Opinion

Menilai isi dan kulit

27 JAN ― Kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) baru-baru ini telah membuat kejutan dan peraturan baru yang melihatkan seni dan hiburan di negeri Kedah.

Kata mereka dasar dan garis panduan yang mereka gariskan dan akan berkuatkuasa menjelang Tahun Baru Cina itu tidaklah popular terutamanya di kalangan anak-anak muda yang kebanyakannya memang sukakan hiburan.

Itulah seperti apa yang saya baca di Malaysia Today Online yang bertarikh 14hb Jan 2013 juga MStar online. Peraturan yang mereka tetapkan memang mengikut apa yang mereka faham dan tetapkan, juga syok sendiri.

Dalam ugama Islam sendiri ada berbagai fahaman, ada yang terbuka dan ada yang tidak. Ada yang konservatif dan ada yang non-konservatif.

Antara dasar mereka yang menarik perhatian dan membuatkan saya termenung dan berfikir seperti kalau kita nak bermain alat muzik, itu tidak dibenarkan kecuali dengan iringan muzik minus one.

Saya pun berfikir bagaimana mereka boleh berfikir sesingkat itu? Maher Zen atau Sami Yusof contohnya jika mereka datang ke sini menyanyi guna minus one sebab budget nya kecil. Kalau besar budgetnya sudah tentu mereka pun mahukan muzik iringin yang lebih “live”.

Dari saya mendengar lagu Maher Zen atau Sami Yusof, lebih baik saya dengar lagu-lagu dari singer-songwriter dunia yang lebih bijak, jujur dan matang yang boleh buat saya berfikir ke depan dan lebih positif untuk hidup.

Kalau setakat dakwah dengan bahasa puja, puji dan bodek itu tidak semestinya mereka jujur dengan apa yang mereka kata dan lagukan, biasanya begitulah...

Tak tahulah jika itu yang lebih kita utamakan, menilai kulit dahulu, kemudian isi ?

Banyak lagilah arahan dan garis panduan yang dikeluarkan yang kebanyakannya bagi saya itu pandangan yang konservatif dan sehala.

Dan yang paling menarik dasar itu berkuatkuasa sebelum pilihanraya yang mungkin akan diadakan dalam sebulan atau dua bulan lagi dari sekarang.

 Arahan itu telah dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Seni dan Warisan, Datuk Dr Hamdan Muhamed Khalib dan diserahkan kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Bakar Din pada 9hb Jan 2013.

Itulah seperti yang pernah saya tulis dalam keluaran yang lalu tentang pandangan golongan PAS terutamanya dalam menilai seni muzik dan hala tujunya. Saya sebagai pemuzik tidak akan bersetuju dengan garis panduan tersebut kerana ia nyata bersifat sehala dan sempit.

Saya salut pandangan segelintir wakil golongan muda dalam PAS seperti Muhaimin Sulam juga bekas setiausaha Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, saudara Anbakri. Secara personalnya saya kenal mereka ini dan padangan dan sikap terbuka mereka saya salut!

Saya percaya mereka ini tidak akan menyesatkan akidah para pengikut bahkan memberikan ruang dan faham yang lebih selesa dan sesuai terutamanya untuk masyarakat moden di zaman yang serba edan hari ini.

Saya juga tidak suka dengan bentuk hiburan yang berlebihan dan mengada-ngada. Pun bagi saya jika seorang pemuzik itu memetik gitar di atas pentas dan menyanyikan lagu-lagu yang bersifat mendidik dan ada ilmiahnya, di mana yang akan timbul haramnya?

Dari segi imej pula, takkan lah semua artis perlu berkopiah dan berjubah jika mahu bernyanyi dan bermuzik di negeri Kedah? Itu menghukum namanya. Bukankah Islam itu ugama yang mudah, mengapa kita perlu rumitkan?

Apatah lagilah jika tempias dan hukumnya melibatkan mereka yang bukan berugama Islam, itu jelas akan mendatangkan ketidakselesaan kepada mereka.

Kesannya yang kita dapat adalah pelbagai reaksi yang kebanyakannya negatiflah dan bukankah ia akan lebih merugi dari menguntungkan? Politik walau apapun alasan dan tujuannya, asasnya adalah kepentingan juga.

Saya pernah bergitar dan bernyanyi di hadapan Tuan Guru Nik Aziz sewaktu terlibat di satu program anjuran PAKSI (Seniman Paksi Rakyat ) yang Presidennya Pak Dinsman beberapa tahun lalu.

Saya juga salut atas sifat keterbukaan Tuan Guru. Saya kira itu satu perkembangan yang baik dan positif untuk perkembangan dan minda anak muda generasi zaman ini.

Baru-baru ini saya turut terlibat dan memberikan sokongan di program “Buskers Nite”yang berlangsung di Pavillion Bukit Bintang pada 18hb Jan 2013 . Program yang dianjurkan oleh BN Youth Buskers Club itu dirasmikan oleh Menteri Penerangan dan Komunikasi YB Dato Seri Utama Dr Rais Yatim.

Sekurang-kurangnya mereka cuba memahami keluhan warga Busker dan Marhen dan memberikan sokongan dan harapan untuk mereka agar lebih dihormati di mata masyarakat hari ini dan masa hadapan.

Kita perlu lebih memahami dari terus menghukum. Mungkin sukar untuk kita akan seiring dan sefaham dalam aliran yang kepercayaan kerana bentuk dan sifat manusia itu sendiri pelbagai rupa dan gaya, namun sifat menghormati dan memahami itu adalah titik permulaan yang biasanya jika dipupuk ia akan membuahkan bunga-bunga keindahan di hari muka.

Adalah sesuatu yang malang jika kita terus tinggal diam di bawah tempurung masa sedang dunia hari ini menuntut kita berubah dan terus berfikir kerana hidup ini umpama musim yang datang dan pergi, maka gunakanlah ia sebaik-mungkin.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis

Comments