Opinion

‘Seronok juga jadi PM,’ kata Hadi

22 NOV — Ada apa pada PM?

Di Malaysia jawatan kepimpinan politik paling tinggi ialah Perdana Menteri. Apabila orang menyebut PM pastinya mereka sedang merujuk kepada satu jawatan yang hanya akan disandang dari individu parti yang memerintah. Sejak dari dulu lagi kerusi PM menjadi kerusi “panas” kerana ia menjadi rebutan sesama parti pemerintah sendiri mahupun pesaing politiknya. 

PM juga seorang yang berkuasa di Malaysia, dia boleh membubar Parlimen dan menyusun kabinet serta menentukan perbelanjaan negara. Semua orang suka kepada individu yang berjawatan PM khususnya orang yang berniaga besar kerana dengan mengenali PM berbagai kontrak lumayan boleh diperolehi.

Muktamar dan PM

Dalam banyak isu yang dibahaskan semasa Muktamar PAS baru-baru ini, tajuk “Hadi jadi PM” mendapat perhatian akhbar arus perdana. Cara berita itu dipaparkan seolah-olah keseluruhan muktamar terfokus untuk berbicara tentang perlunya Presiden PAS itu menjadi PM setelah selesai tugas sampai ke Putrajaya. Bagi yang membaca media arus perdana dan tidak tahu menahu perjalanan muktamar pasti akan membuat rumusan bahawa PAS “gila kuasa” dan “menolak Anwar Ibrahim” ataupun PAS tiada agenda melainkan mahu jadi PM dll rumusan liar yang membentuk persepsi negatif terhadap PAS. Pendek kata tenggelamlah slogan Negara Berkebajikan Teras Perpaduan dan seolah-olah diganti dengan “Hadi Mahu Jadi PM” menjadi tema muktamar baru-baru ini.

Hasrat tersirat

Apakah hasrat sebenarnya dan apakah motif pampangan berita sebegitu rupa tentang Presiden PAS layak jadi PM? Pertama, mana-mana parti di Malaysia pasti akan meletakkan pemimpin nombor satunya sebagai yang terbaik, malah itulah caranya mereka melahirkan penghargaan dan pengharapan terhadap ketua mereka. Amatlah pelik jika mereka melaungkan hasrat mereka dengan menyebut nama pemimpin yang tidak ada kena mengena dengan hiraki parti. Malah amatlah pelik juga jika mereka menyebut nama pemimpin PAS sendiri yang tidak menjadi Presiden kepada parti saat itu. Bagi saya, nama Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS ketika ini dilaungkan namanya sebagai PM jika Pakatan jadi kerajaan adalah satu tindakan yang normal lahir dari hasrat para perwakilan parti yang normal.Tiada apa yang ganjilnya dalam suasana kehangatan para perwakilan dan semangat parti menerajui perubahan politik di Malaysia. Bagi saya juga yang pelik ialah mengapa media memutarbelitkan hasrat yang tulus murni ini dari perwakilan PAS? Yang pelik seharusnya apabila perwakilan Umno menuntut Hadi mesti jadi PM!

Media longkang

Kedua, amatlah jelas peranan jijik media yang selama ini menjadi hamba kepada politik desperado Umno dan BN. Media perdana UM, BH dan TV3 selamanya merendahkan martabat warga media kerana memperhambakan dirinya secara rela untuk diperkosa oleh politik jijik Umno dan sekutunya. Mereka hidup dengan alunan zikir maki PAS atau puji PAS demi memenuhi selera politik kotor tuannya yang bernama Umno. Apatah lagi setiap perkataan yang dihemburkan oleh pemimpin PAS akan jadi peluru untuk tembak PAS dan kepimpinannya, maka tiada kejutan kali ini jika tajuk media berteriak “Hadi PM, jika PR menang”

Fakta disembunyikan

Muktamar tiga hari di Kota Baru pada 16-18 Nov baru-baru ini sarat dengan mesej penting bagi sebuah parti politik Islam yang senior di rantau ini. PAS melangkah megah dan pencapaiannya hari ini adalah terbaik untuk parti itu melonjak ke pesada kuasa nasional. Apa yang disembunyikan ialah komitmen PAS mengharungi cabaran bersama rakanya di Pakatan Rakyat. Hampir semua perwakilan yang berucap tidak bercanggah pendapat mahukan PAS bersama PR walaupun kritikan pedas perwakilan mahukan PAS tidak cair dalam strategi politiknya. Mesej kebersamaan dengan PR adalah tonggak utama yang menentukan  pertarungan PRU ke-13 nanti dan ia amat digeruni oleh musuh politiknya. Amatlah jelas di sebalik serangan bertubi-tubi selama 4 tahun kepada PR, Pakatan tetap kukoh dan sokongan terhadapnya tidak terjejas, oleh itu agenda media budak suruhan Umno perlu menyerang asas ini dan tiada yang lebih baik daripada menyerang Muktamar PAS bagi menggambarkan kerapuhan hubungan PR.

Kematangan PAS

PAS semakin matang dari segi keterbukaan mengkritik kepimpinannya. Suasana muktamar juga menggambarkan keprihatinan untuk memastikan PAS tidak ketinggalan dalam perubahan lanskap politik. Ini diterjemahkan dalam nuansa keperluan PAS tidak hilang dan cair dasar Islam yang diperjuangkannya. Kritikan kepada sebahagian pendekatan yang dikatakan melonggarkan dasar PAS serta beberapa kepimpinan yang suka membuat kenyataan akhbar sehingga melambangkan kononnya perbezaan sikap adalah lambang keterbukaan suasana muktamar. Ini adalah dinamika PAS dalam mengharungi perkembangan parti yang kini semakin melebar pengaruhnya.

Suara non-Muslim

Menarik juga ialah suara Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menyatakan sokongan padu kepada PAS. Mereka juga menggambarkan diri mereka sebagai tentera untuk memenangkan perjuangan Islam yang dipelopori oleh PAS. Media longkang UM dan BH serta TV3 tidak pula melaporkan pengiktirafan DHPP kepada kesederhanaan Islam yang dihayati oleh PAS. Bagi saya ini adalah pencapaian besar PAS yang berjaya memecah tembok dengan segmen bukan Melayu yang diserapkan dalam organisasi parti. Kehadiran perwakilan DHPP dan ucapan-ucapan mereka serta pergaulan mesra dengan perwakilan adalah lambang lonjakan PAS menjadi parti multi-racial, sesuatu yang amat diperlukan untuk PAS.

Apa Hadi kata

Saya mengamati ucapan penggulungan Presiden PAS yang begitu cermat memilih kata-kata dan ungkapannya. Hadi telah berjaya mengimbangi antara kebimbangan perwakilan dan harapan strategi bersama PR dengan penegasan PAS terhadap dasar Islamnya. 

Seterusnya beliau menegur sikap bergesa-gesa perwakilan tentang perlaksanaan Islam dengan membawa contoh di zaman Umawiyah Omar Ibnul Aziz. Antara kata-kata Omar Ibnul Aziz apabila ditanya oleh anaknya yang bimbang mengapa ayahnya tidak melaksanakan Islam semuanya dalam perlaksanaan hukum jenayah, beliau menjawab: Wahai anakku, sedangkan Allah mengharamkan arak berperingkat-peringkat, aku khuatir akan jadi fitnah kepada Islam jikalau aku melaksanakan tergesa-gesa keseluruhannya mereka akan tolak keseluruhannya. 

Ucapan ini mempunyai signifikasi mendalam kepada kebijaksanaan memegang tampok pemerintahan dan melaksanakan Islam. Akhirnya Presiden PAS itu membuat komentar tentang desakan supaya beliau menjadi PM apabila PR menang dengan berkata: “Seronok juga jadi PM, tapi biarlah Islam menang dulu lepas itu nak mati pun takpalah... jangan jadi orang pergi memancing, ikan tak dapat lagi rempah dah siap kononnya nanti akan dapat ikan besar tapi akhirnya dapat ikan kecik aja...”

Hadi semakin matang memimpin parti dalam saat getir arus perubahan politik negara, sikap kebapaannya melayan berbagai arus dalam parti yang membentuk dinamikanya hari ini amat disanjung oleh perwakilan. Saya tak akan lupa ungkapannya tentang hasrat menjadi PM dengan kata sinis: “Seronok juga jadi PM...”

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments