Opinion

Menghadapi kematian (Bahagian 1)

29 OKT — “Mengapa mayat kaum India dibakar dan bukan ditanam? Adakah mayat itu dimandikan dan disembahyangkan?”

Antara perkara yang sering ditanya kepada saya oleh rakan-rakan pelbagai kaum adalah berkaitan upacara menyempurnakan mayat mengikut budaya India; khususnya agama Hindu.

Pertanyaan seperti ini tidaklah bermaksud menghina atau mempersoalkan amalan dan budaya kaum India. Sebaliknya menunjukkan bahawa individu yang bertanya tadi berminat untuk mengetahui, memahami dan menghormati amalan dan budaya kaum India.

Beberapa barangan perlu disediakan bagi menjalankan upacara menyempurnakan jenazah.Beberapa barangan perlu disediakan bagi menjalankan upacara menyempurnakan jenazah.Malah, sering juga timbul masalah dalam kalangan kaum India sendiri untuk memberi penjelasan mengenai upacara menyempurnakan mayat. Maka, saya melakukan sedikit kerja mengumpul bahan dan maklumat umum berkaitan upacara menyempurnakan mayat dalam kalangan masyarakat India beragama Hindu.

Perlu dijelaskan bahawa penerangan yang saya berikan adalah secara umum. Mungkin sahaja ada kelompok tertentu yang mempunyai amalan yang berbeza sedikit berbanding kelompok lain. Namun, asasnya adalah hampir sama. Tambahan pula, tujuan saya adalah untuk memberikan penjelasan umum; bukan penerangan terperinci mewakili kelompok tertentu.

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga yang mahu terlibat sama dalam upacara menyempurnakan mayat adalah bertenang. Demikian nasihat pertama yang diberikan oleh salah seorang warga emas yang saya temui untuk mendapatkan panduan dan pandangan apabila saya mahu menulis sebuah makalah bagi majalah Sarina (Oktober dan November 2004).

Peringatan ini amat penting kerana sering kali timbul pelbagai masalah, pergeseran dan pergaduhan kecil apabila ada kematian dalam masyarakat India. Masing-masing perlu bertenang dan berfikir secara rasional tentang kerja-kerja yang perlu dilakukan bagi memastikan upacara berjalan lancar.

Jenazah biasanya akan diletak di ruang tamu. Sebaik sahaja individu berkenaan menghembus nafas terakhir, sesudu air akan disuap ke mulut. Penggunaan perkataan “mayat” (ponem) akan dielakkan kerana dirasakan kurang manis dan seperti tidak menghormati si mati. Sebaliknya, istilah “predham” (jenazah) akan digunakan. (Walaupun pasti akan ada puak yang mempertikaikan penggunaan istilah “jenazah” bagi orang “Tidak Islam”.)

Jenazah diletakkan di atas tikar dengan posisi kepala mengarah ke selatan. Namun, kini, ramai yang hanya berpegang pada konsep kaki mengarah ke pintu masuk; seperti budaya Cina.

Anak lelaki si mati atau salah seorang warga emas dalam keluarga berkenaan akan mengulang mantera “Narayana”, “Govinda” atau “Nama Shivaya” sebanyak tiga kali ke cuping telinga si mati.

Mata dan mulut si mati perlu dipastikan tertutup. Ibu jari kaki akan dirapatkan dan diikat menggunakan tali. Manakala kedua-dua tangan akan ditemukan pada paras dada dalam posisi seperti mengucapkan “vanakam” mengikut budaya India. Sekali lagi, ibu jari diikat bagi memastikan kedudukan itu kekal.

Sekiranya si mati adalah lelaki atau pun seorang balu, maka sehelai kain putih akan digunakan untuk menutup jenazah dari hujung kaki hingga ke leher. Bagi wanita yang belum berkahwin atau wanita yang suaminya masih hidup, kain warna jingga, kuning atau merah harus digunakan.

Pucuk dan daun tulasi akan diletak berhampiran telinga kanan jenazah. Lampu minyak bersumbu tunggal dipasang dan diletakkan berhampiran kepala jenazah. Ada juga yang turut meletakkan foto dewa atau dewi kegemaran si mati di sebelah lampu itu. Setanggi berbau harum turut dipasang dan diletakkan di sana.

Kaum keluarga yang berada di sisi biasanya akan menyanyikan Sivapuranam iaitu teks suci karya Manikavasagar yang menceritakan bagaimana manusia lahir di bumi dan akhirnya bersatu dengan Pencipta.

Rangkap 12 hingga 30 dari Bab 2 kitab Bhagavid Gita juga boleh dibaca jika mahu. Apa pun bentuk nyanyian atau mantera yang dibaca, syarat utama adalah bahawa semua orang harus mampu mengawal emosi dan tidak meratapi pemergian si mati.

Mengikut kepercayaan budaya India, apabila seseorang meninggal dunia, roh berkenaan belum sepenuhnya meninggalkan jasad. Maka, roh itu masih berada di sekitar jenazah.

Dengan itu, lagu-lagu suci yang dinyanyikan itu masih boleh didengar oleh roh si mati. Apabila mendengar lagu-lagu suci ini, kononnya, dosa si mati akan berkurangan. Lagu-lagu yang memuja Tuhan juga membantu roh si mati mencari jalan mudah untuk kembali kepada Pencipta.

Sementara itu, di luar rumah pula, kayu, arang dan kapur barus dibakar dalam sebuah belanga tanah liat bermulut besar. Api dalam belanga ini perlu dipastikan tidak padam sehingga jenazah dibawa ke tempat pembakaran mayat.

Bagi memastikan upacara menyempurnakan jenazah berjalan lancar, beberapa bahan perlu dipastikan tersedia dan mudah diperoleh. Antaranya adalah sebiji belanga kecil dan sebiji lagi bersaiz besar sedikit. Turut diperlukan satu kilogram beras, kain putih/kuning/jingga merah sepanjang 2.5 meter, kapur barus, setanggi, mancis, lampu minyak, sirih dan pinang.

Bunga, daun tulasi, kayu kering, arang, serbuk kunyit, kunkumam, tirunur, serbuk cendana, susu serta duit syiling juga diperlukan. Seperti disebutkan sejak awal, bahan-bahan ini adalah bahan am dan mungkin ada tokok-tambah mengikut keturunan dan kelompok masyarakat.

Bagi menyempurnakan upacara memandikan jenazah, air biasanya dibawa dari rumah jiran. Sementara itu, kaum-kerabat akan menyapu minyak dan serbuk sintok (siakai) pada dahi si mati. Kemudian barulah dimandikan oleh beberapa orang yang berpengalaman serta rapat dengan si mati.

Jenazah sepatutnya dimandikan dua atau tiga jam sebelum dijadual dibawa ke krematorium di mana jenazah akan dibakar nanti. Proses memandikan jenazah harus dilakukan secara senyap dan tenang. Tempat jenazah dimandikan biasanya akan ditutup dengan kain putih di sekelilingnya.

Kumpulan yang menguruskan jenazah untuk dimandikan perlu berhati-hati agar jenazah tetap berada dalam keadaan sempurna. Setiap individu yang memandikan jenazah juga perlu terlebih dahulu menuang air atas tubuh mereka dan kekal basah sepanjang memandikan jenazah.

Selepas jenazah dimandikan, maka akan dipakaikan pakaian baru atau pakaian kegemaran mendiang semasa hayatnya. Kemudian, jenazah ditempatkan di dalam keranda dan diletak di ruang tamu untuk dilihat oleh kaum keluarga dan sahabat handai. — Bersambung

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments