Opinion

Siapa lagi selepas ini?

Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

27 JAN ― Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Demikianlah suasana pilu yang menyelubungi Yau Kok Kang dan Goh Ying Ying, ibubapa kepada adik William Yau Zhen Zhong selepas dimaklumkan mengenai kematian anak mereka oleh pihak polis, Jumaat lalu.

Biarpun peratus kepastian mengenai identiti William hanya pada paras 75 peratus, penegasan yang diberikan oleh pihak polis sudah cukup untuk meranapkan segala harapan ibu bapanya untuk berharap bahawa William masih hidup.

Apa yang cukup menyayat hati ialah mereka (ibubapa William) tidak sempat untuk menatap wajah anaknya buat kali terakhir. Dan William meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.

Kejam tetapi benar…inilah realiti pahit yang terpaksa dilalui ibu bapa William. Kehilangan anak tersayang akibat penyakit mungkin masih boleh diterima namun kehilangan anak tersayang tanpa sebarang sebab-musabab adalah sesuatu yang sukar untuk ditelan.

Kematian adik William bukan sahaja merugikan kaum keluarga Yau bahkan juga negara secara keseluruhannya. Malaysia kini dinafikan oleh seorang bakat terpendam yang berkemungkinan memberi sumbangan kepada pembangunan negara.

Kematian adik William dalam keadaan yang cukup tragis itu mengulangi detik-detik hitam yang menimpa negara tidak beberapa lama dahulu. Masih ingatkah anda dengan pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin pada Ogos 2007? Juga, ingatkah anda dengan adik Tin Song Sheng yang diculik dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Taman Rasah kira-kira 17 tahun lalu? Nampaknya sejarah terus berulang.

Terdapat satu ciri persamaan dalam ketiga-tiga insiden yang dimaksudkan. Dalam insiden membabitkan adik William dan Nurin Jazlin, ia berakhir dengan kematian manakala nasib adik Song Shen masih belum diketahui hingga ke hari ini.

Sama ada ibubapa harus dipersalahkan dalam ketiga-tiga insiden berkenaan, itu bukan persoalan pokoknya. Ini kerana, tindakan menuding jari tidak mungkin akan membawa adik William, Nuri Jazlin mahupun Song Shen kembali bernyawa. Malahan, ia hanya terus membuka luka lama yang akan menghantui mereka buat selama-lamanya.

Tiada siapa yang mahu melihat ibubapa kepada anak-anak itu hidup dalam kesengsaraan. Tetapi apa yang penting ialah bagaimana memastikan insiden sedemikian rupa tidak akan berulang dan menimpa kepada kanak-kanak lain.

Pastinya, insiden adik William bukanlah titik noktah kepada kehilangan kanak-kanak selepas ini. Malah ia hanya “tip of the iceberg” kepada satu bentuk insiden yang lebih serius. Selagi tahap kesedaran terhadap keselamatan anak-anak masih rendah dan masih berkeliaran individu-individu buas di luar sana, maka selagi itulah insiden kehilangan kanak-kanak akan terus berlaku.

Realitinya, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada bantuan pihak berkuasa seperti polis untuk menangani jenayah kerana mereka mempunyai keterbatasannya tersendiri. Tanpa sokongan jitu dan kerjasama pihak ibubapa, tidak banyak yang boleh dilakukan.

Ibubapa pula haruslah mengawasi setiap pergerakan anak-anak mereka. Pengawasan itu perlu konsisten dan dilaksanakan walau di mana mereka berada. Jangan sesekali terlepas pandang dan memberikan kelonggaran kepada anak-anak untuk bergerak terlalu bebas.

Jika benarlah adik William dibunuh secara kejam oleh individu tidak dikenali, si pembunuh itu tidak wajar dilepaskan. Si pembunuh terbabit harus diheret ke muka pengadilan bagi menerima hukuman yang setimpal. Hukuman tersebut pula harus setimpal dengan jenis jenayah yang dilakukan.

Tidak perlu ada unsur belas kasihan kepada si pembunuh. Si pembunuh itu tidak banyak bezanya dengan seekor binatang. Malah ada kalanya binatang itu sendiri lebih berperikemanusiaan daripada si pembunuh.

Apapun, kepada keluarga Yau… hadapilah saat-saat sukar ini dengan penuh tabah. Segala yang sudah berlaku pasti mempunyai hikmah di sebaliknya. Ia juga memberikan kekuatan kepada mereka untuk berhadapan situasi sama dengan lebih tenang.

Jangan biarkan anak anda menjadi mangsa hilang yang berikutnya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis

Comments