Opinion

Memahami kehidupan ini sebiasanya

Meor Yusof Aziddin

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwriter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

11 FEB — Seorang kenalan pernah bertanya dan meminta pendapat saya tentang masalah dan situasi yang sedang dihadapinya waktu itu yang penuh dengan tekanan dengan persekitaran dan suasana kerja yang membebankan.

Kenalan saya itu punya pekerjaan dan kehidupan yang stabil dan agak elit. Wataknya sebagai warga kota yang punya segalanya memanglah menarik. Kerja dan gaji yang lumayan juga biasanya menuntut kita fokus dan dedikasi terhadap tugasan yang diamanahkan oleh majikan kepada kita.

Pun sebagai manusia kita juga kadang-kadang pening dan tension dalam mengejar dateline dan deretan mesyuarat yang penuh dengan protokol dan formaliti. Itu belum masuk lagi bab dimaki-hamun dan sumpah seranah oleh para pelanggan juga pihak majikan yang kalau boleh mahukan kita ini sehebat dan se sempurna Superman!

Saya cadangkan beliau cuba luangkan masa dengan melepak di warung mamak, restoran biasa atau ekslusif sambil menghirup teh tarik atau kopi ‘O’ segar, kosongkan fikiran dengan menyaksikan panorama yang realistik dan segar di sekelilingnya.

Lakonan setiap watak disekeliling kita adalah hidup dan kita hanya perlu menjadi penonton yang “cool”!

Itulah yang dilakukannya dan kesannya beliau rasa lebih tenang dan kembali bermaya dalam menangani pelbagai rencah ragam kehidupan ini seadanya.

Di jalanan atau sekeliling kita akan lihat dan hayatilah lakonan hidup watak-watak yang sedang meraikan hidup mereka. Ada yang sedang berjalan, berlari, makan, minum, ketawa, marah dan pelbagai lagi yang kita dapat saksikan dan yang paling penting, semuanya percuma!

Kehidupan ini memanglah tidak adil untuk penghuninya. Itu kita akan katakan segala yang datang adalah ujian samada suka mahupun duka. Kita perlu cuba untuk menghargai semua itu seadanya.

Tidak adil kerana lumrah dan fitrah hidup itu sendiri memang sudah ditakdirkan begitu. Ada yang lahir ke dunia sebagai anak orang kaya, ada yang miskin, ada yang cacat, ada yang sihat, yang gemuk, kurus dan sebagainyalah.

Saya melihat seorang anak kecil dalam yang berumur dalam lingkungan 3 tahun yang wajahnya cacat dan senget berlari riang mendapatkan ibunya yang lantas mendakapnya dengan penuh kasih-sayang.

Apa yang akan jadi pada emosi si anak itu bila berumur 10 tahun nanti? Di mana rakan-rakannya mungkin akan mula mengasingkan diri dan dia akan mula faham tentang buruk dan cantik. Betapa sukarnya untuk si anak itu menyakinkan dirinya sendiri dalam menempuh hidup yang serba plastik hari ini?

Saya juga melihat penderitaan emosi seorang kawan yang anaknya yang berumur 7 tahun itu telah disahkan mengidap penyakit barah otak yang kritikal.

Betapa sukarnya untuk beliau menerima kenyataan dan takdir anaknya yang dari sihat walafiat menjadi lumpuh dan koma, terbaring di atas katil sambil setiap doa dipanjatkan ke langit agar keajaiban dan Tuhan itu mendengar keluh dan doa para makhuknya.

Jika kita seorang yang “rebel” kita akan selalu bertanya mengapa, mengapa dan mengapa Tuhan jadikan manusia itu dalam berbagai rupa, gaya dan bentuk ? Mengapa ada manusia yang kejam, ada yang baik, ada yang hipokrit dan ada yang jujur?

Akhirnya kita akan cuba mencari jalan penyelesaian dan cuba mencari jawapan dengan meneroka ruang iman dan spiritual keagamaan mahupun falsafah dalam mencari kebenaran mengikut cara, tahap faham dan fikir kita.

Melalui pengalaman yang saya lalui sepanjang hidup bergelar manusia ini dan rumusannya atas setiap persoalan itu, segalanya bergantung pada diri dan tahap kefahaman kita sendiri dalam mencari dan mengenal makna hidup.

Hidup adalah satu proses yang panjang dan tidak berpenghujung dan kita akan terus belajar untuk menghadapi bahkan menerimanya.

Lahir saja kita ke dunia, kita akan menangis kerana suka dan duka. Dunia adalah tempat untuk kita melengkapkan cerita kita yang penuh dengan kegembiraan dan kesedihan.

Kita dijadikan bukan untuk melarikan diri dari masalah, tapi menerima dan menanganinya. Paling baik jika kita masih mampu tersenyum redha tatkala Malaikat Maut datang menjemput kita pulang ke pangkuanNya.

Dan adalah sesuatu yang merugikan jika kita takut dengan kehidupan ini kerana tanpa sekeliling, kita umpama manusia yang sepi dan tidak bernyawa.

Apa guna hidup sebagai Michael Jackson jika hidup umpama di dalam penjara walau dipenuhi dengan kemewahan?

Itulah pentingnya kita perlu memotivasikan diri kita dengan mendengar lagu-lagu yang bermesej yang mampu membentuk kefahaman dan jati diri kita dalam apa juga bentuk cabangnya sekalipun, contohnya...

Dan ingatlah, kehidupan ini hanyalah sekadar pentas dan tempat singgah untuk kita bermain bersesuaian dengan watak kita.

Masalah akan sering hadir mengganggu dan menguji, jika kita terlalu merumitkan keadaan dan situasi dengan memikirkan setiap butir segala permasalahan, itu hanya akan merugikan diri kita sendiri.

Mungkin kita akan menang dalam percaturan hidup ini, mungkin juga sebaliknya. Itu lumrah kehidupan. Cuma penting untuk kita “redha” dan menerima takdir kita se adanya.

Kita perlu hidup di dunia sebagai seorang manusia yang kenal dirinya dan hidup ini, bak kata Osho, “Life is a Cosmic Joke”, jadi jangan pening-pening kepala dalam memikirkan kerja Tuhan.

Cubalah belajar untuk memahami kehidupan ini seadanya dan jika kita masih mampu berketawa untuk diri sendiri mahupun kehidupan ini, kita akan duduk di dalam bahagiaNya, insyaallah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

 

Comments