Opinion

Politiking, oh politiking…

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

2 SEPT — Politiking merupakan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan seharian. Ia boleh berlaku di tempat kerja, di rumah, sekolah mahupun dalam kalangan anggota keluarga sendiri. 

Hampir semua daripada kita pasti akan mengharungi pengalaman tersebut. 

Banyak ketikanya, perasaan yang dialami adalah bercampur-campur. Ada yang enak dan tidak kurang juga yang kurang enak. 

Pastinya, politiking bukan sesuatu yang indah, lebih-lebih lagi di tempat kerja. Jika di rumah mahupun sekolah, seseorang itu hanya perlu berhadapan dengan sekumpulan manusia yang kecil, di tempat kerja pula…situasinya agak berlainan. 

Di tempat kerja, mereka perlu berhadapan dengan lautan manusia yang ramai, masing-masing dengan ego tersendiri. Sejauhmana seseorang itu berhadapan dengan politiking di tempat kerja banyak bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis jawatan yang disandang, sejauhmana dirinya menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dan kesanggupan rakan sejawat di tempat kerja baru menerima kehadirannya. 

Mereka mungkin merasa marah dan ingin melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Kadangkala, usaha itu berjaya dan adakalanya juga gagal. 

Mahu tidak mahu, inilah alam pekerjaan yang penuh dengan pelbagai watak manusia. Jujur, hipokrit, berterus-terangnya — semuanya kelihatan! 

Selagi ada individu yang bernama manusia dan selagi ada kuasa di hadapannya, maka jangan harap ia akan terhenti di pertengahan jalan. Sememangnya, situasi sedemikian sesuatu yang membingungkan tetapi sedia maklum bahawa setiap orang perlu berbuat demikian semata-mata untuk menjaga periuk nasi mereka. 

Bayangkan, siapakah yang mahu periuk nasinya terjejas? Semuanya memang pentingkan diri sendiri. Daripada dirinya mati, lebih baik orang lain mati terlebih dahulu…inilah mentaliti sekarang di mana-mana. 

Pendek kata, dalam alam pekerjaan…siapa yang tahan lasak, dialah yang akan kekal.  Perkara ini adalah benar lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja di sebuah organisasi yang besar. 

Ramai beranggapan politik itu kotor. Namun hakikatnya, yang mengotorkan politik itu adalah manusia atau si pelaku itu sendiri. Tuhan telah mencipta kita kepada beberapa ras dan keturunan dengan harapan mereka dapat berinteraksi dan berkenal-kenalan. Namun ada ketikanya, harapan itu tinggal harapan semata-mata. 

Politiking di tempat kerja sememangnya bukan sesuatu yang mudah diatasi. Bagi yang lemah ketahanan, sudah tentu mereka akan hanyut dengan pelbagai gosip dan halangan yang meloyakan. 

Tetapi bagi mereka yang kuat dan sanggup menahan asakan demi asakan, segala kesukaran dapat diharungi dengan mudah. Inilah sebenarnya sikap yang perlu ada pada seseorang untuk menangani politiking di tempat kerja. 

Mereka diupah untuk bekerja dan memberikan yang terbaik kepada syarikat yang dinaungi, bukannya bergosip mahupun berpolitik. Jika beria-ia untuk berpolitik, nasihat kepada individu terbabit…ceburilah arena politik yang penuh dengan kepura-puraan. 

Apa tidaknya, dalam arena politik…mereka ini lebih bebas untuk menterjemahkan apa yang ingin disampaikan. Temberang sedikit orang lain masih ada orang akan mempercayai mereka. 

Tidak dinafikan politiking di tempat kerja adalah sesuatu yang biasa. Apapun, ia tidak boleh dibiarkan merebak ke satu tahap yang mana ia boleh memberi kesan serius kepada perjalanan operasi syarikat. Yang pasti, reputasi syarikat yang dinaungi itu akan menerima tempiasnya jika masalah politiking tidak ditangani dengan bijak. 

Tidak salah untuk “berpolitiking” di tempat kerja. Ia boleh dianggap sebagai sesuatu yang positif jika ia membantu pekerja memperbaiki prestasinya. Malangnya, ia hanya dapat diatasi jika semua pelaku memilih untuk meletakkan kepentingan syarikat sebagai keutamaan berbanding kepentingan agenda peribadi. 

Untuk itu, adalah penting bagi mereka yang terkesan dengan politiking keterlaluan di tempat kerja agar banyakkan bersabar dan tabah. Tidak rugi untuk seseorang itu bersabar. Kesabaran mengajar kita untuk sentiasa tenang dan tidak melakukan sesuatu secara terburu-buru. 

Apa gunanya untuk seseorang individu itu merasa marah terhadap situasi yang berada di luar kawalannya? Apakah mereka harus marah setiap kali ada pihak yang cuba menguji kesabarannya? Bagaimana jika ada 100 orang yang mempunyai sikap sebegitu? Perlukah kerenah pihak sebegini turut dilayan? 

Selain bersabar, seseorang pekerja itu harus bijak bermain perang psikologi dengan pihak yang satu lagi. Gosip ataupun hasutan yang cuba dicetuskan merupakan sebahagian daripada perang psikologi untuk membuatkan seseorang itu marah. 

Maka, sebagai seorang manusia yang telah dikurniakan akal fikiran, mereka perlu bijak menilai dan memerhati tindak-tanduk pihak yang satu lagi agar tidak terperangkap dalam permainan musuh. 

Bukankah kesabaran sebahagian daripada iman? 

Kepada pemimpin-pemimpin politik yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, nasihat ini juga sesuai untuk anda semua. 

* Pandangan di atas hanyalah komentar peribadi penulis.

Comments