Opinion

Mahu gunting rambut di KB?

27 NOV — Sure heboh

Heboh di dada akhbar penguatkuasaan undang-undang oleh Majlis Perbandaran Kota Baru Bandaraya Islam (MPKB BI) ke atas sebuah saloon gunting rambut wanita di KB Mall. Tindakan itu berpandukan pada seksyen 107(2) Undang Kecil Majlis Tempatan yang sudah berjalan sejak 1991 lagi. Peruntukan undang-undang ini melarang wanita menggunting rambut lelaki dan begitulah sebaliknya. Biasalah di Malaysia, perkara lama boleh disensasikan asalkan ada kepentingan di situ. Kali ini undang-undang kecil yang sudah lama dikuatkuasakan tiba-tiba menjadi sensasi dan yang menariknya semua pihak menambah rencah mengikut selera masing-masing, sure heboh satu Malaysia punya.

Hadiah Krismas

Di Malaysia sesuatu isu itu apabila hangit sangat diputarkan sehingga kita tidak tahu apa puncanya dan apa isunya. Disensasikan dengan kebebasan media ala Malaysia, orang ramai disuap secara paksa dengan apa yang dimahukan oleh pencacai politik. Tiada budaya sihat di mana berbagai pandangan membentuk kematangan rakyat berfikir. MCA nampaknya seronok dalam isu saman di KB Mall ini ke atas pengusaha saloon sehingga menganggap ini adalah “hadiah dari tuhan untuk sambutan Krismas” dengan kata lain mereka mendapat “peluru percuma” membantai PAS dengan bantaian maut. Semua sedia maklum betapa MCA jadi parti yang terpalit dengan krisis termasuk moral di mana pelakon utamanya adalah presidennya sendiri. Walaupun demikian dia masih tetap Presiden, entah apa ilmu dipakainya ataupun perwakilan ada tahap tertentu menentukan kepimpinannya. Saya boleh bayang betapa sukanya parti ini mendapat hadiah Krismas dengan isu di KB Mall ini. Tapi... tunggu dulu, apa isunya?

Keselesaan atau paksaan

Apa yang dihebohkan adalah isu segregasi jantina, walaupun perbahasannya luas, saya mahu melihat dari sudut memberikan keselesaan dan menjaga hak wanita sebagai menangkis hujah pihak tertentu yang membawa konotasi negatif. Bukankah amalan segregasi ini telahpun diamalkan di negara-negara lain termasuk Jepun dan India wa imma di China dan Eropah sendiri? Tidak berbangkit isu ini dikaitkan dengan “memaksa hak bukan Islam” ia adalah untuk memelihara keselesaan kaum Hawa yang perlu pembelaan terhadap ruangnya yang tidak boleh dikongsi sama oleh kaum Adam. Keselesaan ruang dicipta eksklusif untuk wanita di dalam pengangkutan awam, tempat awam dan ketika berbaris panjang bukan kerana diskriminasi tetapi kerana menjaga sifat wanita yang lemah lembut supaya tak perlu berasak dengan lelaki atau berebut tempat.Manakala di saloon pula segregasi adalah bentuk keselesaan supaya wanita mendapat ruang eksklusifnya tanpa diganggu dengan kehadiran kaum lelaki sebagai pengguntingnya mahupun sebagai pelanggannya. Amalan segregasi jantina ini perlu dilihat dalam perspektif keselesaan dan bukan paksaan. Adakah ini bermakna semua wanita bersetuju ruang eksklusif mereka dicerobohi dan dikongsi khususnya di tempat seperti saloon wanita seperti yang dilaungkan oleh MCA dan yang sama waktu dengannya? Apakah yang MCA perjuangkan? Hak wanita atau mahu publisiti politik? Mengaitkan isu ini dengan kononnya memaksa bukan Islam adalah tersasar dari fahaman malah menggambarkan kecelaruan MCA dalam isu ini. Mereka tidak dapat membezakan antara memberi keselesaan dengan paksaan, apatah lagi MCA buat sekian kalinya menggunakan Islam sebagai temanya kononnya undang-undang ini memaksa bukan Islam!

Unisex

Perkataan unisex menggambarkan ianya terbuka untuk lelaki dan wanita. Ia adalah manifestasi kebebasan yang menggambarkan kemodenan apabila ia mula diperkenalkan, maka lahirlah unisex saloon. Bagi sesetengah pihak konsep ini disalahertikan untuk mewajarkan kegiatan yang boleh memberi ruang kepada aktiviti yang tidak ada kena mengena dengan pendandanan rambut. Banyak aktiviti di bandar besar menggunakan platform ini untuk menawarkan khidmat lain dari dandanan rambut. Walaupun tidak semua yang mengambil kesempatan tapi tiada jaminan kekal yang profesion ini terpelihara dari tujuan lain. Sebagai tanda prevention is better than cure, adalah normal bagi negeri seperti Kelantan yang padat budaya ketimurannya memelihara nilai-nilai ini dari dicemari. Bukankah budaya sebahagian dari faktor mempengaruhi sesuatu perundangan?

Undang-undang kecil

Oleh kerana tindakan ini adalah tindakan yang diperuntukkan oleh perundangan maka adalah wajar pihak yang tidak berpuas hati menangani isu ini mengikut perundangan juga. Masyarakat yang demokratik bukan sahaja melaungkan hak kebebasannya tetapi dia juga menggunakan saluran perundangan untuk memperbaiki keadaan masyarakatnya. Tiada yang mutlak dan tidak boleh dipertikaikan selagimana ia berlaku dalam konteks perundangan yang bebas memberi intepretasi kepada permasalahan yang timbul. Saya juga melihat di sebalik rencah selera politik Umno dan MCA yang ditambah dalam isu ini, MPKB BI perlu menilai semula peruntukan-peruntukan ini dengan semangat memperbaikinya dari masa ke semasa mengikut kesesuaian dan tahap persediaan. Sebuah kerajaan yang mahu berkhidmat kepada subjeknya perlu peka dan sensitif dengan respons yang tulen dari orang ramai lalu memperluaskan ruang dialog samada memahamkan undang-undang tertentu ataupun mengharapkan feedback orang ramai. Semangat dialog dan sikap demokratik ini perlu diambil oleh kerajaan Kelantan dan mana-mana kerajaan lain,supaya isu ini dilanggani dengan bijaksana dan sikap yang terbuka.

Di mana silapnya

Di negeri-negeri lain berselerak lesen yang dikeluarkan oleh majlis kerajaan tempatan yang disalahgunakan untuk kegiatan tidak bermoral. Walaupun operasi demi operasi dilakukan ia tetap tumbuh seperti cendawan. Harga yang dibayar oleh masyarakat dalam gejala ini amatlah tinggi di mana seks bebas, pemerdagangan orang dan perhambaan moden telah meluas dan melata. Semuanya bermula dengan pemberian lesen untuk mereka beroperasi, walaupun tidak adil isu KB Mall ini dikaitkan dengan kegiatan tidak bermoral tetapi sekurangnya MPKB BI mahu menutup ruang-ruang ini daripada berlaku, di mana silapnya? Adakah kerana bukan Islam dipaksa untuk menerima undang-undang segregasi jantina ini ataukah kerana undang-undang kecil ini mahu memelihara kemaslahatan yang lebih besar untuk semua? Ataukah silapnya ialah MPKB BI mahu memelihara kesopanan wanita timur?

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments