Opinion

Hasan Ali dan parasit

18 JAN — Memecat ahli dalam mana-mana parti politik adalah suatu perkara yang lumrah kerana perlembagaan parti memperuntukkan satu bab penting iaitu tentang disiplin parti, tanggungjawab ahli dan kuasa-kuasa yang ada pada Presiden untuk melaksanakan tugas memelihara kepentingan parti.

Mungkin yang menjadikan ia suatu isu ialah kedudukan dalam parti ahli yang dipecat, selain dari itu pemecatan atau penggantungan atau amaran lisan adalah tindakan-tindakan yang normal dalam suasana sesebuah parti politik. PAS tidak terkecuali dari norma organisasi ini dan apa yang berlaku kepada Datuk Hasan Ali adalah sebahagian daripada rencah-rencam kehidupan sebuah organisasi politik.

Jikalau kita menyusuri sejarah PAS, tindakan disiplin selalu berlaku atas beberapa cetusan antaranya ialah permasalahan yang dihadapi di peringkat cawangan dan kawasan atau negeri, lazimnya ia berlaku atas kapasiti konflik individu lawn individu. Ada juga tindakan disiplin diambil atas dorongan kelompok tertentu tidak mematuhi keputusan-keputusan yang dibuat dan cuba membawa fahamannya tersendiri di peringkat kawasan atau cawangan, konflik ini dikenali sebagai kumpulan vs kumpulan.

Di peringkat atasan selalunya konflik berlaku di atas sebab-sebab yang lebih strategik seperti tidak bersetuju langkah-langkah strategi yang diambil oleh parti dan selalunya dikaitkan keputusan strategi yang diambil dengan pertembungan kepentingan dasar utama parti. Alasan-alasan yang diberi akan menyinggung soal prinsip parti yang dilihat tergugat serta diperincikan alasan-alasan tersebut dengan tuduhan-tuduhan wujudnya kelompok tertentu dalam parti yang cuba menguasai kepimpinan.

Amat menarik untuk diberi perhatian bahawa semasa Datuk Mohd Asri Hj Muda dipecat dan beliau merupakan Presiden PAS ketika itu, isunya ialah soal strategik juga di mana Asri mempertikaikan penguasaan parti itu dikatakan didalangi oleh kumpulan radikal yang terpengaruh dengan revolusi Iran dan PAS telah menjadi radikal tersasar dari landasan PAS ketika itu.

Apa yang gagal difahami oleh Asri ketika itu ialah PAS sedang melalui proses pembaharuan fikrah Islam yang lebih jelas dan transformasi PAS menjadi Gerakan Islam yang melihat kesyumulan perjuangan dan bukan sahaja di medan siyasah. Kegagalan Asri ketika itu memahami tuntutan semasa dan masih dalam kepompong lamanya menyebabkan kritikan dan penentangannya kepada perubahan ini dibayar dengan harga yang mahal apabila PAS ketika itu sudah bersiap sedia memperkemaskan dirinya dalam bentuknya yang baru ketika itu.

Corak dan riak-riak pemecatan Hasan hari ini saling tidak tumpah seperti yang dilalui oleh Asri, kegagalan Hasan memahami realiti transformasi politik PAS hari ini yang berusaha untuk menyesuaikan dirinya dalam perkembangan-perkembangan terkini menyebabkan Hasan menjadi mangsa jerat mindanya sendiri.

Hasan juga gagal menghayati dinamika PAS yang hingga hari ini mampu terus bernyawa walaupun telah melalui berbagai cabaran untuk PAS sampai pada tahapnya hari ini. Alasan Hasan bahawa PAS telah lari dari perjuangannya, sama sahaja nada yang pernah disebut oleh Asri seketika dahulu, bezanya Asri menuduh PAS dikuasai radikal Iran, Hasan menuduh adanya golongan Parasit dalam PAS yang “meraikan” rakan lebih daripada perjuangan parti. Semua gara-gara pendekatan politik PAS memilih untuk tidak bersama Umno dan meneruskan agenda usaha Pakatan Rakyat menggantikan Barisan Nasional hari ini.

Pengaruh Asri sudah tentulah jauh lebih besar dari Hasan, siapalah Hasan berbanding dengan Asri dalam PAS dan kerana itu pemecatan Asri diikuti dengan kumpulan 13 yang lain di mana hampir separuh daripadanya adalah merupakan AJK PAS Pusat. Ini tidak termasuk kawasan-kawasan lain mampu dipengaruhi Asri.

Adapun Hasan, katanya dalam seminggu lagi akan ada penyokong-penyokongnya dari PAS yang akan bersamanya, namun saya agak skeptikal kerana seperti mana yang saya sebutkan siapalah Hasan yang mampu mengumpul orang di belakangnya? Kalau orang-orang Perkasa atau Umno entahlah?

Arus bawah yang mendasari bibit-bibit krisis ini ialah kocakan-kocakan yang sebenarnya menandakan kemunculan PAS yang lebih terkini mendepani perubahan lanskap politik semasa. Saya kira bukan Hasan sahaja, siapa yang gagal memahami kemunculan ini dalam bentuknya yang begitu laju dan dinamik pasti akan terjerat dalam perangkap minda masing-masing.

Dan sememangnya tidak pelik jikalau Umno akan kipas isu PAS lari dari perjuangan (seperti mana mereka lakukan ke atas Ustaz Nakhaie Hj Ahmad yang masih bercakap dengan nada yang sama) kerana Hasan adalah alat terbaik yang dapat menjalankan tugas-tugas Umno khusus bagi cover up isu pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari baru baru ini.

Seperti kes Asri, walaupun ada sedikit kocakan tetapi krisis ketika itu memberi peluang kepada PAS untuk mencipta kemunculan baru dalam bentuk kepimpinan ulamak yang telah melakarkan pencapaiannya tersendiri.

Seperti biasa PAS akan terus mantap kerana sudah menjadi penerimaan umum ahli PAS bahawa pemimpin datang dan pergi namun perjuangan ini tetap akan meneruskan cita-citanya. Seperti lirik lagu PAS yang berbunyi “....suburlah hidupnya dan pasti berbuah...”

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments