Opinion

Ravi Shankar, sitar dan kematiannya

16 DIS ― Apabila seorang kawan baik saya membawa berita tentang kematian maestro sitar yang paling terkenal di dunia, Ravi Shankar semalam (11 Disember 2012) akibat masalah pernafasan, saya tidaklah terkejut sangat kerana jika beliau mampu hidup sehingga usia 92 tahun, itu satu pencapaian yang hebat sebagai seorang manusia.

Walaupun bagi saya jika hidup terlalu lama itu bukanlah keputusan yang terbaik kerana cepat atau lambat, kita pun semua akan mati juga, namun jika kita mampu hidup melebihi usia 80 tahun ke atas, itu adalah bonus.

Shankar menghembuskan nafas akhir di San Diego, California, Amerika Syarikat.

Adalah diakui Ravi Shankar adalah pelopor muzik klasikal India di Amerika dan di mata dunia. Kolobrasinya dengan pemain violin terkemuka dunia, Yehudi Menuhin dan kumpulan muzik paling agung di dunia sekitar tahun 60an waktu itu, The Beatles dan George Harrison terutamanya berjaya mempopularkan namanya sebaris dengan seniman agung dunia zaman itu.

Boleh dikatakan Shankar dan seorang lagi pengamal aliran spiritual, Mahesh Yogi menjadi sangat popular dan terkenal apabila berdamping dan mengambil kesempatan atas populariti Beatles.

Sehingga John Lennon menyindir Mahesh Yogi di dalam lagunya “Sexy Sadie” akibat merasa tertipu dengan imej alim dan spritual Mahesh Yogi, Lennon dan Harrison membawa haluan mereka masing-masing dalam bab kepercayaan dan pegangan.

George Harrison telah memasukkan bunyi sitar ke dalam lagu Norweign Wood yang dimasuk ke dalam album Beatles begitu juga dengan Brian Jones (gitaris kumpulan Rolling Stones) untuk lagu Paint in Black.

Sehingga ke akhir hayatnya, Harrison kekal dengan imej spiritualnya dan kolobrasi antara beliau dan Ravi Shankar sering mendatangkan kejayaan dalam karya mereka sejak perkenalannya dengan maestro sitar itu pada tahun 1966 sehingga berjaya dan mendapat anugerah di Grammy Award.

Shankar juga turut terlibat dalam konsert amal untuk Bangladesh yang dianjurkan oleh Harrison pada tahun 1971.

Lahir dalam keluarga Brahmin yang dianggap suci dan mulia di mata masyarakat India pada 12 April 1920, Shankar dibesarkan dalam keluarga pemain sitar dan muzik klasikal India, maka tidaklah menghairankan bakatnya telah dipupuk sejak dari kecil lagi.

Seperkara sitar adalah alat instrumen yang berkait rapat dengan elemen spiritual dan suci bagi bangsa India. Untuk memainkan alat muzik tersebut agak sukar sebenarnya. Disiplin diri luar dan dalam perlu seimbang dan senada.

Untuk mendapatkan keselesaan dalam posisi duduk bersila sambil memegang alat muzik sitar dalam teknik yang betul, itu saja sudah mengambil masa yang agak lama.

Mengaitkan pula bunyinya yang unik dan mistik melambangkan kedamaian dan kebebasan, bertepatan pula dengan perang Vietnam yang berlaku pada 1 November 1957 hinggalah pada 30hb April 1975.

Maka di situlah Shankar menyelit di tengah kemelut dan protes anti perang dan Festival Muzik Woodstock yang dianjurkan pada tahun 1969 di New York.

Di India sebenarnya ramai lahir pemain sitar yang hebat dan mungkin lebih bagus dari Shankar sebenarnya. Salah seorang yang saya kagumi adalah Ustad Vilayat Khan (lahir pada 28 Ogos 1928 dan meninggal pada 13 Mac 2004 dalam usia 76 tahun).

Cara permainan Vilayat dan Shankar mungkin berbeza, namun saya lebih senang dengan susunan muzik Vilayat dan beliau seorang pemuzik yang punya “attitude”, itu yang paling penting bagi saya.

Mungkin beliau seorang yang kontroversi atas sebab-sebab tertentu, namun jika ego itu atas dasar prinsip, sebagai seorang pemuzik, saya tetap menghormati beliau.

Saya juga sempat menonton persembahan seorang lagu maestro sitar terkemuka dunia Ustad Usman Khan di Temple of Fine Arts, yang terletak di Brickfield, beberapa tahun yang lepas.

Menonton persembahan beliau umpama sebuah pengembaraan dari alam nyata ke dunia surreal dan mistik. Itulah kehebatan bunyi dan gubahan yang dimainkan oleh Ustad Usman Khan.

Sikap rendah diri dan hormatnya kepada alat instrumen dan bunyian mendatangkan rasa kagum khalayak terutama bagi mereka yang menonton persembahannya malam itu.

Ustad Vilayat Khan sebenarnya telah membuat persembahan di England pada tahun 1951 lagi. Namun itulah seperti yang selalu saya bandingkan antara Vilayat dan Shankar dengan penyanyi folk Phil Ochs dan Bob Dylan.

Phil Ohcs kekal dengan imej dan lagu-lagunya yang bernada protes dan tidak komersial berbanding Dylan yang lebih komersial lagu dan liriknya.

Saya adalah peminat muzik Klasikal India dan muzik-muzik yang berkait dengannya. Apabila John McClaughin menubuhkan Mahavishnu Orkestra dan Shakti bersama dengan pemain tabla tersohor dunia, Zakir Hussain dan pemain violin, L. Shankar saya mula faham mengapa McClaughin memilih muzik klasikal India selepas jazz.

Apapun pemergian Ravi Shankar adalah satu kehilangan besar bagi peminat muzik klasikal India khususnya juga seluruh dunia.

Bakatnya telah diwarisi oleh dua orang anak perempuannya iaitu Norah Jones yang telah mencipta nama sebagai penyanyi dan seorang lagi Anoushka Shankar yang mula mencipta nama sebagai pemain sitar.

Belasungkawa buat maestro sitar terkenal, Ravi Shankar.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments