Opinion

Apa ada dengan Gangnam Style?

21 SEPT — Apabila pertama kali saya menonton video klip Gangnam Style yang dinyanyikan oleh bintang rap/K-Pop bertaraf dunia dari Korea Selatan Psy atau nama sebenarnya Park Jae-Sang (lahir 31 Disember 1977), tidak ada apa yang boleh saya nafikan melainkan ianya adalah satu pakej kesempurnaan.

Saya katakan ianya sebuah video klip yang sempurna kerana segala pakej ada di dalamnya. Tarian, ekstasi, perempuan seksi, muzik hip-hop yang konsisten dan tegang serta kejujuran.

Telah terbukti elemen tarian dan perempuan seksi di dalam lagu adalah satu tarikan yang amat berkesan untuk menarik semua golongan tidak kira tua mahu pun muda tanpa mengira bangsa.

Sehingga semalam (19 September) jumlah penonton sehingga melebihi 214 juta. Bukankah itu satu keajaiban juga satu fenomena?

Seluruh dunia malah di ceruk-ceruk kampung orang bercerita tentang Gangnam Style. Dari rakyat bawahan sampailah kepada pak menteri sana dan sini.

Kita yang tidak pernah tahu tentang kawasan penempatan Gangnam pun secara tidak langsung sudah mula tahu dan mahu ambil tahu tentang kawasan tersebut dan cerita tentang penduduknya.

Jika Michael Jackson masih hidup saya percaya beliau juga akan menumpang populariti lagu tersebut malah akan menari tarian kuda bersama Psy.

Hari ini Psy bolehlah dikatakan penyanyi yang paling sukses dalam sejarah muzik dan industri hiburan di Korea Selatan khususnya atau mungkin juga di dunia.

Secara peribadi saya bukanlah peminat lagu tersebut malah tidak meminati muzik hip-hop, rap atau muzik dance. Cuma “roots” muzik tersebut datang dari muzik disco yang cukup popular di tahun 70an dulu. Saya dibesarkan dengan muzik disco Village People, Tina Charles, Boney M, Genghiz Khan, Bee Gees antaranya.

Muzik disco masih berirama dengan melodi yang sedap dan mudah didengar berbanding muzik hip-hop. Pun begitu saya bersetuju bahawa kehendak majoriti adalah jawapan dan tiada siapa boleh menafikannya.

Gangnam Style adalah single terbaru Psy yang sebelumnya sudah punya enam album yang bolehlah dikatakan sambutan album terdahulunya di tahap yang sederhana sahaja.

Melalui single terbarunya yang meletup itu, beliau umpama mendapat loteri dan serta merta juga taraf hidupnya juga naik melonjak setaraf bintang yang bergelar jutawan.

Gangnam adalah kawasan tempat tinggal orang kaya seperti di Beverly Hills atau kalau di Malaysia kita boleh kata di kawasan Damansara. Dan lagunya dikatakan menyindir golongan biasa yang mahu berlagak seperti orang kaya.

Apa yang saya baca dan faham melalui lirik Gangnam Style, ceritanya hanya menggunakan bahasa yang biasa-biasa sahaja, sesuai dengan konsep muziknya yang terus dan merangsangkan minda.

Sebagai seorang penyanyi yang tidak mempunyai pakej seperti bintang K-Pop lainnya, Psy melalui lagu-lagunya lari dari elemen pop dan komersial, dengan bahasa liriknya yang mudah dan bersifat satira, humour dan penuh dengan sindiran — juga ada yang berunsur lucah.

Seperkara yang jelas memang ada ciri-ciri rebel (melalui lagu mahupun ekpresi) penyanyi kelahiran Korea Selatan ini.

Tidak hairanlah melalui albumnya yang terdahulu sejak album pertamanya yang diterbitkan pada tahun 2001 “PSY... From The Psyco World” penuh dengan kontroversi sehingga didenda kerana kandungan dalam albumnya yang dikatakan tidak sesuai diperdengarkan kepada masyarakat.

Bertambah pula masalahnya dengan kes ditahan kerana menghisap marijuana pada tahun 2001, album ke- 2 yang hanya boleh dijual untuk pendengar berumur 19 tahun ke atas dan berbagai lagi sehinggalah Gangnam Style muncul pada 2012 menyuci segala dosa dan silapnya di masa lalu sehingga dianggap sebagai dewa hari ini oleh masyarakat di seluruh dunia .

Lagu/video klip yang dipenuhi dengan perempuan seksi, tarian yang menghairahkan nafsu, lirik-lirik yang bercerita tentang perhubungan lelaki dan wanita masih lagi menjadi tarikan dan mimpi indah para manusia dari zaman berzaman.

Cuma seperkara yang pasti bukanlah sesuatu yang mudah untuk sesebuah lagu itu popular dan meletup di serata dunia seperti lagu Gangnam Style. Ianya adalah satu keajaiban, seakan virus yang cepat menular menjadi wabak di seluruh dunia untuk satu musim sekurang-kurangnya.

Saya perhatikan muzik hip-hop dan rap yang asalnya dipelopori oleh kalangan penyanyi kulit hitam memang mudah mendapat perhatian anak-anak muda di seluruh dunia.

Mereka nyata terangsang dengan irama yang bingit dan tarian-tarian yang menghairahkan, kebanyakannya penuh dengan unsur-unsur seks melalui lirik-lirik yang panjang dan meleret walau tak tentu hujung pangkal ceritanya melainkan hanya bermotifkan keseronokan semata.

YouTube masih lagi berperanan sebagai salah satu cabang promosi yang paling berkesan untuk para pengkarya tanpa melibatkan kos yang tinggi.

Ramai penyanyi indie kita yang lahir dan mencipta nama melalui YouTube. Antaranya Yuna, Jimmy Palikat (penyanyi kelahiran Sabah yang popular dengan lagu “Anak Kampung”) dan Najwa Latif (sekadar menyebut beberapa nama)

Pendekata hari ini apa saja topik asal ada melibatkan Gangnam Style, saya jamin pasti akan popular dan akan ramai penontonnya.

Pun kita sudah punya lagu Gangnam versi Malaysia yang tajuknya Gangnam (Super Kampung) Style yang dinyanyikan oleh para deejay dari Radio Fly FM yang jumlah penonton yang menonton video klip mereka di YouTube sudah melebih 1.7 juta.

Bukankah ini musim yang sangat hebat bagi sosok tubuh yang bernama Park Jae-Sang ini?

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments