Opinion

Jangan beritahu Ravi hal ini (Bahagian 2)

20 FEB — Thangamalar peramah orangnya dan senang diajak berbual.

‘Selepas ini nak ke mana?’

‘Maksud Malar?’

‘I mean, universiti mana yang jadi pilihan?’

‘Universiti Malaya ... Law,’ kau menjelaskan.

‘Abang saya minat Business Admin di UKM.’

‘Memang pun.’

‘Maknanya, akan terpisahlah,’ Thangamalar menduga. ‘Seorang di UM, seorang di UKM.’

‘Tak juga,’ kau segera menafikan. ‘Bukannya jauh. Tak sampai sejam boleh sampai kalau tunggang motosikal.’

“Aku mahu menyampaikan isu hatiku kepada Malar.”“Aku mahu menyampaikan isu hatiku kepada Malar.”Impian kau dan Ravi tercapai jua. Dengan keputusan cemerlang yang dimiliki, mudah sahaja bagi kau dan Ravi mendapat tempat di universiti yang dihajati.

Selama hampir tiga bulan menjadi mahasiswa sekarang ini, kau selalu mengunjungi Ravi di Kamsis Burhanuddin Helmi. Begitu juga, Ravi selalu mengunjungi kau di Kolej Ibnu Sina.

Rakan-rakan di UKM dan UM pada mulanya menyangka kau dan Ravi adik-beradik kandung. Setelah diceritakan hal sebenar, mereka bertambah kagum.

Mereka kagum bagaimana kau dan Ravi boleh menjadi begitu erat bagi tempoh yang sekian lama.

Tetapi kau sebenarnya ternyata sudah berubah sejak bertemu Thangamalar. Atau sekurang-kurangnya begitulah yang aku faham daripada penceritaan kau sejak semalam.

“Benar. Sejak aku berjumpa adiknya, aku merasakan suatu perasaan yang aneh. Aku begitu ingin untuk sering bertemu Thangamalar; untuk bersamanya.”

Sesungguhnyalah pengakuan kau merupakan sesuatu yang memeranjatkan. Malah mengaibkan.

Ya, mengaibkan. Masakan kau sudah lupa siapa Ravi, siapa Thangamalar dan siapa diri kau. Kau bergaul dengan Ravi sebagai adik-beradik. Maka, Thangamalar adalah serupa adik kau.

“Tidak semestinya. Ravi hanya abang angkat. ...”

Mustahil kau lupa budaya kaum India. Atau adakah kau tidak pernah tahu hukum-hakam budaya kaum India dan agama Hindu? Tiada bezanya antara persaudaraan kandung dan persaudaraan angkat.

Dan jika kau menaruh hati terhadap Thangamalar, bukankah itu dosa?

“Tetapi aku tidak pernah memaksa perasaan itu. Aku tertarik pada Malar sejak pertama kali bertemu dengannya. Malah, bukankah tindakan aku sebenarnya akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara aku dan Ravi?”

Bagaimana?

“You see, selama ini aku dan Ravi menjadi saudara angkat sahaja. Tidak ada apa-apa pertalian darah yang sah. Tetapi, kalau Malar menjadi kekasihku dan kemudian isteriku, Ravi akan menjadi abang iparku. Nah! Bukankah hubungan kami akan menjadi lebih intim? Daripada saudara angkat, kami akan menjadi ipar.”

Jawapan yang logik. Tetapi kau perlu juga memikirkan hal-hal lain yang berkaitan.

“Seperti?”

Seperti perasaan Thangamalar sendiri. Apakah kau tahu isi hatinya?

“Belum. Tapi itu tak jadi masalah, kukira.”

Tapi bagaimana dengan perasaan Ravi?

“Ya, itulah sebabnya aku menceritakan seluruh kisahku kepada kau. Kau senior aku di sekolah dulu. Aku tahu kau ada pengalaman dalam kaunseling. Kau PRS yang hebat di sekolah dulu. Jadi, tentu kau boleh membantu.”

Kau pun dulu PRS juga. ...

“Benar. Tapi aku tidak berupaya menyelesaikan masalah ini. Aku tidak tahu bagaimana nak beritahu isi hatiku kepada Ravi.”

Bahawa kau mencintai adiknya?

“Ya. Aku mahu minta tolong padanya untuk menyampaikan isu hatiku kepada Malar.”

Aduh! Sanggup kau lakukan begitu?

“Salah?”

Ravi tu abang kau. ...

“Tapi aku mahu menjadikannya abang ipar.”

Jadi, perhubungan kau dengannya selama ini tidak ikhlas?

“Pada mulanya, ya. Malah aku lebih menganggapnya sebagai rakan sahaja; rakan karib. Terus-terang, aku tidak merasakan apa-apa perbezaan apabila dia meminta aku menjadi adik angkatnya.”

Begitu sekali? Apakah kau pasti? Atau adakah perasaan seperti ini timbul hanya setelah kau menaruh hati terhadap adiknya?

“Entahlah. Itu tidak penting, bukan? Aku hanya mahukan nasihat daripada kau. Bagaimana aku boleh luahkan keinginan aku kepada Ravi?”

Bagaimanakah pula perasaan Ravi nanti? Tentu dia rasa tertipu. Dia telah melayan kau sebagai seorang adik selama ini. Sekarang kau tiba-tiba mahu mencabuli erti persaudaraan itu.

“Hei! Aku fikir kau terlalu mengikut perasaan. Aku tahu bahawa kau sendiri ada saudara angkat. Sebab itu kau menyebelahi Ravi. Sepatutnya kau cuba membantu aku; bukan menghalang.”

Benar kata-kata kau. Aku memang mengikut perasaan. Kerana aku tahu nilai persaudaraan. Kau tahu betapa aku sendiri terkejut apabila kau menceritakan kepadaku kisah ini semalam? Aku cukup tidak percaya.

Terus-terang, aku kasihan pada Ravi. Maaflah jika aku bertindak di luar etika seorang PRS.

Apakah kau sanggup kehilangan seorang abang?Apakah kau sanggup kehilangan seorang abang?“Jadi, kau tidak dapat membantu aku?”

Maafkan aku. Aku cadangkan agar kau berfikir semula semasak-masaknya tindakan kau. Kenang semula nilai persaudaraan kau dengan Ravi.

Aku pernah bertemu Ravi beberapa kali sewaktu dia datang mengunjungi kau di sini. Dapat aku rasakan keikhlasan hatinya dalam bersaudara dengan kau.

Aku tidak mahu kau menderhakai persaudaraan itu. Apakah kau sanggup kehilangan seorang abang semata-mata kerana mengejar seorang wanita?

“Hei. ... Kau pula dibawa perasaan. Aku tidak menderhaka. Sudah aku katakan bahawa kami mungkin boleh menjadi ipar.”

Mungkin sahaja! Apakah kau pasti Thangamalar akan menerima kau sebagai kekasihnya; bakal suaminya?

“Entahlah. Sebab itulah aku perlukan bantuan Ravi untuk merisik isi hati adiknya. Untuk menyampaikan isi hatiku kepada adiknya. Satu sahaja bantuan yang aku perlukan daripada kau: Bagaimana aku mahu menyatakan hajat ini kepada Ravi. Tak perlulah kau bersyarah yang bukan-bukan.”

Tetapi sedarkah kau tentang apa yang sedang kau lakukan?

“Apa dia?”

Kau akan kehilangan seorang abang dalam usaha mendapat tempat di hati seorang gadis.

Kau tidak tahu isi hati Thangamalar. Jika dia berbual mesra dengan kau, itu tak bermakna dia akan menerima huluran cinta kau. Malah, tidak mustahil bahawa dia mesra dengan kau selama ini kerana dia sedar bahawa kau adik angkat kepada abangnya, Ravi.

Jadi, tidak ada jaminan bahawa Thangamalar akan sanggup menjadi kekasih kau. Mungkin dia ada pilihan lain dalam hati.

Malah tidak mustahil bahawa kau sendiri akan mula menaruh hati terhadap gadis lain. Mungkin dalam kalangan mahasiswi di sini. Pada waktu itu, kau akan lupa terus tentang Thangamalar.

Sebaliknya, kalau kau kehilangan Ravi, kau tidak mungkin akan dapat mencari pengganti.

Aku nasihatkan agar kau berfikir semasak-masaknya. Janganlah terburu-buru menceritakan semua ini kepada Ravi apabila dia datang pada hujung minggu nanti.

Percayalah, aku boleh menduga betapa hatinya akan kecewa. ...

“Jadi, kau mahu nasihatkan agar aku pendamkan sahaja perasaan cinta ini?”

Bukan sekadar dipendam tetapi perlu dianalisis secara mendalam. Sanggupkah kau kehilangan seorang abang? Malah, sanggupkah kau mencemar nilai persaudaraan yang disanjung tinggi dalam budaya kaum India?

“Aku tak tahu. ...”

Nah! Itu tandanya kau perlu berfikir. – Tamat

* Kisah “Jangan Beritahu Ravi Hal Ini” dan “Kau Harus Mengerti, Emi”digabungkan sebagai “Dua Fragmen Kasih” dan mendapat hadiah penghargaan dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1996.

* Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.


Comments