Opinion

Rod Stewart, Al Stewart dan penyanyi kita

Meor Yusof Aziddin

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwriter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

3 MAC — Saya mula mendengar lagu-lagu Rod Stewart pada tahun 1978 lagi. “Maggie May”, “I Was Only Joking”, “I Don’t Want to Talk About it”, “Sailing” antara lagu yang selalu saya nyanyikan sewaktu mula belajar bermain gitar pada 1982 dulu. Yang menarik tentang Rod Stewart adalah suaranya yang serak-serak basah, bernada tinggi dan tersendiri.

Sepanjang bergelar penghibur, Rod Stewart atau nama sebenarnya Roderick David Stewart sudah menghasilkan 26 studio album sejak album solo pertamanya yang diterbitkan pada tahun 1969 (An Old Raincoat Wont Ever Let You Down) selepas meninggalkan Jeff Beck Group dan Faces pada tahun sebelumnya.

Sehingga ke hari ini beliau masih gagah di atas pentas dan bergelar “Legenda”.

Menarik tentang Rod Stewart, selain punya suara yang bagus dan berkualiti, beliau juga seorang singer-songwriter yang berbakat. “Maggie May”, “You’re in my Heart”, “I Was only Joking”, “Hot Legs” antaranya adalah lagu ciptaannya sendiri. Dan kebanyakan lagu yang diciptanya meletup di seluruh dunia.

Tidak kira samada beliau yang menulis lirik dan lagu komposer lain yang menciptanya, yang penting ada tertera namanya sebagai singer-songwriter, seperti Lennon-McCartney atau Elton John-Bernie Taupin.

Itu yang kurang dimiliki oleh penyanyi-penyanyi pop kita. Penyanyi terkenal kita seperti Saleem, Jamal atau penyanyi-penyanyi lain hanya pandai melalak dan bergantung pada lagu-lagu dari para komposer. Hasilnya komposer seperti M.Nasir dan Saari Amri yang buat untung dengan duit hasil royalti cipta lagu, manakala penyanyi yang pernah menjadi anak didik mereka ada yang tenggelam, ada yang timbul...

Dan yang paling malang adalah kebanyakan nasib yang menimpa band-band rock cintan yang muncul di zaman kegemilangan muzik rock pada awal tahun 90an dulu.

Di mana mereka kini? Yang boleh survive mungkin hanya penyanyi mereka saja. Tak laku jadi penyanyi boleh jadi pelakon. Yang lain seperti pemain dram, gitar, bass ? Ada yang jual nasi lemak, ada yang kerja kilang, ada yang balik kampung . Menyedihkan tapi itulah kenyataannya.

Sebagai contoh, kalaulah band-band yang bagus seperti Bloodshed, Wing, Search atau Left-Handed mencipta kesemua lagu dan lirik mereka sendiri untuk setiap album mereka yang diterbitkan di era kegemilangan mereka sekurang-kurangnya, sudah tentu mereka akan menerima royalti sehingga ke hari ini.

Jika mahu meminta khidmat para komposer yang terkenal itu boleh, cuma had kan 1 atau 2 lagu saja. Tapi itulah, kebanyakan mereka tidaklah bijak sangat dalam merencanakan perjalanan muzik mereka untuk satu jangka masa yang panjang.

Al Stewart? Saya percaya tidak ramai pendengar muzik yang mengenalinya walau bagi saya beliau jauh lebih hebat dari Rod Stewart. Lagu hitnya itulah “Year of the Cat” yang terdapat dalam judul album sama yang diterbitkan pada tahun 1976.

Penerbitnya pula Alon Parsons yang hebat sebagai sound engineer juga terkenal melalui kumpulan muziknya, Alan Parsons Project.

Alan Parsons sangat dikenali melalui sentuhannya yang terlibat sebagai Engineer dalam album Pink Floyd Dark Side of the Moon yang diterbitkan oleh Floyd sendiri pada tahun 1973. Juga yang paling penting beliau terlibat sebagai Sound Engineer untuk album Beatles, Abbey Road (1969) dan Beatles, Let it Be (1970).

Untuk 3 album itu saja sudah cukup untuk kita memartabatkan Alan Parsons sebagai antara Penerbit dan Engineer yang ulung sepanjang abad 

Saya mendengar muzik Al Stewart pada tahun 1990 melalui album kompilasi yang judul albumnya Best of Al Stewart — Songs from the Radio (1985).

Bayangkan Al Stewart sudah lahir dengan album pertamanya Bed Sitter Images yang berkualiti pada tahun 1967, tahun saya dilahirkan.

Menarik tentang Rod Stewart dan Al Stewart, selain di hujung mereka punya nama yang sama, mereka juga lahir di tahun yang sama. Rod Stewart lahir pada 10hb Januari 1945 di North London, England manakala Al Stewart pula lahir di Glasgow, Scotland pada 5hb September 1945.

Ke dua mereka sudah menjangkau usia 68 tahun sehingga hari ini, masih hidup dan aktif dengan karier masing-masing.

Beza antara mereka pula, tema kebanyakan lagu Rod Stewart tentang cinta budak sekolah dengan mesej yang ringan seperti lagunya “Maggie May” dan “Baby Jane” manakala Al Stewart pula kebanyakan lagu-lagunya lari dari tema cinta para remaja.

Pun ada juga lagu-lagu Rod Stewart yang bercerita tentang tema yang serius seperti kisah perang dan soldadu yang malang seperti yang terdapat dalam lagu popularnya, “Sailing”. Itu kita kata beliau pun ada fikir tentang lagu-lagu yang bermutu juga walau susunan ayat-ayatnya tidaklah sebijak Al Stewart.

Saya percaya kita akan mendapat banyak pengetahuan dengan lagu-lagu ciptaan dan lirik Al Stewart seperti lagu “On the Border”, “Road to Moscow”, “Almost Lucy”, “Year of the Cat”, “Palace of Versailles” antaranya, bahkan banyak sangat lagunya yang bagus-bagus dan berkualiti.

Kebanyakan album-album Al Stewart berkonsep. Liriknya berkisar tentang kehidupan, epik, sejarah, kemanusiaan dan sejagat. Sepanjang bergelar Singer-songwiter Al Setwart sudah menghasilkan 16 album studio dari tahun 1967 hingga 2008. Yang menariknya sangat kurang lagu-lagu beliau yang bertemakan cinta pra-matang para remaja.

Harga yang perlu beliau bayar untuk menjadi singer-songwriter yang punya prinsip adalah beliau tidaklah se aura atau se popular Rod Stewart. Tempoh lakunya pun antara tahun 1975 sehingga 1980. Album-albumnya yang mendapat sambutan Modern Times (1975), Year of the Cat (1976), Time Passages (1978) dan 24 Carrots (1980).

Antara kelebihan Al Stewart adalah cara penciptaan lagu-lagunya. Pertukaran kord dan gubahan untuk album-album nya sangat menarik. Cara beliau menyanyikan lagu-lagunya juga unik dan original. Gabungannya dengan Peter White (gitaris dan song-writer) dalam beberapa album sangat berkesan.

Apa pun seperti biasa bila kita kembali kepada kenyataan, memang Rod Stewart punya karisma sebagai seorang penghibur. Dek kerana imej dan auranya yang hebat, sehingga ke hari ini beliau dan lagu-lagunya masih diterima oleh para peminat di seluruh dunia.

Al Stewart? Sehingga ke hari ini saya tidak pernah jemu mendengar lagu-lagunya.  Rod Stewart pula saya menyanyi lagu-lagunya hanya untuk cari makan, tidak lebih dari itu dan jika beliau berkunjung ke Malaysia, saya tidak akan menonton konsertnya walau diberikan tiket percuma, kalau Al Stewart, saya akan turun.

* Ini pandangan peribadi penulis.

Comments