Opinion

Tentang Bahasa Malaysia

Uthaya Sankar SB

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

16 JAN — Judul sajak “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” karya Retna Devi Balan turut menjadi moto bagi Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada Ogos 1999.

Di negara bertuah ini, topik berkaitan istilah “Bahasa Malaysia” adalah amat sensitif dan tidak mustahil si pengguna istilah itu akan dilabel sebagai “cuba menggugat ketenteraman rakyat di negara ini”.

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa apabila Menteri Pelajaran, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempopularkan semula penggunaan istilah “bahasa Melayu” di sekolah pada awal 1990-an, ramai yang mula mengandaikan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” sudah dimansuhkan, dihapuskan dan tidak wujud di mayapada.

Kemuncak daripada “kejahilan” itu adalah apabila pegawai tertentu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghalang saya daripada menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” pada 1999.

Keputusan penggunaan semula ‘Bahasa Malaysia’ dilaporkan akhbar pelbagai bahasa.Keputusan penggunaan semula ‘Bahasa Malaysia’ dilaporkan akhbar pelbagai bahasa.Perkara itu saya dedahkan secara terperinci menerusi tulisan bertajuk “My Right to Use Bahasa Malaysia” di akhbar New Straits Times pada 3 November 1999.

Pada 20 Oktober 1999, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Najib Razak membuat kenyataan rasmi bahawa istilah “Bahasa Malaysia” lebih sesuai digunakan dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

Hampir tujuh setengah tahun kemudian, iaitu pada April 2007, Jemaah Menteri membuat keputusan sebulat suara berhubung penggunaan semula istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada bahasa kebangsaan.

Akhbar-akhbar utama Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin pada 4 Jun 2007 melaporkan bahawa keputusan itu dibuat dengan tujuan murni mewujudkan semangat bahawa bahasa kebangsaan adalah milik semua tanpa mengira kaum.

Keputusan bijak itu juga bertujuan mengelakkan polemik daripada pihak tertentu yang beranggapan bahasa Melayu adalah milik kaum tertentu.

Bahasa Malaysia mampu memupuk perpaduan dan semangat kekitaan.Bahasa Malaysia mampu memupuk perpaduan dan semangat kekitaan.Demikian diakui Timbalan Perdana Menteri, Najib dan turut dilaporkan di akhbar Utusan Malaysia, Malaysia Nanban dan Sin Chew Jit Poh pada 5 Jun 2007.

Semua kementerian dan institusi pengajian tinggi juga diarah memaklumkan kepada jabatan serta agensi masing-masing supaya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” dalam surat-menyurat, notis dan dokumen, berkuat kuasa serta-merta.

Pada 6 Jun 2007, akhbar Berita Harian menyiarkan surat daripada seorang pembaca, Hasbullah Mat Daud dari Segambut, Kuala Lumpur.

“Keputusan Kabinet menggunakan semula istilah Bahasa Malaysia bagi merujuk pada bahasa kebangsaan adalah pendekatan yang baik dan sesuai.

“Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj memperkenalkan istilah Bahasa Malaysia sebagai langkah untuk menyemai identiti Malaysia. Pandangan Tunku cukup relevan sehingga ke hari ini,” katanya.

UPSR, PMR dan SPM sepatutnya sudah turut menggunakan istilah yang diarahkan.UPSR, PMR dan SPM sepatutnya sudah turut menggunakan istilah yang diarahkan.Akhbar berkenaan turut menyiarkan kenyataan Kavyan menyokong penuh keputusan yang diambil kerajaan dalam usaha mewujudkan perasaan “kekitaan” dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, budaya, adat, agama dan bahasa ibunda.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon mengesahkan bahawa pekeliling sudah dihantar pada 18 Mei 2007 ke semua jabatan pelajaran negeri dan semua bahagian di Kementerian Pelajaran supaya istilah “Bahasa Malaysia” digunakan bagi mata pelajaran berkenaan di sekolah.

Akhbar The Star (7 Jun 2007) melaporkan bahawa sejak 1992, subjek itu dikenali sebagai “Bahasa Melayu” dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada 15 Jun 2007, akhbar Berita Harian dan The Star melaporkan kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengesahkan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” akan digunakan dalam PMR dan SPM mulai tahun berkenaan.

Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran menerusi DBP akan menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” bagi semua buku teks subjek berkenaan.

“Penggunaan istilah Bahasa Malaysia menunjukkan ia bahasa ilmu dan bahasa perpaduan yang terus mempertahankan identiti kita sebagai negara berbilang kaum,” kata Hishammuddin.

Demikian senario yang berlaku sekitar empat setengah tahun dahulu. Orang ramai selaku The Third Force boleh menilai sendiri sama ada segala janji dan keputusan Kabinet pada 2007 (sebelum Pilihan Raya Umum 2008) dilaksanakan seperti sepatutnya.

Ahli Parlimen ditegur kerana kurang menguasai Bahasa Malaysia.Ahli Parlimen ditegur kerana kurang menguasai Bahasa Malaysia.Kavyan masih menerima aduan dan rungutan daripada ibu bapa, guru dan pelajar pada setiap kali UPSR, PMR dan SPM berlangsung. Nampaknya penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” masih diabaikan dan dipandang sipi oleh pihak berwajib.

Hal ini tidak bermakna orang ramai menolak penggunaan istilah “bahasa Melayu”. Sebaliknya masyarakat pelbagai kaum yang berasa bangga dengan keputusan penggunaan “Bahasa Malaysia” berhak dan mempunyai alasan kukuh untuk berasa kecewa apabila istilah itu tidak diletakkan pada kedudukan tinggi yang sepatutnya.

Sempena 100 hari Najib menjadi Perdana Menteri, pada 10 Julai 2009, saya menulis artikel bertajuk “Jangan lupakan bahasa kita, Bahasa Malaysia” di The Malaysian Insider.

Saya nyatakan bahawa ada sesuatu yang “hilang”, “tertinggal” atau “terlupa” diberi perhatian oleh beliau sejak bergelar Perdana Menteri.

“Mungkin Datuk Seri tidak sedar bahawa sebenarnya sehingga hari ini masih ada diskriminasi terhadap penggunaan dan pengguna istilah ‘Bahasa Malaysia’ — suatu istilah yang diperkenalkan melalui Dasar Pelajaran Kebangsaan pada tahun 1970 bersama-sama Rukun Negara dan Rukun Tetangga berikutan peristiwa hitam 13 Mei 1969.

“Mungkin tidak sampai kepada pengetahuan Datuk Seri bahawa golongan yang menggunakan istilah ‘Bahasa Malaysia’ diberi pelbagai label negative yang sengaja dicipta oleh kelompok yang tidak bertanggungjawab,” saya tegaskan dalam artikel itu.

Tidak mustahil ada pihak yang menganggap isu berhubung hak penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” sebagai perkara remeh-temeh yang tidak perlu diberi perhatian; apatah lagi oleh seorang Perdana Menteri yang tentu sahaja ada pelbagai perkara penting untuk difikirkan.

Bagaimanapun, bagi saya sebagai seorang rakyat biasa, perkara yang mungkin dianggap remeh itu tetap membawa makna dan kesan besar. Khususnya kerana lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.

Apa yang menyedihkan adalah bahawa Najib yang pernah lantang bersuara menyokong penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” kemudian mula senyap dan menyepi selepas memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.

Dalam kesibukan beliau mempelopori gagasan 1 Malaysia di seluruh pelosok negara, mungkin beliau terlupa bahawa Bahasa Malaysia juga suatu aspek yang amat penting dalam pembinaan Bangsa Malaysia yang diimpikan.

Kita sering “seronok” mengata dan mengatakan kaum itu dan kaum ini kurang menggunakan bahasa kebangsaan. Pada masa sama, kita jugalah yang tidak mahu menerima hakikat kewujudan istilah “Bahasa Malaysia” yang menjadi milik bersama.

Gambaran seolah-olah kaum ‘Bukan Melayu’ tidak mencintai Bahasa Malaysia.Gambaran seolah-olah kaum ‘Bukan Melayu’ tidak mencintai Bahasa Malaysia.Apa yang menimbulkan keresahan adalah apabila “kaum Cina atau India” sentiasa dipersalahkan dalam soal penguasaan Bahasa Malaysia; seperti turut dinyatakan seorang individu menerusi surat yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 7 Ogos 2007.

Pada 14 Ogos 2007, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pula melahirkan rasa kesal terhadap segelintir Ahli Parlimen yang masih gagal menguasai Bahasa Malaysia dengan baik.

Katanya, rakyat mempunyai kuasa untuk “menghukum” pihak terbabit kerana “kalau sudah berada di Parlimen selama dua penggal tetapi masih tidak mampu menguasai Bahasa Malaysia, ia ibarat sia-sia.”

Saya percaya, kuasa “menghukum” yang sama juga wajar digunakan terhadap mana-mana pihak yang enggan mengiktiraf penggunaan istilah “Bahasa Malaysia”.

Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Abdul Shukor Abdullah berpendapat, “Malaysia gagal menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penyatuan dalam sistem persekolahan kebangsaan” (Utusan Malaysia, 28 Ogos 2007).

Kebetulan, hampir lima tahun selepas Kabinet membuat keputusan, kita masih menanti dan ternanti-nanti “Bahasa Malaysia” digunakan di kelas dan semasa UPSR, PMR dan SPM.

Lalu, siapa yang perlu “dihukum” oleh The Third Force dalam isu ini?

Atau kita ambil saja jalan keluar paling mudah dengan mengatakan “tidak pernah mendengar ada pertubuhan dari kaum Cina atau India yang menjalankan gerakan untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan” (Utusan Malaysia, 7 Ogos 2007).

Dalam perkembangan terbaru, Anwar dilaporkan “memberi jaminan akan menghapuskan diskriminasi kaum sekiranya dilantik menjadi Perdana Penteri selain mengesahkan Pakatan Rakyat akan mengangkat hak semua kaum” (The Malaysian Insider, 7 Januari 2012).

Soalan pertama saya: apakah Pakatan Rakyat akan mengiktiraf “Bahasa Malaysia” atau kembali kepada “bahasa Melayu” seperti pendirian Anwar pada 1990-an?

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments