Opinion

Menghadapi Kematian – Bahagian 3

Uthaya Sankar SB

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

11 NOV – Apabila sampai semula di bahagian kepala jenazah, satu lagi lubang ditebuk iaitu di atas sedikit daripada lubang pertama tadi. Proses mengelilingi jenazah diteruskan bagi kali kedua. Pada kali ketiga, lubang ketiga ditebuk di bahagian atas lubang kedua tadi.

Setelah anak lelaki yang membawa belanga berisi air itu sudah mengelilingi jenazah sebanyak tiga kali, dia akan diarah melepaskan belanga berkenaan supaya ia jatuh di bahagian belakang dari bahunya dan pecah.

Perbuatan ini ada makna simbolik berdasarkan kepercayaan dalam budaya India. Salah satu kepercayaan adalah bahawa setelah seseorang meninggal dunia, rohnya akan melalui tiga tempat dalam perjalanan menuju kepada Pencipta. Ketiga-tiga tempat itu digelar Nagaram, Rouravam dan Maharouravam.

Ketiga-tiga tempat persinggahan ini tidak mempunyai bekalan air. Maka, apabila belanga berisi air dibawa mengelilingi jenazah dan dipecahkan sebelum jenazah dibakar, dipercayai bahawa roh si mati akan mendapat bekalan air yang secukupnya apabila berada di Nagaram, Rouravam dan Maharouravam.

Sementara itu, petugas di krematorium biasanya sudah menyusun dahan dan kayu kering di atas pelantar pembakaran serta memasukkan kapur barus dan bahan bakar lain ke dalam keranda.

Jenazah penganut agama Hindu dibakar sebagai simbol mengembalikan jasad itu kepada lima unsur alam.Jenazah penganut agama Hindu dibakar sebagai simbol mengembalikan jasad itu kepada lima unsur alam.Anak lelaki yang membawa belanga berisi air tadi akan diberi sebatang kayu berupa unggun. Dia akan diminta mencucuh api pada keranda bagi memulakan proses membakar jenazah si mati. Kemudian, anak lelaki berkenaan akan diarahkan pergi tanpa menoleh. Perbuatan ini adalah simbolik bahawa “pemergian” si mati menemui Pencipta tidak akan ditangisi oleh anak-anaknya.

Petugas di krematorium akan memastikan jenazah dibakar dengan sempurna. Pada masa kini, penggunaan peralatan moden untuk membakar jenazah menjadikan proses menyempurnakan mayat di krematorium lebih mudah. Tidak timbul juga soal jenazah tidak terbakar sepenuhnya apabila keluarga si mati datang untuk mengambil abu mayat pada keesokan hari.

Sehari selepas jenazah dibakar, keluarga mendiang akan pergi ke krematorium untuk mengambil abu dan tulang untuk upacara seterusnya. Anak lelaki yang melakukan upacara membakar jenazah pada hari sebelumnya wajib hadir. Istilah yang digunakan bagi individu tersebut ialah karmi. Beberapa individu yang telah turut serta ke krematorium pada hari sebelumnya juga akan pergi sama.

Antara barangan yang perlu dibawa adalah dua periuk belanga, beg plastik besar, satu kilogram beras, dua atau tiga daun pisang yang penuh (tidak dikerat-kerat), sirih, pinang, sesikat pisang, bunga rampai, setanggi, kapur barus, mancis, dua botol susu lembu, lampu minyak (berserta sumbu dan minyak kelapa), sehelai kain lebar berwarna merah atau putih, dan daun agathee yang sudah dimasak. Bahan-bahan ini mungkin ada tambahan atau pengurangan mengikut keperluan dan amalan keluarga.

Apabila tiba di krematorium, penjaga tempat berkenaan biasanya sudah membersihkan sisa bahan bakar bagi memudahkan abu dan tulang jenazah dikumpul. Semua yang hadir perlu mandi dan berpakaian basah sepanjang proses berikut. Perlu dinyatakan bahawa hanya kaum lelaki akan ke krematorium untuk menyempurnakan upacara ini.

Upacara pertama yang perlu dilakukan oleh karmi adalah berdiri di bahagian kepala jenazah (yang kini tinggal tulang dan abu) dan merenjis air ke atas abu jenazah sebanyak tiga kali. Seterusnya, susu direnjis sebanyak tiga kali.

Kemudian, barulah tulang boleh diambil dari tempat pembakaran. Mula-mula, tulang bahagian kepala (tengkorak), leher, dada (rusuk), pinggul dan kaki perlu diambil secara teliti dan dimasukkan ke dalam salah sebuah periuk belanga yang dibawa. Selepas itu, abu jenazah dikumpul dan dimasukkan ke dalam periuk yang sebuah lagi.

Karmi dan para pengiring akan beredar ke tepi pantai atau ke tebing sungai untuk upacara seterusnya. Tempat yang rata dan kering perlu dicari. Aspek keselamatan dan kebersihan perlu sentiasa diberi perhatian. Segala upacara ini juga perlu dilaksanakan dengan tenang tanpa sebarang perselisihan.

Daun pisang perlu diletak di atas tanah dengan kedudukan bahagian hujung daun menghala ke arah selatan. Beras ditabur di atas daun pisang; biasanya dalam bentuk bujur mengikut bentuk daun pisang.

Tulang-tulang yang disimpan di dalam periuk belanga akan dikeluarkan dengan teliti dan disusun semula di atas beras yang ditabur tadi. Tengkorak diletak dulu, diikuti bahagian-bahagian lain sehinggalah ke bahagian kaki. Kepala (tengkorak) harus menghala ke selatan. Periuk belanga berisi abu jenazah pula diletakkan di sisi tulang tetapi masih di atas daun pisang yang ditabur beras tadi.

Lampu minyak, setanggi dan kapur barus dipasang. Sirih, pinang dan bunga rampai diletakkan berhampiran tengkorak. Kain merah atau putih piasanya dililit pada leher periuk belanga berisi abu. Kain putih bagi balu dan lelaki; manakala kain merah bagi wanita yang masih bersuami atau wanita yang belum berkahwin.

Bagi upacara seterusnya, kaum India beraga Hindu akan cuba mendapatkan sedikit air dari Sungai Ganges dan dicampur dengan air biasa. Sekiranya air Sungai Ganges tidak diperoleh, air biasa sudah memadai. Air berkenaan direnjis ke atas tulang dan abu yang diletak di atas daun pisang. Kemudian direnjis pula dengan susu. Semua ini dilakukan oleh karmi dengan tunjuk ajar daripada warga emas yang berpengalaman.

Sambil merenjis air dan susu, karmi akan mengulang nama Dewa Shiva, Narayana, Govinda atau mana-mana dewa yang biasa disebut oleh mendiang semasa hayat. Semua tulang perlu dipastikan basah terkena air dan susu yang direnjis.

Karmi juga akan merenjis air pada bunga rampai, sirih, pinang serta nasi yang diletak sebagai simbol “mempersembahkan” barangan itu kepada roh mendiang sebelum roh pergi meninggalkan dunia ini.

Arathi iaitu upacara membakar kapur barus dilakukan di mana talam berisi kapur barus yang menyala perlu dipusing melawan arah pusingan jam.

Dalam budaya dan kepercayaan masyarakat India-Hindu, pusingan arathi mengikut arah pusingan jam adalah bagi perkara-perkara baik manakala pusingan melawan arah jam adalah bagi perkara-perkara tidak baik dan menyedihkan.

Tulang dan abu jenazah dimasukkan ke dalam sebuah periuk belanga. Susu dan air dituang ke dalam periuk belanga supaya keseluruhan tulang dan abu ditenggelami sepenuhnya. – Bersambung

* Uthaya Sankar SB adalah penerima Anugerah Duta Keamanan 2008

** The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments