Opinion

‘31 Ogos’ dan nasib pencipta lagunya

Meor Yusof Aziddin

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwriter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

25 OGOS — Tanggal 31,

Bulan lapan lima puluh tujuh,

Merdeka! Merdeka!

Tetaplah merdeka,

Ia pasti menjadi sejarah. — Petikan dari lagu “Tanggal 31” — Ahmad C.B (1957) 

Penyanyi popular 50an dan 60an Ahmad C.B atau nama sebenarnya Ahmad Chass Barra mencipta dan menyanyikan lagu “Tanggal 31” pada tahun 1957 bersempena hari kemerdekaan negara kita waktu itu. 

Beliau yang lahir di Medan, Indonesia tetapi telah menetap di Malaysia sebagai pemastautin tetap pada tahun 1979 adalah penyanyi yang popular pada era tersebut dengan lagu “Cincin Belah Rotan”, “Kisah di Geylang Serai” dan “Belo-Belo” (duet dengan Saloma) antaranya. 

Saya adalah salah seorang peminat lagu-lagu lama 50an dan 60an, jadi lagu-lagu ciptaan dan nyanyian Ahmad C.B memang menarik bagi saya terutama lagu “Cincin Belah Rotan”. Menarik kerana nilai kejujuran yang ada di dalam lagu-lagunya. Suaranya pun ada “feel”. Suara “orang lama” memang menusuk kalbu kerana tahap penghayatan mereka pada lagu yang dinyanyikan sangat berkesan dan mampu melekat ke jiwa pendengar berbanding penyanyi masa kini. 

Cuma itulah seperti yang selalu saya kesalkan, di zaman itu tidak ada sistem royalti untuk para penyanyi dan pencipta lagu kerana akta hak cipta hanya diwartakan pada tahun 1987. Bayaran untuk lagu dan nyanyi di waktu itu hanya secara “lump sum”, jadi kehidupan mereka di pentas dan di sebalik pentas adalah tidak sama. Di pentas mereka adalah penghibur yang menjadi pujaan lelaki dan wanita yang serba sempurna di mata tapi kenyataannya kehidupan mereka di alam nyata tidaklah seindah yang digambarkan. Mereka ibarat lilin yang menerangi dan membahagiakan masyarakat dan pendengar. Menyedihkan tapi itulah kenyataannya. 

Sekurang-kurangnya jika ada sistem royalti untuk artis, taraf hidup mereka akan lebih baik dan terjamin kerana kehidupan para artis dan seniman itu ibarat roda, ada masa naik dan ada masa pula turun. Hari ini kita dipuja, esok pula kita dikeji, begitulah... 

Ramai para penyanyi seangkatan yang popular dan hebat di zaman itu seperti R. Azmi contohnya juga hidup dalam kemiskinan sehingga akhir hayat. Mereka diniagakan demi menguntungkan syarikat rakaman. Mereka dididik untuk menjadi superstar yang nampak kaya dan bergaya sedangkan kehidupan realiti mereka adalah sebaliknya. 

Mereka tidak digalakkan bergaul dengan masyarakat biasa atas taraf mereka yang seakan bangsawan. Masyarakat pula dimomok dengan cerita-cerita dongeng dan yang indah-indah belaka tentang dunia filem dan nyanyian. Kesannya tidak hairanlah sehingga ke hari ini orang kita masih dibuai dengan mimpi indah dan angan-angan untuk menjadi artis dan memuja para artis. 

Di khabarkan juga setelah lama menetap di Malaysia Ahmad C.B pulang ke kampung halamannya di Medan dan menetap di sana sehingga akhir hayatnya. Menurut seorang kenalan saya yang pernah berkunjung menziarah beliau di kampungnya di Medan sekitar tahun 1986 dulu di kawasan perumahan setinggan yang penuh dengan kepadatan dan kesesakan para warganya, Ahmad C.B ada menceritakan nasibnya yang tidak mendapat bayaran atau hasil yang berbaloi atas lagu-lagunya terutama lagu “Tanggal 31” yang dinyanyikan semula oleh Sudirman pada tahun 1982. Pihak syarikat rakaman pula seakan indah tak indah sahaja akan hak dan nasibnya, jadi itulah kenyataan nasib dan perjalanan takdir yang harus diterima walaupun ianya sangat pahit untuk ditelan. Waktu kenalan saya ke sana untuk bertemu beliau, umurnya di dalam lingkungan 60an gitu. 

Tanpa sebarang pekerjaan tetap untuk menyara hidup nya, beliau tinggal bersama anak lelakinya di sebuah rumah kecil yang amat sederhana di kawasan setinggan di pinggir bandar Medan. Katanya dalam sembang-sembang dan keluh-kesah dengan kenalan saya itu, Kerajaan Malaysia tidak menghargai jasanya yang mencipta lagu kebangsaan “Tanggal 31” malah melupakannya.  

Sehingga kini saya tidak tahu samada beliau masih hidup atau sudah meninggal dunia. Hanya sedikit info mengenai beliau yang boleh didapati di Internet. Jika apa yang dikeluhkannya itu benar, pihak Kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk bertemu dengan keluarga beliau dan memberikan pengiktirafan mahupun bantuan kepada keluarganya di atas jasanya yang menjadi pencipta lagu “Tanggal 31”. 

Menilik lirik dan lagu “Cincin Belah Rotan” yang beliau cipta dan nyanyikan di era 50an dulu, apa yang saya faham melalui lirik tersebut, sebenarnya beliau telah pun menerima kehidupan dan takdir dalam bentuk yang seadanya. Bahawa kehidupan ini bukanlah semudah yang kita janjikan, bahawa kejujuran adalah nilai yang paling mulia untuk hidup walau tanpa harta benda dan wang yang melimpah.  

Hanya bila lagu “Tanggal 31” dinyanyikan semula dan ditukar tajuknya kepada “31 Ogos” oleh legenda penghibur tanahair kita Sudirman Arshad (Allahyarham) pada tahun 1982 dalam album patriotiknya yang bertajuk “Abadi”, barulah lagu itu menjadi evergreen dan mala segar sehingga ke hari ini. Sehingga walau saban tahun ada saja lagu patriotik sempena Hari Kebangsaan yang dicipta, ianya tidak dapat menandingi kehebatan lagu ciptaan Ahmad C.B versi Sudirman ini. 

Album “Abadi” Sudirman yang diterbitkan oleh penerbit S. Atan di bawah syarikat rakaman EMI pada tahun 1982 itu mengandungi 10 lagu patriotik seperti lagu “Warisan”, “Tegakkan Bendera Kita”, “Kehadiranku” antaranya. Album itu seperti diduga gagal dari segi pasaran komersialnya berbanding album komersial Sudirman sebelum atau selepasnya. Pun kesannya sehingga ke hari ini lagu “Warisan” dan “31 Ogos” yang terdapat dalam album tersebut telah menjadi lagu motivasi untuk pelajar sekolah khususnya. 

Kita harus akui untuk menjadikan sesebuah lagu itu menjadi popular, kehebatan dan populariti sang penyanyi adalah salah satu penyebabnya. Sudirman bagi saya adalah penyanyi yang paling layak menyanyikan lagu “31 Ogos” kerana tahap kefahaman dan dedikasinya yang jelas terhadap karier yang didukungnya sejak muncul juara bintang RTM pada tahun 1976.  

Cuma itulah yang selalu kita kesalkan juga, kita sering tidak indah akan hal kebenaran dan hak. Bermula lagu “Negaraku” yang terpaksa mengambil melodi lagu orang lain, walaupun telah diadakan pertandingan mencipta lagu kebangsaan waktu itu (1956) dan 514 borang penyertaan telah diterima, namun lagu orang juga yang kita guna. Alangkah baiknya jika rakyat kita sendiri yang menggubah dan menciptanya, ianya akan lebih bermakna bagi kita. 

Kita akan menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini. Seperti yang saya ulas tadi walau saban tahun ada saja lagu patriotik bersempena Hari Kebangsaan yang dicipta, lagu “Tanggal 31” ciptaan Ahmad C.B nyanyian Sudirman akan tetap berkumandang menjadi lagu wajib untuk generasi hari ini dan masa depan. 

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-55.  

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments