Opinion

Kalimah Allah muncul lagi

30 DIS — Apa pun yang diperkatakan oleh orang ramai tentang mengganti kalimah Allah dengan God atau Tuhan untuk kegunaan orang Kristian menunjukkan keagungan kalimah Allah ini. Allah sebagai perkataan yang difahami pengertiannya oleh semua pihak mampu memberikan makna dengan tepat tentang KeagunganNya dan KebesaranNya. Tidak dapat dinafikan semua pihak termasuk penganut agama Kristian di Malaysia mahu kalimah ini menjadi milik mereka yang selama ini secara eksklusif dipakai oleh umat Islam. 

Perspektif Al Quran 

Secara positifnya kalimah Allah ini mempunyai peminatnya lantas membuktikan kebenaran ayat dari Al Quran (Luqman, 31:25): "Jika kamu bertanyakan kepada mereka, siapakah yang mencipta Langit dan Bumi ini, pasti mereka akan memperakui bahawa Allah yang menciptakanNya, Katakanlah Alhamdulillah tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya" secara literalnya ayat ini mahu menjawab golongan yang mengingkari kewujudan Sang Pencipta yang menghidupkan mereka dan mematikan mereka dan mereka akan dibangkitkan untuk dibuat perhitungan. Secara kontekstualnya golongan yang tidak mempercayai kewujudan Allah tetap menggunakan kalimah Allah bagi menggambarkan ketundukan mereka kepada Keagungan dan Kebesaran Tuhan. Ini bermakna perkataan Allah adalah universal. Ahlul Kitab iaitu penganut agama Yahudi dan Kristian digambarkan oleh Al Quran telah menyebut nama Allah di Biara dan Gereja mereka, seperti firmanNya (Al Haj,22:40): "Jika tidak Allah mencampakkan perasaan ingin mempertahankan simbol agama masing-masing, akan hancurlah (tanpa perasaan itu) tempat ibadat Yahudi (Sinagog) Kristian ( Gereja) dan rumah ibadat serta , Islam     (Mesjid) di mana di dalam semuanya itu disebut nama Allah dengan banyak sekali, Allah pasti akan membantu siapa yang membantu agamanya, Allah Maha Gagah dan Mulia" Ayat ini secara literal menggambarkan perasaan ingin mempertahankan simbol agama masing-masing dan lerasaan itu dicampak oleh Allah. Secara kontekstualnya ayat ini menyebut bahawa di dalam rumah ibadat ini semua di sebut nama Allah bagi menggambarkan berbagai penganut khususnya Yahudi dan Kristian menggemakan nama Allah sebagai tanda kebesaranNya. 

Perspektif akademik 

Secara akademiknya perbahasan menggunakan kalimah Allah oleh penganut agama lain adalah satu perbahasan yang menarik dan saya secara peribadi tidak melihat ianya satu kesalahan dari sudut akademik. Namun isu ini bukan akademik semata-mata ia ada kaitan dengan perundangan, norma, budaya dan politik. Jadi amat malang jikalau kita hendak menjawab persoalan ini secara mudah tanpa memperincikan keperluan-keperluan lain sebelum kita membuat rumusan. 

Perundangan 

Dalam konteks Malaysia kedudukan Islam sebagai agama resmi persekutuan diperuntukkan dalam Artikel 3. Walaupun Artikel 11 menetapkan kebebasan agama namun kedudukan Islam itu mesti dilihat sebagai keutamaan dan sebab itu enakmen negeri-negeri diberi kuasa untuk memperkukohkan Artikel 3 ini melalui kuasa enakmen Islam. Perundangan tidak lahir secara lompang melainkan ia terbentuk dari latarbelakang sejarah dan budaya sesebuah masyarakat. Kalimah Allah tidak terlepasa dari aspek ini, sebab itu dalam enakmen Islam negeri ada menyebut tentang beberapa perkataan yang tidak boleh dipakai oleh oleh orang bukan Islam dan salah satunya termasuk perkataan Allah. Ia diterima selama ini sebagai enakmen yang ada keabsahannya dan tidak pernah dipertikaikan oleh bukan Islam. Secara perundangan ianya dilarang di Semenanjung mengikut enakmen agama negeri yang ada. 

Norma dan budaya 

Bahasa yang difahami dan digunakan adalah lebih utama daripada berbahas menggunakan apakah kalimat yang sesuai. Tidak pernah terdengar selama ini penganut Kristian di Malaysia mahu menggantikan kalimah Allah dalam penggunaan keagamannya. mereka mungkin terdorong dalam satu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi tahun 2009 bahawa penerbitan Herald Christian boleh menggunakan perkataan Allah dalam tulisannya yang disekat pengedarannya oleh KDN kerana menggunakan perkataan Allah di dalamnya. Begitu juga injil terjemahan yang disekat kemasukannya di Sarawak tempoh hari kerana menggunakan perkataan Allah di dalamnya akhirnya terpaksa dilepaskan kerana penganut Kristian Sarawak mendakwa mereka menggunakan perkataan Allah sejak sekian lama. Ringkasnya, di Semenanjung isu ini hanya timbul dalam kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi 2009, walaupun KDN membawanya ke Mahkamah Rayuan dan hingga kini belum diputuskan. Manakala di Sarawak, perkataan Allah oleh penganut Kristian sudahpun menjadi polemik sejak sekian lama. 

Memahami motif 

Saya tidak boleh mengelak untuk bertanya apakah motif isu ini dibangkitkan semula oleh YAB Ketua Menter Pulau Pinang itu? Saya yakin media longkang akan mengambil isu ini untuk memenuhi nafsu politik sempit tuannya, tapi saya masih belum ada jawapan mengapa Lim Gua Eng menyebutnya dalam ucapan Krismasnya kepada penganut Kristian di Malaysia? Menurut Zairil Khair Johari pemimpin Melayu dalam DAP, LGE menujukan isu ini kepada penganut di Sabah dan Sarawak, namun Karpal Singh pula merujuk kepada aspek perundangan bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh umat Kristian tanpa mengkhususkannya untuk Sabah Sarawak sahaja. Isu ini dibawa ke mesyuarat Pakatan namun luka dan kesannya terus meninggalkan bekas kepada yang menyokong dan yang menentang. 

Hak atau penghayatan agama 

Hak menggunakan perkataan Allah perlu dilihat kepada penghayatan kerana beragama adalah penghayatan. Apatah lagi memilih perkataan yang memberikan makna kepada pengibadatan kita. Jika mahu dipakai kalimah Allah hanya kerana hak dan perundangan tanpa mengasaskan kepada penghayatan adalah satu kezaliman kepada isu ini. Umat Islam memang sinonim dengan kalimah Allah kerana ia berasal dari perkataan Arab dan dari sudut istilah ia melambangkan ketauhidan mutlak. Jadi bagi umat Islam ada satu disiplin teologi yang perlu dihayati oleh umat Islam. Apakah penganut Kristian di Malaysia yang terbiasa dengan perkataan God atau Tuhan selama ini tidak berasa selesa kerana kurang penghayatan lalu mahu menggantikan yang lebih selesa dengan menggunakan perkataan Allah? ataukah sekadar mahu membuang eksklusifiti perkataan untuk umat Islam? Saya tidak boleh menjawabnya kerana penganut agama masing-masing lebih mengetahui tentang penghayatan agamanya. Kedua, dengan satu tuntutan yang besar ini, adakah LGE dan sesiapa yang menyokong penggunaan kalimah Allah ini mewakili hasrat 1.9 juta penganut Kristian dari berbagai denominasi di Semenanjung ataukah di Sabah dan Sarawak sahaja? Saya harap dengan permintaan besar ini LGE dan yang menyokongnya telah membuat setiap perkiraan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Comments