! 

*Markus Lim pernah menuntut di St.John’s Institution dari 1993 hingga 1999. 

* Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Comments