Opinion

Nilai intelektual dalam karya-karya Doel Sumbang

Meor Yusof Aziddin

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwriter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

5 MEI — Saya mula mendengar lagu-lagu Doel Sumbang, penyanyi folk, pop, jaipang juga pop Sunda kelahiran Bandung, Indonesia sejak tahun 1986. Waktu itu selalu melepak dengan rakan-rakan sealiran di Pasar Seni. Sebelumnya saya sudah terdedah dengan muzik Ebiet, Gombloh, Fals dan Godbless.

Zaman tidak ada kepentingan adalah yang terbaik dan asli. Waktu itu kalau berkarya ilham yang datang adalah yang lahir dari hati. Kebanyakan singer-songwriter yang berkarya di awal karier mereka berjaya menghasilkan produk yang berkualiti berbanding zaman keberadaan mereka.

Doel Sumbang salah satu singer-songwriter yang pernah melalui zaman payah sehinggalah zaman senang seperti yang sedang beliau kecapi hari ini.

Saya adalah pendengar lagu-lagu beliau. Pun saya lebih suka lagu-lagunya dalam versi akustik (berbanding muzik jaipang dangdutnya) yang menghasilkan banyak lagu-lagu folk yang hit seperti “Aku”, “Hasyim Munaif”, “Astagfirullahalazim”, “Cheu Romlah”, “Affandi Affin” dan banyak lagi tajuk-tajuk lagunya yang saya sudah lupa judulnya.

Dari segi konsep humor dan jenaka, ada persamaan antara Doel Sumbang dan penyanyi dan pelakon legenda kelahiran Betawi Indonesia, Benjamin S. Pun bezanya lagu-lagu humor Benjamin tidaklah punya isi melainkan humor dan jenaka kosong, sedang lagu humor Doel pula penuh dengan mesej, kritik dan kejujuran.

Doel atau nama sebenarnya Abdul Wahyu Affandi lahir di Bandung pada tahun 1963. Tidak banyak cerita atau info tentang beliau di internet. Penyanyi dan penulis lagu berbakat ini agak terpinggir dari arus populariti pada awal kariernya di pertengahan tahun 80an dulu sehinggalah lagu “Kalau Bulan Bisa Ngomong” pada lewat tahun 90an, duet beliau dengan penyanyi Nini Carlina berjaya menembus pasaran mainstream Indonesia.

Era “Kalau Bulan Bisa Ngomong” adalah era kejayaan beliau sebagai seorang penyanyi yang sukses, pun itu tidak punya apa-apa makna pada saya melainkan bagusnya yang kalau ada cuma dari segi kualiti bunyi dan rakaman yang agak tersusun berbanding album-album di awal kariernya.

Mengkaji dan mendengar cerita dalam lagu-lagu Doel Sumbang di awal kariernya dulu, bolehlah saya ibaratkan beliau secara tidak langsungnya adalah mat punk yang tidak tahu apa itu punk. Tidak ada penyanyi yang menceritakan tentang kelemahan dan kehodohan wajahnya yang umpama presiden Diktator Uganda Idi Amin itu kecuali Doel atau tentang cerita nakalnya tentang warga marhen yang lucu tetapi sinis.

Watak-watak dalam lagunya memang berserabut dan senget-senget belaka. Masalah yang diceritakan memang nyata masalah yang penuh dengan masalah. Bila kita mendengar cerita dan watak dalam lagu-lagunya seperti Hashim Munaif, Martini, Tukino, Masitoh dan Aku Tidak Sinting antaranya kita boleh bayangkan watak-watak itu hidup dalam lagunya walau itu hanya atau mungkin imaginasinya sahaja.

Cerita dalam lagu-lagunya berkisar tentang keluh-kesah warga marhen yang realistik dan jujur. Digarap lirik-liriknya dalam bahasa yang mantap dan berkesan disamping penuh dengan nilai humor yang mampu membuat kita berfikir. Itulah kelebihan Doel Sumbang.

Pun tidaklah menghairankan kerana Doel pada awal kariernya memang bermula dari teater.

Kritik sosial dan sindirannya pada warga kelas atas yang sering menindas yang bawah sangat berkesan dan pedas. Cuba hayati lirik lagunya yang berjudul “Doktor dan Paisen” ini:

“Doktor anak saya sakit keras, sekarang hampir mati

Maafkanlah kerana wang terlambat bayar

Mohon entri dulu pak, semua perlu tertib pak

Siapkan wang itu yang penting buat saya

Sekolah doktor mahal pak, makan biasa besar..

Sampai sekarang hasil saya belum kembali..”

Apabila Doel bercerita tentang ketidakadilan dan perbezaan kasta dalam masyarakat, kritikannya umpama pisau yang menusuk hati bagi mereka yang berkenaan. Betullah kata pujangga “mata pena itu lebih tajam dari mata pedang”.

Judul album-albumnya pun main ikut sedap saja walau ada mood humor /sinis yang kuat. Album pertamanya yang saya miliki judulnya “Aku Gembrot & Hashim Munaif”. Antara judul-judul albumnya yang lain seperti “Aku Masitoh dan Ronda”, “Aku Lelaki”, “Wah”, “Kurun Jungkir Balik”, “Satimah”, “Aku, Tikus dan Kucing” dan banyak lagi...

Keistimewaan Doel yang paling nyata adalah suaranya yang jelas dan susunan kata-kata dalam lirik lagunya. Berbanding Fals, Franky, Gombloh dan Ebiet, kualiti rakaman album-album awal Doel agak kurang dari segi kualiti dan susunan Muziknya.

Kebanyakan lagu-lagunya mungkin dirakam secara tangkap muat terutamanya lagu-lagu pop dangdutnya. Saya cukup risau sewaktu membeli album-albumnya dulu, sebab kalau boleh saya mahu beliau cuma bermain gitar akustik dan vokal sahaja, tanpa muzik iringan lain, kerana mesej dalam lagunya sudah cukup kuat.

Pun lagu-lagu beliau tetap punya nilai inteleknya yang tersendiri. Doel dalam lagu-lagunya nyata peka dengan alam dan sekeliling. Ada lagunya bercerita tentang Hasyim Munaif, gangster kelas tiga yang hanya punya seekor anjing yang hanya pandai menggonggong tanpa berani gigit.

Seperti dalam lagunya “Selamat Pagi Desaku” yang terdapat dalam salah satu albumnya yang pernah saya miliki, beliau bercerita tentag resahnya jiwa mengenang desanya yang sudah berubah menjadi kota.

Apabila kita mendengar lagu-lagu Doel Sumbang, secara tidak langsungnya kita akan tahu dan faham tentang cerita sosial masyarakat sekelilingnya yang biasa-biasa saja. Mungkin hari ini Doel Sumbang tidaklah se sumbang dulu, pun saya masih mendengar lagu-lagunya yang dulu sehingga hari ini, kerana Doel Sumbang itu hanya satu saja. Dalam lagunya tidak ada watak-watak yang kacak dan lawa, yang mewah dan glamour, melainkan yang biasa-biasa saja, itu yang saya suka.

Berceritalah tentang kebenaran walau ianya pahit se pahit hempedu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

 

Comments