Opinion

Antara Kamahl, Datuk Shake, Sudirman dan nasib

Meor Yusof Aziddin

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwriter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

3 FEB — Antara artis dari Malaysia yang berjaya mencipta nama di persada seni muzik antarabangsa yang saya kagum antaranya Datuk Shake dan Kamahl. Shake mencipta nama di Perancis dan Kamahl pula berjaya di Australia.

Jika ditanya saya tentang kejayaan Yuna di persada antarabangsa, saya akui itu namun bezanya dengan dua legenda tersebut ibarat langit dengan bumi. Apatah lagi Yuna terlebih dulu mencipta nama di sini sedangkan Kamahl juga Datuk Shake bermula dari kosong.

Apatah lagilah untuk berjaya di era tahun 60an dan 70an bukanlah satu perkara yang mudah kerana di zaman itu bukannya ada kemudahan internet.

Kamahl atau nama sebenarnya Kandiah Kamaleswaran ( lahir 13 hb nov 1934 ) membesar di Brickfield. Mula berhijrah ke Australia pada tahun 1958 sebagai pelajar dan berjaya merakamkan album pertamanya pada tahun tahun 1967 yang berjudul A Voice to Remember.

Albumnya berjaya dijual sehingga 45 juta unit di seluruh dunia dan berbagai pengiktirafan dari kerajaan Australia yang telah dikecapinya sepanjang bergelar penghibur.

Keistimewaan Kamahl adalah suaranya yang unik dari segi sebutan dan intonasinya. Kita boleh samakan beliau dengan penyanyi bersuara emas dunia seperti Nat King Cole, Engelbert Humperdink, Matt Monroe mahpun Tom Jones antaranya.

Lagu hitnya muncul pada tahun 1975 yang berjudul ‘Elephant Song’ yang nyata memberikan beliau kejayaan yang gilang-gemilang sebagai artis sehinggalah ke hari ini.

Kamahl sebenarnya seangkatan dengan Seniman P.Ramlee ( Tan Sri Datuk Amar Dr ) yang lahir pada Mac 1929. Cuma jika Kamahl mencuba nasibnya di sini saya rasa susah untuk beliau berjaya sebenarnya. Nasib memang memainkan peranan dalam hidup manusia.

Paling tinggi pun jika Kamahl berjaya di sini mungkin beliau akan menjadi residen artis untuk RTM seperti penghibur Zain Azman juga Julie Sudiro.

Dan yang paling malang, nasib Kamahl mungkin akan menjadi seperti P. Ramlee yang di penghujung kariernya sudah tidak dipedulikan lagi sehinggalah ke hari matinya. Selepas kematiannya pelbagai gelaran yang dianugerahkan namun apalah gunanya lagi?

Dari segi kejayaan, Kamahl lebih berjaya dan berpengaruh dari mana-mana penyanyi yang mencipta nama di negara luar walau di sini hanya segelintir yang mengenalinya.

Hijrah dan pengorbanan memang diperlukan untuk kita berjaya kerana itulah harga yang perlu kita bayar untuk sebuah kejayaan.

Saya juga kagum dengan kejayaan Datuk Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh (lahir tahun 1950) yang berjaya mencipta nama di Perancis dan negara Eropah.

Penghibur kelahiran Johor ini memulakan kariernya dengan menyanyi di pub dan kelab malam sekitar Johor Baru di awal tahun 70an dulu sebelum nekad mencuba nasib di negara Eropah yang akhirnya beliau berjaya merakamkan single pertamanya ‘Tu sais je t’aime’ (You Know I Love You) pada tahun 1976.

Lagu itu berjaya melonjakkan nama Shake sebaris dengan artis-artis popular Perancis.

Awal 80an Datuk Shake kembali ke Malaysia dan merakamkan album Melayu dengan judul ‘Kau Bungaku’. Album tersebut berjaya dijual lebih 100 ribu unit, yang juga merupakan satu rekod jualan yang paling laris waktu itu.

Saya juga turut membeli kaset album Datuk Shake yang dijual di Pasar Malam di pekan Bruas, kampung saya. Albumnya memang laris. Tapi cetak rompaklah, harganya rm 3.50.

Di kampung mana ada jual yang original, harganya pula kalau original rm 11.90. Itu pun saya perlu menaiki bas ke Setiawan yang jauhnya 35 km dari tempat saya untuk membelinya.

Kalau tidak ada cetak rompak waktu itu, saya percaya album Datuk Shake mampu mencecah jualan sehingga 1 juta unit.

Lagu-lagu nya menjadi siulan anak muda seperti lagu hit bahasa Perancisnya yang ditukar senikatanya ke bahasa Melayu seperti lagu Umi, Lina dan Pulanglah antaranya.

Datuk Shake adalah seorang penghibur antarabangsa, itu semua kita perlu akui. Cuma album selepas ‘Kau Bungaku’ gagal mencapai tahap jualan yang memberangsangkan.

Album-album seterusnya juga gagal menarik perhatian pendengar sehinggalah album terbarunya yang diedarkan baru-baru ini berjudul Chameleon yang menampilkan 12 lagu baru.

Mungkin kegagalan Datuk Shake adalah kerana gagal memahami dan menyelami budaya dan tahap pemikiran masyarakat Melayu terutamanya, berbeza dengan arwah Sudirman.

Datuk Shake terlalu hebat untuk orang Melayu? Atau terlalu ‘star’ dan ‘antarabangsa’ sehingga orang Melayu merasa masih asing dengan kehadirannya, mungkin juga.

Saya tidak rasa beliau mampu mengumpulkan 100 ribu penonton untuk konsert percuma seperti yang dilakukan oleh Sudirman. Itulah bezanya penghibur rakyat dan penghibur antarabangsa.

Sudirman juga penghibur bertaraf antarabangsa walau pencapaiannya tidaklah sehebat Kamahl atau Datuk Shake, tapi Sudirman adalah produk asli 1 Malaysia dan itu yang membezakannya dengan mana-mana artis di negara ini.

Apapun saya tetap hormat akan kejayaan Datuk Shake di persada muzik antarabangsa sehingga mendapat pengiktirafan dan anugaerah ‘Chevalier des art et des lettres et du merite’ atas sumbangannya bahasa dan kebudayaan Perancis di Asia.

Albumnya juga berjaya dijual sebanyak 60 juta unit di seluruh dunia. Bukankah itu satu pencapaian yang menakjubkan?

* Ini pandangan peribadi penulis.

Comments