Opinion

Isu murtad dan statistik

Mujahid Yusof Rawa

Mujahid Yusof Rawa is MP for Parit Buntar and PAS National Unity Committee chairman.

1 APRIL — Saya berasa terpanggil untuk menulis artikel tentang murtad kerana soalan saya di Parlimen pada 20 Mac 2012 (Rabu) perlu dikongsi bersama khususnya apabila negara ini teruji dengan hubungan antara agama yang dilihat semakin rapuh di akhir-akhir ini. Antara kekaburan yang senantiasa menjadi bahan yang mempertaruhkan hubungan antara agama di negara ini ialah isu murtad. Ia timbul kerana dalam Islam murtad dianggap satu jenayah yang besar. Saya tidak berminat untuk membahas secara intelektual persoalan murtad kerana terlalu banyak perbincangan yang dimuatkan dalam buku-buku atau forum-forum. Pemikiran tentang jenayah murtad terbahagi antara pendekatan menghukum dan pendekatan membuat penjelasan, apa pun pendekatan itu ia telah menguji hubungan antara agama di negara ini kerana ada pihak tertentu yang menunggang isu ini mengikut selera politik masing-masing. 

Soalan saya di Parlimen bukan tentang perbahasan intelektual, soalan saya lebih bersifat statistikal untuk kita memahami sejauh mana seriusnya isu murtad ini yang menggegarkan negara akhir-akhir ini. Namun jawapannya ialah : "Sehingga kini, tiada permohonan dibuat oleh individu yang asal beragama Islam, mengamalkan ajaran Islam dan kemudian memohon pengistyharan menukar status agamanya di Mahkamah Syariah" begitu juga jawapan diberi tentang statistik tanpa permohonan iaitu: "Manakala bagi maklumat dan statistik orang Islam yang telah menukar status agamanya tanpa permohonan secara resmi, pihak kerajaan melalui agensi yang berkaitan samada Majlis Agama Islam negeri-negeri mahupun Mahkamah Syariah Negeri-negeri tidak mempunyai rekod dan data berkenaannya" 

Adapun isu yang sering dikemukakan di Mahkamah untuk menetapkan status agama kerap berlaku dari seseorang yang ibubapanya memeluk Islam dan mendaftarkan status anaknya sebagai Islam tetapi setelah ibubapanya meninggal dunia, dia dibesarkan oleh keluarganya yang bukan Islam. Begitu juga mereka yang tidak lagi mengamalkan Islam malah menjalani kehidupan sebagai penganut agama lain, selalunya mereka terdiri daripada keluarga yang salah seorang ibu bapanya adalah seorang yang mualaf. Jawapan yang diberi dari kes-kes murtad lebih kepada permasalahan saudara baru yang berlaku kerana soal-soal penghayatan dan cara ia dibesarkan. 

Bagi saya isunya ialah lebih kepada bagaimana seseorang itu memilih untuk memeluk Islam dengan kejelasan dan bukan  sekadar untuk berkahwin dengan pasangannya yang beragama Islam. Walaupun kita tidak menafikan perkahwinan adalah salah satu pintu masuk Islam tetapi asas pemelukan seseorang mestilah atas kesedaran dan kerelaan hati kerana meyakini agama yang akan dianuti bukan kerana cintanya kepada pasangannya. Begitu juga tanggungjawab mana-mana pasangan yang menerima pasangannya memeluk Islam mestilah bertanggungjawab memahamkan pasangannya tentang penghayatan sebagai seorang Islam. 

Begitu juga tanggungjawab ibubapa yang salah seorang pasangannya memeluk Islam, mestilah mendidik anak-anaknya dengan cara Islam sepertimana orang Islam hendaklah membimbing dan menasihati kekurangan-kekurangan yang ada. Jikalau perkara ini tidak diberi perhatian yang serius apa yang akan berlaku ialah pertikaian-pertikaian di mahkamah untuk menentukan status agama akan senantiasa menghantui hubungan antara agama di negara ini. 

Adapun yang digembar-gemburkan pemurtadan dari asal orang Islam nampaknya statistik tidak menunjukkan satu trend. Kecualilah jikalau ia berlaku secara rahsia. Soalnya apakah kita bijak menangani isu ini dengan sikap keterbukaan dan mempertingkatkan dialog antara agama sebagai jalan memahami permasalahan yang sebenarnya. Lebih penting ialah sikap introvert yang menuntut umat Islam bermuhasabah tentang usha mereka untuk menjaga saudra baru yang asasnya perlu dipertegaskan bahawa memeluk Islam itu adalah keikhlasan dan kerelaan diri keana meyakini keindahan agama ini bukan kerana kecantikan pasangan yang akan dikahwininya atau alasan-alasan lain yang tidak mencerminkan keyakinannya yang mutlak kepada agama yang akan dianutinya.

* Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Comments