Opinion

Ada apa pada Bajet 2011?

27 0KT — Setelah 2 kali mendengar bajet di Parlimen sejak bajet 2009, 2010, ini kali ke tiga saya menedengar ucapan bajet  semenjak menjadi MP.

Terus terang saya katakan semasa dua bajet yang sebelumnya saya kurang memberi tumpuan mungkin kerana saya belum menghadam apa erti bajet dan kedua mungkin kerana waktu bajet dibentangkan ialah pada pukul 4.00 petang yang pastinya bukanlah satu masa yang baik untuk memberi tumpuan pada apa-apa ucapan.

Saya berazam kali ini untuk tidak mengulangi kesalahan saya dalam dua bajet yang lalu dari sudut cuba member perhatian yang terbaik. Saya pastikan saya dapat hadir lebih awal untuk membuat persiapan mendengar dan menyediakan keperluan untuk mencatit dalam keadaan penuh bersiap sedia.

Sebelum bajet dibentang saya telah membuat sedikit “homework” berdasarkan pengalaman yang lalu apa yang saya akan jangkakan. Berselerak atas meja saya paper cutting khususnya dari Star dan lain-lain guna untuk saya membaca pandangan para analisis dan pandangan pemain-pemain industri tentang apa yang mereka jangkakan dalam bajet kali ini.

Pembantu saya, Salbiah prihatin untuk memastikan semua paper cutting berada di atas meja saya kerana dia sudah tahu keperluan saya setiap pagi, iaitu surat-surat dan faks, surat khabar dan paper cutting mesti tersedia atas meja saya.

Saya sendiri berminat untuk melihat bajet dari sudut insentif dan dasar fiskal kepada isu Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Pembangunan Seimbang. Minat saya kepada isu Alam Sekitar dan Teknologi Hijau menjadi semakin mendalam kerana bagi saya itulah asas pertumbuhan dan pembangunan sesebuah negara jika negara itu ingin kekal berada pada pesada dunia baru hari ini.

Isu alam sekitar menjadi agenda utama persidangan dunia dan tekanan kepada perlunya kelestaraian dalam membangunkan dunia hari bergantung kepada sejauhmana dasar negara-negara hari ini beralih kepada mesra alam dan menuju teknologi hijau.

Kuasa Besar yang merupakan “culprit” utama yang menyumbang kepada GHG dan Penyahan CO2 yang menyebabkan fenomena Penipisan Ozone dan menimbulkan masalah “Cimate Change”.

Negara lain seperti Malaysia walaupun bukan penyumbang utama tetapi sebagai negara yang membekalkan sumber-sumber ini turut termasuk dalam kitaran prosesnya.

Jadi keperluan kepada dasar kerajaan yang lebih mesra alam menjadi satu kemestian dan bukan lagi pilihan malah dunia korporat kini seharusnya mentakrifkan dirinya sebagai “Korporat Hijau” yang tidak hanya mementingkan keuntungan tetapi menggalas tanggungjawab memelihara alam sekitar.

Ia bukan lagi tanggungjawab SAM (Sahabat Alam Malaysia) atau Green Peace tetapi kerajaan yang berkuasa harus menggalas keperluan menterjemahkan dasar-dasar Green.

Kita masih ketinggalan, pada saat teknologi hijau dan renewable energy (RE) digiatkan perlaksanaannya kita masih pada tahap kebergantungan tenaga fossil dan arangbatu untuk menjana tenaga.

Pengalihan kepada RE masih lagi jauh, begitu juga dengan perdebatan tenaga Nuklear yang lebih murah tetapi kontraversial. Semasa dunia sedang menuju kerah perdebatan sehat tentang semua ini kita masih lagi berada pada mindset tradisional tentang tenaga.

Walaupun bajet kali ini ada memberi sedikit berita gembira kepada Green Tech namun peralihan paradigma kepada konsep baru tenaga dan kesan alam sekitar masih di tahap permulaan.

Industri kereta contohnya masih pada tahap mindset fossil begitu  juga dasar kerajaan. Walaupun kereta hybrid dan elektrik diberi kemudahan pengurangan cukai dalam bentuk CBU yang diimpot namun pada tahap pengguna ia masih membebankan dengan harga yang tinggi.

Saya mencadangkan kereta jenis ini mesra pengguna dengan insentif cukai jalan yang menarik, tol dan kemudahan lain di jalan yang akan menggalakkan penggunaan kereta elektrik dan hybrid ini.

Begitu juga dengan bahan-bahan pembinaan di negara ini. Bajet kali ini memperuntukkan bilangan yang besar untuk membina mega cities seperti Greater KL. Saya tidak mahu mempersoalkan kewajarannya tetapi apa yang lebih penting ialah apa bentuk bangunan dan bahan-bahan yang akan digunakan?

Adakah ia mesra alam dan hijau konsepnya, ataukah ia akan terus menjadi sebahagian daripada kos alam sekitar yang harus dibayar oleh kita semua?

Pertama ialah penggunaan tenaga seperti penghawa dingin dan lampu , kedua bahan yang digunakan dan ketiga ialah keupayaan mengitar semula tenaga dan air. Adakah bangunan yang akan didirikan menepati aspek GC (Green Certification)?

Bersediakah kerajaan memberi insentif? Lebih penting ialah apakah pemaju-pemaju berada pada tahap persediaan yang tinggi menjadi korporat-korporat hijau? Semua ini harus digarap dalam  usaha kita untuk menyambut kedatangan Hijau sebagai pemangkin dna pemacu teknologi masadepan.

Selain aspek green, bajet kali ini juga disifatkan sebagai bajet mewah yang lari dari sasarannya. Dulu zaman Tun Dr Mahathir Mohamad bajet mewah diwajarkan dengan pendapatan negara yang tinggi, Petronas mewah dan ekonomi berkembang pada tahap 7-8 peratus, tapi kini ekonomi lembap dan Petronas semakin kering dan kehidupan rakyat semakin menekan Perdana Menteri terus bermewah dengan bajet defisitnya.

Pada saat Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa beban menanggung RM3.5 bilion jika bonus diberikan kepada kaitangan awam, Perdana Menteri dengan megah mengitsyharkan Menara Warisan berjumlah RM5 bilion akan dibina.

Pada saat teriakan orang Melayu perlu dibela oleh parti Perdana Menteri peruntukan dana untuk bumiputera hanyalah RM1 bilion? Permata yang berada di hati Perdana Menteri diberi peruntukan RM111 juta walaupun baru 2 tahun bermula dan bilangan pelajarnya hanya beberapa orang sahaja sedangkan Sekolah Agama Rakyat (SAR) hanya dapat RM90 juta dengan bilangan pelajar yang jauh lebih ramai dan berada dalam institusi pendidikan negara sejak merdeka.

Ada juga yang menganggap bajet kali ini ialah bajet seluar dalam dan baju tidur kerana item tersebuti diberi pengecualian cukai untuk menjadikan Malaysia syurga beli-belah (iaitu syurga beli belah seluar dalam dan baju tidur?) Ironinya ialah rakyat Malaysia memerlukan keringanan beban hidup bukan seluar dalam dan baju tidur!

Bajet 2011 adalah bajet pertama RMK10 dan pecutan terakhir wawasan 2020, keghairahan kita mengejar matlamat janganlah hendaknya mengorbankan aspek “software” rakyat ini.

Belumpun mencapai negara maju gejala sosial dan kerapuhan fabrik sosial sudah ketara hari ini.

Negara Maju lain hari ini menyesal terhadap harga mahal yang terpaksa dibayarnya apabila insititusi keluarga dan sosialnya runtuh walaupun mereka bergelar rakyat negara maju!

Apakah ia satu harga yang kita harus juga bayar? Walaupun gah satu Malaysia orang bercakap tentang Bajet 2011, tetapi bagi nelayan di Tanjung Piandang dan Kuala Kurau serta orang kampong yag kais pagi makan pagi mereka akan berkata: “Ada apa pada bajet?”

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments