Opinion

Sani Sudin dan Catatan SS

Meor Yusof Aziddin

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwriter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Saya mengenali Sani Sudin (gambar), seniman marhaen yang masih menjalani hidupnya yang biasa-biasa saja pada pertengahan 1980-an dulu di Pasar Seni.

Waktu itu beliau sering bersajak di bawah tiang lampu di Pasar Seni bersama-sama kawan sealiran seperti Pyanhabib Rahman, Khalid Salleh, Ladin Nuawi, Nasir Jani, Siso dan Kamarol Yusoof.

Saya berada dalam kelompok mereka juga tapi masih baru nak belajar apa itu seni dan hidup waktu itu. Sani bagi saya adalah salah satu spesies 'orang seni' yang 'rare' dalam kelompok artis yang kebanyakannya gilakan kemilau materi dan angan-angan.

Bagi saya, mereka ini orang seni yang unik dan 'real'. Sehingga ke hari ini saya masih hormat mereka yang kebanyakannya berasal daripada kumpulan teater 'Anak Alam' ini.

Beberapa tahun selepas itu saya pernah menyerahkan 'demo' karya saya kepada beliau untuk diusulkan kepada syarikat rakaman, jika mereka berminat. Sani berminat dengan konsep dan lagu saya.

Tapi biasalah, bukan mudah untuk syarikat rakaman menerima konsep muzik 'folk' di negara kita ini pada waktu itu.

Selepas itu, pada 1993 dengan demo yang sama saya cuba nasib dengan berjumpa M Nasir dan akhirnya diterima menjadi artis rakaman Luncai Emas yang berpusat di Sungai Buloh pada waktu itu.

Falsafah orang seni ini banyak. Antaranya seni untuk hidup, seni untuk masyarakat, seni untuk seni dan berbagai lagilah. Kalau hendak yang 'real', lihatlah Sani dan wataknya.

Saban hari melepak di Pasar Seni pada pertengahan 1980-an, ia merapatkan hubungan saya dengan warga seni Pasar Seni seperti Sani Sudin dan Aris Azis si pelukis hebat. Saya rasa selesa bergaul dengan mereka ini kerana bersesuaian dengan selera jiwa.

Apa yang membezakan mereka dengan yang baharu hari ini? Sani daripada segi imejnya memang 'rabak', itu yang tidak dibuat-buat. Kita akan melihat beliau di mana-mana saja dalam keadaan apapun, nyata beliau sedang menghadam wataknya di dunia ini seadanya.

Masalah Sani, si penyair, pelakon, pengarah, penyanyi, seniman, penulis lagu dan lirik juga penyajak itu bagi saya - siapa pendengar atau peminatnya? Orang lama lebih sukakan Kopratasa di era 'Masihkah Kau Ingat' atau 'Permata Buat Isteri', bukan lagu daripada album lain mereka atau lagu daripada album Sani.

Apatah lagilah dengan konsep album solo Sani yang penuh dengan mesej tersirat dan lepas. Saya beli albumnya yang diterbitkan pada 1990-an dulu, judulnya 'Saya'. Album itu menarik kerana isi cerita dan konsepnya.

Umum tahu Sani bermula daripada teater dan kemudiannya mencipta nama bersama kumpulan muzik trio Kopratasa. Saya pernah menyaksikan mereka membuat persembahan pada 1987 di Pasar Seni.

Kopratasa yang menampilkan konsep lagu puisi, penyambung usaha kumpulan Kembara yang tidak panjang, hadir dengan sebuah album yang meletup di pasaran pada 1987, 'Keringat Dalam Pasrah'.

Ditubuhkan pada 1985, kumpulan muzik ini hadir dengan trio vokal yang mantap dengan gandingan suara Sani, Usop dan Siso berjaya dikenali dan menjadi terkenal di kalangan masyarakat terutamanya orang Melayu dan kelompok sastera juga peminat lagu puisi.

Cuma mereka ini hanya pandai berlagu dan bernyanyi, sedang di mana-mana pertunjukan masih sering menggunakan konsep minus one, seperti penyanyi karaoke. Itulah perkara yang saya agak kesalkan tentang kumpulan ini, tahap mereka ini hanya sekadar muzik 'minus one' kah?

Pun sejak kebelakangan ini mereka mula bermuzik secara 'live' dengan kehadiran 'line-up' baharu Adinda Amiro. Itulah yang sepatutnya mereka lakukan dari dulu lagi. Standard 'karaoke' bagi saya sangat tidak sesuai dengan 'level' Kopratasa.

Pun apabila mereka memainkan alat muzik dan bernyanyi secara 'live', penonton yang kebanyakannya daripada masyarakat Melayu dan orang sastera khususnya akan pening, akhirnya 'Masihkah Kau Ingat' dan 'Permata Buat Isteri' juga menjadi pengubat kebanyakan orang kita yang kuat berangan itu.

Kopratasa sempat menghasilkan sejumlah album dari 1987 sehingga 2006. Saya sempat memiliki empat album terawal mereka iaitu Keringat Dalam Pasrah (1987), Kunci (1988), Episod 3 (1989) dan Sesetia Malam (1996).

Apapun saya adalah segelintir peminat Sani. Sebabnya beliau faham, mengenali dan menggauli wataknya di dunia ini seada dan sebiasanya. Cabarannya ialah bagaimana untuk memperkenalkan karya beliau di lingkungan komuniti anak muda hari ini.

Saya melihat Sani juga tersangkut dalam kelompok sastera yang mengenalinya. Sani dan Kopratasa itu berbeza. Dan saya percaya apabila beliau berlabun dan membuat persembahan di khalayak yang tahap kefahaman muzik mereka masih di tahap tepu, persembahannya itu mungkin dikategorikan sebagai satu 'lawak dan jenaka'.

Buku sajak terbaharu Sani Sudin berjudul Catatan SS.Buku sajak terbaharu Sani Sudin berjudul Catatan SS.Terbaru, saya baru saja menerima sebuah buku bersaiz kecil, koleksi himpunan sajak terpilih Sani yang sudah berada di pasaran saat ini. Edarannya terhad. Judulnya 'Catatan SS'. Terdapat 44 sajak pendek terpilih yang kebanyakan isinya berkisar tentang pergolakan jiwa, keakraban penulis dalam mengenali dan menggauli wataknya sendiri.

Bertemu dengan penerbitnya, Mohamad Farez Abdul Karem, beliau antara mereka yang daripada kalangan 'independent' yang sama-sama memeriahkan industri buku selain Merpati Jingga, Fixi dan Lejen.

Apa yang membuatkan saya berminat tentang buku ini kerana Sani, selainnya usaha anak muda ini, Farez patut kita puji inisiatifnya walau dalam cabang independent, beliau melalui syarikat kecilnya 'Kaukab' sudah menerbitkan 4 buat buku setakat ini.

Kita cuma perlu mengukuhkan komuniti independent agar pasarannya lebih meluas dan itu memerlukan sokongan mereka terutama anak muda untuk membeli karya yang berbentuk ilmiah untuk menambah ilmu dan pengetahuan.

Kebanyakan sajak dalam Catatan SS adalah tentang diri, bergantung tahap faham kita dalam mengenal apa yang tersurat dan tersirat. Bagus bagi mereka yang punya inisiatif untuk berfikir dan mengkaji apa mesej dan cerita yang terdapat dalam koleksi sajaknya ini.

Walau sajaknya pendek, bahasanya padat dan menarik. Walau sederhana, masih berkonsep dan kolobrasi dengan pelukis Fathullah Luqman Yusuff yang catan/lukisannya mengiringi setiap sajak yang yang menghiasi muka surat agak menarik dan 'style'.

Cuma kalau catan/lukisan Fathul disertakan dalam bentuk warna, bukan hitam putih seperti yang diterbitkan, itu akan lebih menarik cuma kosnya mungkin akan lebih mahal.

Sani pernah muncul dengan antologi puisinya 'Di Dalam Dalam' yang diterbitkan pada 1999 daripada Penerbitan Tinta Etika.

Apa pun Sani Sudin adalah watak yang unik dan tersendiri, yang masih berjalan di lorong takdir yang yang namanya kehidupan. Salut! – 6 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments