Opinion

Menilai kehidupan dari sudut rohani dan jasmani

7 APRIL ― Saya sering melihat kehidupan ini sebagai suatu yang sangat rapuh dari segi luaran dan sifatnya. Umpama kapas yang diterbangkan angin ke mana saja takdir berkehendakkan begitu.

Hidup yang merangkumi makna keselesaan juga kesengsaraan itu sendiri bukanlah satu jaminan kerana ia boleh berubah mengikut kehendak skrip dan takdir dari Sang Pencipta, selama dan secepat mana yang dimahuNya.

Kita melihat dari segi rohani, pun begitu juga. Jiwa kita tidak pernah tenang selalu. Ada masa berkocak bagai air laut yang ada pasang dan surutnya. Itu kita katakan ujian dan cabaran selagi kita bergelar manusia.

Kita lihat pemandangan di Lahat Datu hari ini, kesan peperangan. Banyak kemusnahan harta-benda juga nyawa yang terkorban akibat sikap kita sendiri. Dari punya sebuah rumah dan keselesaan, kita hilang segalanya kecuali tapak rumah. Kita kecewa dan meratap dengan apa yang telah terjadi, pun akhirnya kita sendiri tunduk dan berserah.

Nyatalah kita tidak berdaya apabila suatu hal itu telah terjadi. Kita juga akui perlakuan dan pembentukan alam terjadi akibat sikap kita sendiri sebagai makhluk Tuhan yang paling mulia dan istimewa ini. Dan nyata setiap hal atau kejadian itu tidak kira samada baik atau buruk akan tetap lulus demi menjaya juga merealisasikan sebuah kisah yang panjang tentang kita, makhluk-Nya.

Kita lihat pula mereka-mereka yang berkepentingan tentang hal-hal dunia tatkala nafsu beraja di hati. Mereka punya segala kemewahan, pun masih ke sana dan ke mari menjaja dan menjual cerita-cerita tentang baik buruknya sikap dan kelemahan kita, manusia.

Apabila segalanya diperdagangkan demi untuk agenda dan kepentingan, tumbuhlah nilai-nilai benci dan dendam yang tidak berkesudahan yang akhirnya tanpa kita sedari Tuhan itu kita sendiri akan rasakan semakin jauh dari kita walau sebenarnya Dia sentiasa ada di sini, setia bersama kita. Nyatalah nafsu itu jelas menjarakkan hubungan kita denganNya.

Cerita tentangTuhan bukanlah dipenuhi elemen materi, kepentingan atau kebendaan didalamnya. Pun Dia itulah sebahagian dari roh yang ditiup ke jasad menjadikan kita bernyawa dan hidup. Pun untuk kembali, dunia dan ceritanya perlulah kita tinggalkan semasa di dunia ini lagi kerana datang kita suci sesuci bayi, maka pulang pun haruslah dalam keadaan yang seperti itu juga.

Berbalik tentang cerita nafsu dan nafsi, adakah itu semua terkandung dalam hukum-hakam agama? Adakah Tuhan itu suka dengan perbuatan kita yang mudah menghukum demi tuntutan nafsu yang pasti menghalalkan sikap-sikap dan perlakuan yang sebegitu?

Adakah kita masih punya sifat malu kerana kerja utama kita ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah menjual agama dan cerita-cerita indah tentangnya demi dosa, pahala, syurga dan neraka? Sedang perlakuan dan sifat tamak dan rakus kita sangatlah jelas dan nyata, walau kita cuba sembunyikan kebenaran itu akan terlihat jua apabila sampai waktunya.

Sudahnya kita hanya akan sedar apabila berada di penghujung nyawa. Saat bila mana dunia dan kenikmatannya sudah kelihatan samar-samar. Mungkin keinginan masih ada, pun kudrat dan nikmat semakin hilang, diambil satu persatu. Itulah yang akhirnya kita semua akan tempuhi, kematian.

Ini bukan soal harta itu akan dibawa sampai ke mati atau untuk diperturunkan sehingga ke cucu dan cicit sehingga tujuh keturunan. Ini tentang hal dan kenyataan bahawa semua itu hanyalah ujian semata. Selagi harta itu nyata dan kita sedang melahapnya, selagi itulah jiwa kita akan tersiksa dan kita tidak akan tenang selagi tidak kita lepaskan semua itu semudah angin lalu.

Kita melihat pula keadaan fizikal kita semalam dan hari ini. Sedarlah kita bahawa yang tegang sudah mulai kendur. Yang lancar sudah tidak selancar dulu. Farmasi dan hospital mula menjadi kawan yang sangat kita perlukan.

Kita semakin memerlukan para-para doktor dan mahu tidak mahu terpaksa memenuhi temu janji yang telah ditetapkan oleh pihak hospital, untuk mendapatkan tahap keyakinan yang tinggi tentang hidup dan kesihatan kita.

Kita boleh jika kita mahu untuk menjadi seperti Ahasveros (orang Yahudi) yang dihukum menjadi pengembara yang berkelana dan gelandangan sepanjang hayatnya kerana enggan menerima Nabi Isa masuk ke rumahnya.

Atau kita boleh saja membaca dan menyemat ke dalam dada kita falsafah-falsafah hebat dari Chairil Anwar, William Blake, Albert Camus, Nietzsche untuk mendapat tahap ego yang tinggi sebagai manusia atau membaca karya-karya yang agung seperti Mein Kampf (Hitler) atau The Art of War (Sun Tzu) untuk kepentingan hidup kita di dunia ini tanpa menghiraukan akan hal kebenaran.

Pun tanpa kita minta akhirnya daya kita pun semakin lemah dari hari ke sehari. Kalau dulu kita hebat menyalak atau berpidato, hari ini kita mungkin tersadai di kerusi roda sambil merenung dosa-dosa masa lalu kita sambil mengharapkan kemaafan dari langit.

Sudahnya saya hanya melihat hidup ini hanyalah sekadar melengkapkan watak-watak selama kita di sini. Seperti cerita seorang sahabat yang religius yang bercerita tentang gurunya yang sedang mengajar anak-anak muridnya tentang ilmu ketuhanan dan hakikat.

Tahap keyakinan mereka ini sangat tinggi dan sang guru tentulah dari golongan yang hebat kerana pandai berfalsafah sehingga membuatkan anak muridnya khusuk sampai ternganga. Tiba-tiba datang isterinya dalam keadaan marah-marah (entah apa sebabnya sahabat saya itu tidaklah pasti) dan mengetuk kepala suaminya sang guru yang hebat itu dengan senduk kuali, di hadapan ramai anak muridnya.

Ketukannya yang berserta emosi itu agak kuat sehingga kuliah yang hening itu menjadi lebih hening bilamana si isteri itu memekik sambil bercekak pinggang marahkan suami, sang guru yang hebat itu.

Hilang semua kehebatannya serta merta, sambil tersengih-sengih di hadapan anak muridnya, guru itu masih mampu mengawal macho nya kerana akhirnya dia sebenarnya tahu siapa dia sebenarnya. Nyatalah ujian Tuhan itu datang dalam waktu yang tidak pernah kita jangka, walau dalam keadaan apa sekalipun.

Maka kita pun akhirnya fahamlah sebagai manusia, kita hanya mampu menduga dan berdoa semoga yang datang kepada kita adalah tentang yang baik-baik dan indah sahaja. Pun itu tidaklah selalunya berlaku kerana sikap dan perlakuan hukumnya hanyalah pada kita, bukan pada Dia.

Sehingga ke akhirnya, saya percaya Tuhan itu maha pengasih dan penyayang walau siapa pun kita.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis

Comments