Opinion

Rasuah dalam bola sepak negara: Di mana titik penamatnya?

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

5 FEB — Sukan bola sepak negara telah melalui beberapa transformasi yang membanggakan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. 

Bagaikan tidak diduga, segala yang diharap dan didoakan agar akan ada sinar harapan dalam sukan bola sepak negara (selepas puluhan tahun dalam kemalapan), akhirnya menjadi kenyataan. 

Daripada kejayaan cemerlang merangkul kejuaraan Piala AFF Suzuki pada 2009 kepada kejayaan mempertahankan pingat emas dalam dua edisi Sukan Sea berturut-turut (Vietnam dan Indonesia) sudah memberikan petunjuk jelas betapa jauh sudah skuad bola sepak negara telah melangkah. 

Meskipun ranking dunia skuad bola sepak negara mutakhir ini masih di kedudukan ke-148 yakni suatu kedudukan yang masih gagal menyaingi pencapaian terbaik pada 1993 iaitu pada kedudukan ke-75 dunia, sedikit sebanyak kejayaan itu berupaya mengubati duka yang berpanjangan. 

Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kegembiraan yang dirasai oleh peminat-peminat serta pemain kebangsaan negara itu sendiri. Sesungguhnya, ini juga merupakan satu-satunya detik yang signifikan dalam sejarah bola sepak negara kerana detik sedemikian tidak mungkin akan diulangi selepas ini. 

Sudah pastinya, kejayaan berkenaan membuktikan bahawa segala keringat, komitmen dan kepercayaan yang dicurahkan oleh jurulatih, pemain serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ternyata tidak sia-sia. Dalam erti kata lain, keyakinan mereka terhadap masa depan bola sepak negara adalah bertempat. 

Ada yang mungkin mengatakan kejayaan tersebut sekadar takdir dan bukanlah kerana kemampuan sebenar skuad bola sepak kebangsaan negara. Namun demikian, pujian dan merit harus diberikan kepada skuad bola sepak negara kerana berjaya mempamerkan semangat juang tinggi dan memecahkan “inferiority complex” yang selama ini bermain-main dalam fikiran pemain-pemain. 

Statistik yang ada di hadapan mata kita tidak berbohong. 

Prestasi memberangsangkan dalam perlawanan persahabatan ketika menentang Liverpool (tewas 3-6), Manchester United (tewas 2-3), Chelsea (tewas 0-1) dan pada perlawanan kelayakan ke Sukan Olimpik menentang Bahrain (tewas 2-3 sekalipun mendahului 2-0 pada satu ketika) akhir tahun lalu sedikit sebanyak memberi harapan kepada penyokong bola sepak negara bahawa segala-galanya tidak malap seperti yang digembar-gemburkan. 

Tambahan pula dengan kebangkitan beberapa pemain negara seperti Safee Sali dan Safiq Rahim yang kini mendapat perhatian beberapa kelab bola sepak di Eropah, ianya bakal menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk sukan bola sepak negara. 

Namun begitu, segala yang indah tidak semestinya akan kekal buat selama-lamanya. Sebaliknya, ia boleh hancur berderai dalam sekelip mata jika sukan bola sepak negara sekali lagi dihantui dengan gejala rasuah dalam kalangan pemain. 

Jika apa yang dilaporkan dalam media baru-baru ini mengenai kemungkinan sejumlah pemain dari Perlis terbabit dalam gejala rasuah adalah benar, maka ini merupakan berita yang cukup mendukacitakan, lebih-lebih lagi musim baharu Liga Malaysia 2012 baharu sahaja membuka tirainya dan tambahan pula kita baharu sahaja melangkah ke tahun 2012. 

Nampaknya, kita tidak mempelajari kesilapan dan impak yang tercetus kepada imej bola sepak negara, FAM dan industri itu sendiri di mata dunia gara-gara kerana perbuatan rasuah itu. Semacam episod hitam 1994 seolah-olah sudah hilang daripada ingatan pemain-pemain bola sepak negara. 

Lebih mendukacitakan, khabar mengenai gejala rasuah dalam bola sepak negara berulang memberi tamparan hebat kepada Liga Malaysia yang selama ini gah dengan labelnya sebagai sebuah liga bola sepak yang profesional. Benarkah begitu? Apakah tindakan menerima sogokan oleh pemain-pemain bola sepak berkenaan boleh dikategorikan sebagai profesional? Apakah bentuk profesionalisme yang ingin ditunjukkan oleh pemain-pemain berkenaan tatkala menyedari bahawa tindakan menerima sogokan itu sebenarnya merupakan perbuatan yang terkutuk? 

Perkembangan terbaru ini pasti akan meletakkan pembangunan sukan bola sepak negara kini kembali ke status-quo pasca 1994 apabila minat peminat bola sepak terhadap sukan itu merudum. Mahu tidak mahu, sukan ini akan diheret 10 atau 20 tahun ke belakang semula. 

Maka kerana sikap hipokrasi yang cukup jelas itu, selepas ini usah lagi bercakap mengenai profesionalisme sukan bola sepak negara jika gejala terbabit tidak dapat dihapuskan.  Jangan juga membuang masa kita semua kononnya ingin membawa skuad bola sepak negara menjadi antara yang terbaik di Asia jika rasuah masih terus berlaku. 

Persoalan utama yang kini berlegar-legar dalam fikiran semua adalah apakah gejala rasuah yang melanda sukan bola sepak negara pada 1994 akan berulang semula? Siapa pula yang terlibat kali ini? Dan apa pula tindakan yang akan diambil ke atas mereka yang terlibat? Mampukah gejala rasuah kali ini ditangani habis-habisan hingga ke lubang cacing? 

Mungkin ramai yang masih ingat lagi pada 1994 apabila ratusan pemain bola sepak seperti Matlan Marjan dan Azizul Abu Haniffah disoal siasat dan kesudahannya ada yang dibuang daerah di atas kesalahan merasuah. Maka bermula dari detik itu, kerjaya mereka sebagai seorang pemain bola sepak profesional telah berkubur. 

Di manakah silapnya? Apakah FAM harus menggalas sepenuhnya tanggungjawab di atas isu ini? Bagaimana pula dengan peranan yang dimainkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)? Apakah pemain-pemain bola sepak terlibat tidak mempunyai sebarang tanggungjawab terhadap isu rasuah ini? 

Sekalipun rasuah bukanlah perkara baharu dalam sukan bola sepak negara, tetapi itu tidak bererti bahawa masalah ini boleh dipandang remeh seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Kembalinya gejala rasuah dalam sukan bola sepak negara berpunca daripada kombinasi beberapa faktor. Antaranya, ketidaktegasan penguatkuasaan oleh agensi yang berkenaan. 

SPRM dengan kerjasama FAM harus mencari satu mekanisme paling mujarab dalam menewaskan rasuah. Mekanisme yang dikenal pasti itu tidak haruslah bersifat sementara dan pada masa yang sama mampu membasmi rasuah hingga ke peringkat akar umbinya. Bermakna di sini, segala lompong dan ruang yang dilihat berupaya mewujudkan gejala rasuah harus dihentikan supaya ia tidak membarah. 

Tidak terkecuali, SPRM juga perlu berpendirian tegas untuk mendakwa dan menghukum mana-mana pemain yang didapati bersalah dalam rasuah. Tidak sepatutnya wujud sebarang keraguan dari pihak SPRM dalam mendakwa mereka yang terbabit. 

SPRM harus menghantar satu mesej yang cukup jelas kepada suspek rasuah bahawa segala perbuatan rasuah akan ditangani dengan penuh ketegasan tanpa mengira bulu atau pangkat seseorang. Pokoknya, tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang yang ditetapkan. Sama ada tindakan SPRM itu popular atau tidak, undang-undang sedia ada perlu ditegakkan agar mereka yang melakukan kesalahan itu tidak akan mengulanginya. 

Sementara di pihak pemain pula, mereka harus berpijak pada bumi nyata bahawa tindakan menerima sogokan daripada pihak bookie tidak akan membawa mereka ke mana-mana dalam jangka panjang. Sebaliknya, kehidupan selepas itu hanya akan bertambah parah kerana segala pergerakan anda akan diperhatikan dan secara tidak langsung juga, perbuatan menerima sogokan itu telah merosakkan imej baik negara di mata dunia. 

Berbaloikah untuk memuaskan nafsu diri untuk jangka pendek tetapi dalam jangka panjang, segala nama baik dan usaha baik kerajaan dalam membasmi rasuah terbuang begitu sahaja? 

Jika barisan pemain skuad Perlis benar-benar cintakan negara dan sukan bola sepak negara, hentikanlah amalan menerima sogokan daripada pihak berkepentingan.  Menerima rasuah tidak akan membawa anda ke mana-mana. 

Janganlah membiarkan segala keringat dan usaha yang dicurahkan oleh FAM dan kerajaan terbazir begitu sahaja.  Carilah sumber pendapatan yang halal kerana hanya sumber pendapatan yang halal sahajalah, ia direstui oleh Tuhan. 

Rasuah adalah pemusnah tamadun dan bangsa. Bersama-samalah kita membasmi dan membebaskan gejala terkutuk ini daripada terus memusnahkan sukan bola sepak negara. 

Pastikan igauan buruk 1994 tidak akan berulang lagi! 

* Pandangan yang diberikan di atas hanyalah pandangan penulis.

Comments