Opinion

Morsi bertembung dengan siapa?

Mujahid Yusof Rawa

Mujahid Yusof Rawa is MP for Parit Buntar and PAS National Unity Committee chairman.

30 NOV — Logik dekri presiden 

Isu Mesir post-revolusi tidak semudah yang dijangkakan untuk sesiapa yang mahukan jawapan ringkas mengapa Morsi perlukan kekebalan dalam dekri presiden yang dimasyhurkan baru-baru ini. Berbagai persepsi kepada tindakan Presiden Morsi membentuk pandangan umum tentang masa depan Mesir dan pendemokrasian yang ditagih oleh rakyat. Logik mengapa Presiden memerlukan satu kekebalan dalam keputusan-keputusannya atau Dekri Presiden masih belum dapat dirasionalkan atau sengaja tidak mahu dirasionalkan akibat trauma sebelum ini di bawah kuasa mutlak Mubarak sebagai Presiden.

Kedudukan Mesir

Mesir mempunyai kedudukan yang strategik untuk dunia Islam dan dunia Barat. Kedudukannya menjadi laluan penghubung lautan antara Mediteranian dan Laut Merah menjadikannya sebagai terusan yang paling sibuk di dunia. Mesir juga adalah pemain utama dalam usaha damai konflik Arab-Israel apabila Sadat menandatangani perjanjian Camp David 1979. Perjanjian itu menjadikan Mesir sebagai rakan utama Amerika bagi melaksanakan dasar Timur Tengah yang asasnya ialah memastikan kewujudan Israel untuk mengimbangi kuasa Amerika di Timur Tengah. Mesir sebelum perjanjian ini adalah pro Soviet, usaha dua kuasa besar dunia ketika itu untuk menguasai Mesir terdorong dengan keperluan Mesir untuk mempertahankan sempadannya dari diserang Israel.

Dari perspektif dunia Islam pula, Mesir adalah pusat pengajian terbesar dunia Islam melalui Al Azhar. Al Azhar selama ini telah melahirkan graduan seluruh dunia Islam dan pastinya keterikatan emosional atas sumbangan besar ini menjadikan Mesir mendapat kedudukan istimewa di dunia Islam dan lantas segala perubahan di Mesir akan memberi kesan kepada dunia Islam.

Ikhwan dan polisi Amerika 

Hampir seluruh dunia mengenali pergerakan Ikhwan, ia diasaskan pada tahun 1928 oleh Hasan Al Banna setelah 4 tahun jatuhnya Khilafah Othmaniyah. Setelah berhempas pulas, kebangkitan rakyat di Mesir baru baru ini menyaksikan kebangkitan Ikhwan sebagai kuasa paling berpengaruh dan tersusun sehingga calonnya melalui Parti Kebebasan dan Keadilan berjaya dinobatkan sebagai Presiden Mesir yang dipilih secara demokratik. Barat dan sekutunya melihat perkembangan ini dengan berhati-hati kerana regim diktator sebelumnya merupakan rakan strategik penting mereka apatah lagi perasaan anti Amerika begitu memuncak dan kemenangan Morsi adalah harapan rakyat untuk melihat hubungan Mesir-Amerika ini tidak menjadi alat untuk kepentingan Israel. Isu sensitif seperti bekalan gas ke Israel dan penyeludupan senjata ke Palestine dari sempadan Mesir adalah antara bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa di mana ia cuba dikawal oleh Amerika dengan bersungguh-sungguh. Jadi adalah penting segala perkiraan politik dan tindakan Morsi tidak menyentuh punat bom jangka itu dan oleh itu isu kekebalan dekri Presiden yang diminta oleh Morsi mendapat liputan besar di media pro-Amerika mengharapkan ia satu bala yang akan menimpa Morsi. Lagipun Ikhwan sebagai pencatur utama politik Mesir dilihat hari ini sebagai kuasa politik Islam yang mampu menggugat kepentingan Amerika di rantau Timur Tengah dengan Israel sebagai pertaruhannya. Perubahan kuasa atau menjatuhkan kuasa yang tidak menguntungkan Amerika adalah satu teori yang tidak boleh dikesampingkan.

Pengaruh politik lain

Kemenangan Morsi tidaklah benar untuk dikatakan sokongan mutlak kerana pesaingnya turut mendapat peratus sokongan yang memberangsangkan. Akibatnya kita boleh memahami betapa tekanan pengaruh politik selain kumpulan Islam juga menimbulkan masalah bagi usaha Morsi meneruskan agenda pendemokrasiannya. Golongan Liberal dan Sekular juga mempunyai pengaruh di kalangan kelompok elit dan pertengahan Mesir. Kelompok ini walaupun telah bersatu menjatuhkan Mubarak bersama kumpulan Islam, namun tidak semestinya mereka bersetuju dengan kumpulan Islam dari sudut memerintah negara. Perkembangan terkini isu kekebalan dekri Presiden turut dilihat sebagai penentangan kelompok Liberal dan Sekular yang berhujah bahawa tindakan Morsi akan mengembalikan amalan kediktatoran malah El Baradai menolak untuk berbincang dengan Presiden sehinggalah Presiden menarik balik tuntutannya mendapat kekebalan dekri Presiden. Apakah kemungkinan isu terkini yang menghimpunkan ribuan manusia ke Medan Tahrir dieksploitasi oleh kelompok ini?

Institusi kehakiman

Pencetus utama konflik politik terkini di Mesir ialah apabila Naib Presiden Majlis Tinggi Kehakiman meletak jawatan dan menuntut supaya para hakim mengadakan mogok atas permohonan Presiden Morsi mendapat kekebalan dalam  dekrinya. Walaupun Majlis Tinggi Kehakiman selayaknya tidak campurtangan di atas sifatnya bebas, namun tindakan itu mencetuskan ketegangan politik. Permohonan Presiden itu bukanlah mutlak kerana Morsi memerlukan satu mekanisma kuasa untuk menyelesaikan agenda tertunggak seperti membuka semula kes kekerasan polis ke atas para demonstran, membentuk Parlimen dan mencadangkan perlembagaan baru bagi menghakis kuasa besar tentera yang masih berkuatkuasa. Tanpa dekri Presiden yang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak, Morsi menganggap tidak ada apa yang boleh dilakukan untuk memenuhi aspirasi kebangkitan rakyat. Pertemuan dengan Majlis Tertinggi Kehakiman berjaya menjelaskan hasrat Morsi walaupun sebahagian anggota Majlis Kehakiman masih skeptikal kerana bimbang kebangkitan semula kuasa diktator baru.

Memahami realiti

Politik Mesir masih rapuh dan belum pulih dari luka selama berpuluh tahun regim kediktatoran. Banyak pihak yang mempunyai kepentingan. Morsi juga tersepit dalam kelompok Islamnya antara gelombang Salafiyin dan kelompok Islam sederhana. Manakala kelompok Liberal dan Sekular turut mahukan habuan dalam pengisian revolusi rakyat ini. Saki-baki regim lama yang punya dendam dengan Ikhwan masih berpengaruh di dalam institusi kehakiman, tentera, polis dan kementerian-kementerian tertentu menyebabkan Presiden belum menguasai penuh keadaan. Memantau dari jauh pula ialah Amerika dan sekutunya yang terpaksa menerima realiti baru untuk menyesuaikan polisinya di Timur Tengah. Bayangkan bagaimana Morsi terpaksa membuat beribu-ribu perkiraan sebelum mengambil risiko atas apa juga usaha yang cuba dilakukan bagi memenuhi hasrat rakyat dan menepati janjinya kepada para syuhada yang gugur demi membayar harga sebuah kebebasan dari regim diktator Mubarak. Ketika ini Morsi terpaksa berhadapan dengan semua kemungkinan.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments