Opinion

Pohon pisang dalam suka dan duka

12 MAC — Pohon pisang mendapat tempat istimewa dalam kehidupan seharian masyarakat India. Pohon berkenaan berguna semasa upacara yang menggembirakan (perkahwinan, misalnya) mahupun semasa upacara yang menyedihkan (kematian, misalnya).

Apabila pasangan mendirikan rumah tangga, generasi tua kaum India selalunya akan merestui mereka supaya hidup beranak-pinak seperti pohon pisang. Perbandingan seumpama ini digunakan kerana pohon pisang memang subur dan mampu “melahirkan zuriat” secara produktif dan berterusan.

Pada majlis perkahwinan kaum India beraga Hindu, lazimnya sepasang pohon pisang subur ditempatkan di pintu masuk ke tempat upacara dan amalan ini adalah suatu kemestian. Pohon pisang yang dipilih pula mestilah yang sedang berbuah dan masih ada jantung pisang.

Jantung, buah, daun dan batang pohon pisang ada cerita tersendiri.Jantung, buah, daun dan batang pohon pisang ada cerita tersendiri.Sebaik sahaja melihat sepasang pohon pisang diletakkan menegak (sebenarnya diikat ke tiang atau kayu), maka orang ramai akan sedia maklum bahawa suatu majlis atau upacara yang menggembirakan sedang berlangsung.

Pohon pisang itu akan dipasang beberapa hari sebelum majlis perkahwinan dan biasanya dibiarkan menghiasi tempat berkenaan selama beberapa hari.

Sekiranya pohon pisang tersebut tumbang (akibat angin kencang atau kerana tidak diikat dengan baik, misalnya) maka generasi tua beranggapan kejadian itu membawa alamat buruk.

Walaupun generasi muda kaum India dikatakan semakin berfikiran “moden” serta tidak mahu terpengaruh dengan amalan dan budaya tradisional, kepercayaan dan pantang-larang berkaitan pohon pisang terus menjadi ikutan.

Apabila makanan hendak dihidang menggunakan daun pisang, air perlu direnjis dahulu pada daun berkenaan. Kemudian barulah makanan diletak padanya. Secara mudah, perbuatan merenjis air ini adalah bertujuan membersihkan daun pisang yang berperanan sebagai pinggan untuk makan.

Selesai makan, individu yang makan tadi perlu tahu pantang-larang berhubung cara daun pisang itu harus dilipat. Sekiranya daun pisang dilipat dari atas ke bawah (dilipat ke arah diri), maknanya individu berkenaan berasa puas dengan hidangan yang dinikmatinya. Dia juga menghantar isyarat kepada tuan rumah bahawa dia ingin supaya dijemput lagi untuk menikmati hidangan.

Sekiranya daun pisang dilipat dengan cara bahagian bawah (bahagian yang dekat dengan individu yang sedang makan) dilipat ke atas, isyarat yang dihantar adalah bahawa kita berpendapat makanan yang dihidangkan tidak enak dan kita tidak berkeinginan untuk berkunjung semula untuk dihidangkan makanan seperti itu.

Sebenarnya, perbuatan melipat daun pisang dengan cara yang baru dihuraikan tadi bukan kerana kita benar-benar tidak menyukai makanan yang dihidangkan. Sebaliknya, ada makna tersembunyi dalam budaya kaum India. Budaya ini wajar diketahui oleh semua; khususnya dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara bertuah ini.

Daun pisang dilipat dari atas ke bawah apabila menikmati hidangan pada majlis dan upacara yang menggembirakan. Misalnya perayaan di kuil dan majlis perkahwinan. Dengan cara melipat daun pisang dari atas ke bawah, kita menghantar isyarat “mahu lagi” serta melahirkan hasrat hati untuk menghadiri majlis seperti itu pada masa hadapan.

Daun pisang masih digunakan sebagai “pinggan” untuk makan, termasuk di restoran mewah.Daun pisang masih digunakan sebagai “pinggan” untuk makan, termasuk di restoran mewah.Apabila dihidangkan makanan pada majlis yang mendukacitakan (kematian, misalnya), maka daun pisang dilipat dari bawah ke atas sebagai tanda bahawa kita turut bersedih atas kematian itu serta berharap peristiwa sedih seperti itu tidak akan berulang dalam keluarga terbabit.

Pohon pisang turut digunakan apabila ada kematian dalam keluarga kaum India; khususnya yang beragama Hindu. Pada majlis perkahwinan dan upacara perayaan, pohon pisang dipasang (diikat) di pintu masuk sebagai menyambut tetamu undangan.

Sebaliknya, apabila ada kematian, pohon pisang tidak akan dipasang dengan cara itu. Pohon pisang harus diikat pada empat penjuru kenderaan yang membawa keranda dari rumah ke kubur.

Saya ada menulis makalah ringkas berhubung perkara ini dan disiarkan di majalah Dewan Budaya pada Mac 2004. Malah, bagi membantu generasi muda lebih memahami topik ini, saya menulis cerpen “Pengantinnya Pohon Pisang” (Dewan Budaya, Mei 2007).

Pohon pisang turut mempunyai peranan utama dalam membuang sial bagi pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Kaum India pada dasarnya terus berpegang teguh pada tilik dan rasi; khususnya dalam soal perkahwinan yang dianggap “tuaian seribu tahun”.

Katakanlah, mengikut tilikan, seorang pemuda didapati akan beristeri dua. Perlu diingat bahawa dalam konsep perkahwinan kaum India-Hindu, monogami menjadi pegangan. Secara tradisi, isteri kedua hanya diambil jika isteri pertama meninggal dunia.

Memanglah amalan monogami yang dinyatakan di atas boleh dipertikaikan pada masa kini. Apatah lagi dengan adanya konsep bercerai yang sah di sisi undang-undang. Namun begitu, rata-rata generasi muda kaum India masih percaya pada tilik dan rasi dalam soal perkahwinan.

Apabila seorang pemuda dirasikan akan beristeri dua, maka suatu upacara perkahwinan khas akan diatur. Si pemuda akan berpakaian lengkap seperti pengantin. Bezanya, tempat pengantin wanita akan diganti dengan pohon pisang!

Pengantin lelaki akan mengikat taali ke “leher” pohon pisang tadi yang diibaratkan sebagai pengantin wanita. Maka sempurnalah majlis perkahwinan pertama bagi pemuda berkenaan.

Sejurus selepas itu, sami yang menyempurnakan upacara perkahwinan itu tadi akan mencantas pohon pisang berkenaan menggunakan parang. Maka “mati”lah isteri pertama pemuda berkenaan.

Selepas itu, akan diadakan upacara perkahwinan antara pemuda tadi (yang sudah menjadi “duda”) dengan pengantin wanita yang sebenar. Wanita ini dianggap sebagai isteri kedua bagi pemuda berkenaan.

Cerpen yang ditulis khas untuk menceritakan mengenai pohon pisang dalam budaya kaum India.Cerpen yang ditulis khas untuk menceritakan mengenai pohon pisang dalam budaya kaum India.Memandangkan tilikan dan rasi menyebut bahawa pemuda terbabit akan ada dua isteri, “isteri baru” itu tidak perlu risau kerana “isteri pertama” (pohon pisang) sudah “mati”. Maka, mengikut kepercayaan kaum India, tidak akan timbul soal pemuda itu menduakan isterinya.

Sejak dahulu, daun pisang merupakan “pinggan” dalam budaya kaum India. Makanan panas yang dihidangkan di atas daun pisang akan mengeluarkan aroma semula jadi yang sedap dihidu. Masyarakat Melayu turut berkongsi amalan ini dalam kehidupan seharian.

Dari sudut yang lain, penggunaan daun pisang juga menjamin kebersihan “pinggan” yang digunakan untuk makan. Daun pisang mudah diperoleh, mudah digunakan dan mudah juga dibuang.

Secara tradisi, amalan penggunaan daun pisang sebagai “pinggan” juga berkait rapat dengan sistem masyarakat di Benua Kecil India pada masa lalu.

Wujud sistem kasta serta pembahagian anggota masyarakat mengikut status; seperti yang dihuraikan secara panjang-lebar oleh “pakar” tertentu semasa kontroversi novel Interlok Edisi Murid pada 2011.

Pada masa lalu, di India, orang yang berada pada status tinggi dikatakan tidak sanggup berkongsi perkakas dan peralatan dengan golongan lebih rendah. Jalan keluar terbaik adalah dengan cara menggunakan daun pisang sebagai “pinggan”. Konsepnya lebih kurang seperti pinggan pakai-buang yang sudah menjadi budaya kita pada masa kini.

Penggunaan daun pisang sebagai “pinggan” masih menjadi amalan. Malah, banyak juga restoran yang meletakkan daun pisang di atas pinggan sebelum menghidangkan nasi. Restoran makanan daun pisang juga terus menjadi pilihan masyarakat pelbagai kaum di negara kita.

Apa yang pasti, pohon pisang mempunyai makna dan signifikan dalam kehidupan kaum India di serata dunia. Makna-makna ini turut dikongsi bersama oleh masyarakat pelbagai kaum melalui proses asimilasi.

Selepas membaca pelbagai trivia yang dipaparkan di atas, semoga cara anda “melihat” dan “menghargai” pohon pisang akan berubah.

* Uthaya Sankar SB akan mengambil bahagian dalam acara “Saya Sebatang Pensel” sempena ‘Story Fest 2012’ di PJ Live Arts, Jaya One pada 15-18 Mac 2012.

* Segala pandangan yang diberikan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Comments