Opinion

Komsas: Pendedahan demi pendedahan

5 MAC — Isu royalti teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) yang didedahkan secara terbuka pada 15 Ogos 2011 masih berlarutan dan nampaknya semakin banyak “kelemahan” mula terbongkar sedikit demi sedikit.

Dalam perkembangan terbaru, seorang penulis, Zaihanim Zainal Abidin berjaya mendapatkan salinan suatu dokumen palsu yang kononnya ditandatangani oleh beliau.

Dokumen berkenaan dipercayai dikemukakan oleh penerbit tertentu kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam urusan penerbitan novel “Erti Sebuah Pengorbanan” sebagai teks Komsas.

Zaihanim mengemukakan salinan dokumen berupa memorandum persefahaman itu kepada saya semasa pertemuan kami pada 24 Februari lalu untuk membincangkan isu tersebut.

Sebuah lagi novel yang dijadikan teks Komsas tanpa izin pengarang.Sebuah lagi novel yang dijadikan teks Komsas tanpa izin pengarang.Guru itu mengesahkan bahawa beliau tidak pernah menandatangani sebarang dokumen berhubung teks Komsas seperti didakwa penerbit terbabit yang bukan merupakan penerbit asal novel itu.

Dengan itu, saya mempunyai alasan untuk memikirkan kemungkinan dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh pihak tertentu berkaitan karya Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun dan Mohd Izan Abd Hazes dalam urusan penerbitan teks Komsas juga dipalsukan dengan cara yang sama.

Berikutan penemuan bukti terbaru ini, saya diminta oleh para penulis terbabit untuk mengadakan pertemuan semula dengan Pengarah Bahagian Buku Teks (BBT), Jame @ Maikal Alip untuk membincangkan isu ini bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Semasa mesyuarat khas pada 16 Februari 2012, penasihat undang-undang KPM mengesahkan (dan Pengarah BBT sendiri mengakui) bahawa salinan dokumen yang dikemukakan penerbit berada dalam simpanan BBT, dan Pengarah BBT mempunyai kuasa untuk menunjukkan salinan dokumen berkenaan kepada penulis.

Dengan itu, para penulis terbabit sekali lagi melantik saya untuk mewakili mereka dalam mengadakan pertemuan dengan Pengarah BBT untuk mendapatkan salinan dokumen-dokumen yang kononnya ditandatangani oleh mereka dan diserahkan oleh pihak tertentu kepada KPM dalam urusan penerbitan teks Komsas.

Zaihanim mendakwa tandatangannya dipalsukan pada dokumen ini.Zaihanim mendakwa tandatangannya dipalsukan pada dokumen ini.Saya percaya bahawa BBT dan KPM tidak akan membiarkan kelima-lima penulis terbabit menjadi mangsa penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarah BBT juga tentu sahaja tidak akan memihak kepada mana-mana pihak yang dapat dibuktikan menyerahkan dokumen palsu (dokumen yang dipalsukan) kepada KPM dalam urusan teks Komsas.

Saya dan para penulis terbabit faham bahawa selama ini, BBT dan KPM bersangka baik dan beranggapan bahawa dokumen yang dikemukakan oleh pihak tertentu adalah asli dan ditandatangani para penulis.

Kesemua penulis terbabit mengesahkan bahawa mereka tidak pernah menulis atau menandatangani apa-apa dokumen dan surat izin berkaitan penerbitan karya mereka sebagai teks Komsas.

Malah, kelima-lima penulis berkenaan sedia membuat Akuan Bersumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah untuk membuktikan bahawa mereka tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen berkaitan urusan itu.

Apabila saya mengirim e-mel berhubung perkara itu kepada Pengarah BBT pada petang 27 Februari lalu, saya masih percaya bahawa beliau akan bersedia memberikan kerjasama demi membela nasib para penulis terbabit yang ternyata ditipu, dizalimi dan dianiaya pihak tertentu yang tidak beretika.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa sekiranya BBT terus memihak kepada pihak yang tidak beretika dalam isu ini, orang ramai mempunyai alasan untuk berprasangka terhadap kredibiliti dan integriti BBT dan KPM.

Saya telah berharap dapat bertemu Pengarah BBT untuk berbincang dan menyelesaikan isu yang timbul secara baik dengan kadar segera.

Bagaimanapun, e-mel yang diterima pada 28 Februari menegaskan bahawa mesyuarat khas pada 16 Februari “adalah yang terakhir dikaitkan dengan pihak BBT”.

Untuk makluman, hasil mesyuarat khas itu, Pengarah BBT memutuskan bahawa BBT tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantu para penulis terbabit dalam menuntut hak royalti bagi karya mereka yang digunakan sebagai teks Komsas tanpa izin mereka.

Maka, pada 1 Mac, isu itu terpaksa dibawa semula untuk perhatian  Menteri Pelajaran dengan harapan beliau akan masuk campur dan menggunakan kuasa yang ada bagi menyelesaikan isu tersebut yang masih berlarutan tanpa sebarang penyelesaian positif.

Kelima-lima penulis terbabit mengepos surat dan mengirim e-mel berasingan kepada Menteri Pelajaran berhubung isu ini dan salinannya turut dikirim kepada saya bagi tujuan rekod.

Antara lain, dalam e-mel itu dinyatakan bahawa semasa mesyuarat khas (16 Februari 2012), BBT, Penasihat Undang-undang KPM dan penerbit tidak mahu menunjukkan dokumen-dokumen yang kononnya sudah ditandatangani oleh penulis dan dikemukakan oleh penerbit kepada BBT bagi tujuan penerbitan teks Komsas.

Penulis lebih rela menarik balik karya daripada membiarkan penerbit mengaut untung.Penulis lebih rela menarik balik karya daripada membiarkan penerbit mengaut untung.Kesemua penulis menegaskan berulang kali bahawa mereka tidak pernah menandatangani sebarang dokumen seperti didakwa penerbit.

Dengan itu, mereka mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa pihak tertentu telah mengemukakan dokumen palsu kepada KPM dengan niat menipu kerajaan persekutuan.

Para penulis juga meminta Pengarah BBT menggunakan kuasa yang ada pada beliau untuk memberikan salinan dokumen-dokumen berkaitan yang kononnya ditandatangani oleh mereka.

Untuk makluman, Rohani, Amy Suzani, Hazama dan Mohd Izan sudah membuat laporan polis pada 10 September 2011 berhubung kemungkinan penerbit mengemukakan dokumen palsu kepada KPM dalam urusan penerbitan teks Komsas.

Salinan laporan polis diserahkan kepada Menteri Pelajaran bersama-sama surat rayuan bertarikh 26 September 2011. Susulan daripada itulah mesyuarat khas diadakan pada 16 Februari lalu.

Kelima-lima penulis terbabit menegaskan bahawa sekiranya Menteri Pelajaran, Ketua Pengarah Pelajaran, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Pengarah BBT masih tidak mampu membantu mereka mendapatkan hak royalti teks Komsas, maka mereka terpaksa mengambil langkah terakhir bagi menyelesaikan isu tersebut daripada terus berpanjangan.

Menurut mereka, jika masih tiada sebarang penyelesaian yang memihak kepada mereka dalam tempoh terdekat, maka mereka berlima akan mengemukakan notis atau surat rasmi “tidak mengizinkan” karya mereka digunakan sebagai teks Komsas.

Alasan yang diberikan adalah bahawa tandatangan mereka pada dokumen rasmi dipalsukan penerbit tertentu dan kerana penerbit tidak mahu membayar royalti yang setimpal kepada mereka.

Sekiranya penulis terbabit mengambil langkah drastik berkenaan, apakah KPM sudah bersedia untuk menarik balik penggunaan karya-karya itu daripada dijadikan teks Komsas di sekolah?

Karya-karya yang dimaksudkan adalah novel “Cempaka Putih Untukmu” (Rohani Deraman), cerpen “Warkah Daripada Ibu” (Rohani Deraman), puisi “Seorang Insan Istimewa” (Amy Suzani), cerpen “Budi Semangkuk Daging” (Amy Suzani), novel “Bukan Duniaku” (Hazama), novel “Hikmah” (Mohd Izan) dan novel “Erti Sebuah Pengorbanan” (Zaihanim).

“Langkah drastik ini adalah sebagai memberi pengajaran kepada penerbit terbabit supaya tidak menipu KPM dan tidak menipu golongan penulis dalam urusan penerbitan teks Komsas,” kata para penulis terbabit dalam e-mel mereka kepada Menteri Pelajaran.

Tambahan pula, kata mereka, apa gunanya para penulis terbabit berdiam diri sedangkan mereka tidak mendapat apa-apa bayaran (royalti) manakala penerbit tertentu pula mengaut untung besar apabila karya mereka dijadikan teks Komsas.

Persoalan kini: Apakah KPM akan akur pada permintaan “lima penulis teraniaya” atau tunduk pada kata-kata “beberapa penerbit berkuasa”. Atau menunggu lebih ramai penulis teraniaya tampil membuat lebih banyak pendedahan terbuka.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments