Opinion

Lagu cinta, melodi dan pengaruhnya

Meor Yusof Aziddin

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwriter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

1 DIS — Suatu hari itu, usai saya menyanyikan lagu cinta “Only You” lagu hit tahun 50an yang dipopularkan oleh kumpulan vokal terkenal dari Amerika, The Platters, seorang lelaki Tionghua berumur awal 50an datang kepada menyatakan kepada saya dia sangat meminati lagu itu.

Dedikasi lagu itu baginya untuk Tuhan, katanya. Itu level kefahamannya yang bagi saya sudah matang. Apa saja lagu cinta kita boleh dedikasikan untuk Tuhan mahupun manusia bergantung kepada tahap faham kita dalam mengenal.

Dunia memerlukan benih-benih cinta yang ditaburkan kepada umat manusia agar mereka dapat memelihara dan memahami makna dan nikmat kasih-sayang yang datang dariNya.

Di seluruh dunia manusia membesar dan memuja lagu cinta kerana itu adalah fitrah dan bersifat universal untuk kehidupan sejagat.

Maka itu tidak hairanlah dari zaman dulu hinggalah sekarang lagu-lagu cinta masih menguasai pasaran muzik dan industri dunia keseluruhannya.

Apabila mengkaji pasaran dan perkembangan muzik di negara ini sejak tahun 50an lagi sehinggalah sekarang, 95 peratus lagu-lagu yang popular dan diterima masyarakat kita adalah lagu yang bertemakan cinta, terutamanya cinta sesama manusia.

Untuk seseorang artis itu menjadi popular, mahu tidak mahu mereka memerlukan lagu bertemakan cinta yang bertaraf “killer song”.

Melodi pula perlulah stereotype dengan kord Am/Dm/G/C/F/Dm/E atau Am/Dm/E. Rentak melodi pula biasanya standard counting 4/4 berentak ballad slow rock.

Nada “minor” biasanya lebih popular untuk mood irama klasikal. Lagu-lagu intrumental klasikal seperti yang dicipta pada abad ke-19 “Romance de Amour” atau “Concierto Aranjuez-Adagio” yang mana melodinya sangat menyentuh dan dramatik.

Pun untuk ke dua-dua lagu klasikal tersebut, ada nada “minor” juga “major” yang bercerita tentang suka dan duka tentang apa saja isinya pun.

Itu kita katakan muzik instrumental yang hebat dan berkesan dan bila melodi yang sebegitu diterjemahkan pula ke dalam bait-bait sedih lagu Melayu kesannya akan layu dan lemahlah perasaan para teruna dan dara dengan mesej yang penuh dengan ratap dan hiba seolah hari esok sudah tiada lagi akibat gagal dalam bercinta contohnya.

Masyarakat kita memang suka lagu cinta yang meleret terutamanya yang bertemakan patah hati, rindu dendam dan angan-angan sehingga terbuai dalam kehidupan dan pemikiran mereka .

Itulah formula yang kebanyakan komposer dan penulis lirik popular kita gunakan dan kesannya lagu-lagu yang keluar di corong radio dari zaman ke zaman, melodinya seakan sama antara satu dengan yang lain.

Para komposer popular kita pula kebanyakannnya bukanlah berbakat sangat melainkan mereka-mereka ini punya hubungan atau bekerja dengan syarikat rakaman jadi mudahlah untuk mereka menjual lagu-lagu ciptaan mereka kepada para artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman tersebut.

Artis pula terutamanya yang baru bukanlah punya banyak pilihan untuk memilih melainkan apa yang dicadangkan oleh para komposer dan syarikat rakaman tersebut.

Zaman terbaik bagi penciptaan lagu yang bermutu adalah di tahun 50an di era P. Ramlee. P. Ramlee banyak menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti sewaktu di Jalan Ampas tahun 50an dulu . Lagu-lagu seperti “Getaran Jiwa”, “Ibu”, “Tunggu Sekejap”, “Merak Kayangan”, “Jeritan Batinku” antaranya sangat berkualiti dan evergreen.

Lagu-lagu ciptaan dan nyanyiannya masih kita dengar dan segar sehingga ke hari ini. Seperkara P. Ramlee bernasib baik juga kerana waktu itu disekelilingnya ramai pemuzik dan penggubah muzik yang hebat yang bekerjasama dengannya seperti Kassim Masdor antaranya.

Selepas P. Ramlee saya juga salut dengan karya-karya awal Datuk Ahmad Nawab terutamanya di tahun-tahun 70an dan awal 80an.

Cuma agak menghampakan waktu itu lagu-lagu popular kebanyakannya adalah saduran dari lagu-lagu popular Jepun, Hindi dan Inggeris.

Masuk era 80an M. Nasir (Datuk) menguasai pasaran dan lagu-lagu ciptaannya menjadi rebutan para artis sehingga beliau mampu memiliki sebuah studio rakaman sendiri.

Saya pernah diperdengarkan oleh kawan saya sebuah lagu ciptaan M. Nasir yang melodinya memang cincai dan tangkap muat. Kata kawan saya yang juga seorang produser dan pemuzik terkenal, dia akan sambung-sambungkan melodi bodoh yang dicipta M. Nasir itu, yang penting dia mahukan nama M. Nasir tertera sebagai pencipta lagu, itu yang lebih penting.

Begitulah halnya bila nama sudah terkenal, apa saja yang dibuat adalah ringgit dan nafsu belaka. Sudahnya saya dan kawan saya sama-sama ketawa mengenangkan betapa mudahnya manusia memanipulasi antara sesama untuk kepentingan peribadi dan periuk nasi.

Selepas era M. Nasir, tibalah era Saari Amri, Eddie Hamid, Ajai dan seterusnya sehinggalah ke hari ini.

Cuma saya tidak mengikuti sangat perkembangan dan lagu-lagu mereka kerana tidak kena dengan selera dan jiwa.

Pun begitu kesemua mereka-mereka ini adalah komposer popular yang berjaya mencipta nama di negara kita ini.

Tema cinta itu luas. Ada cinta kepada alam, manusia, kehidupan, ketuhanan juga negara. Cuma tema yang paling popular adalah lagu yang bercerita tentang cinta sesama manusia.

Maka itulah teori yang digunakan oleh para komposer untuk mencipta lagu. Sudahnya dari dahulu sampailah sekarang mutu dan kualiti lagu-lagu yang berkumandang di corong radio mahupun kaca TV tema dan rentaknya sama sahaja dan tidak berkembang.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments