Opinion

Tentang kuchipudi

19 MAC — Menjelang sambutan Ugadi (Samvatsradi) iaitu tahun baru bagi masyarakat keturunan Telugu pada 23 Mac, saya ingin memperkatakan mengenai kuchipudi, seni tari tradisional masyarakat itu yang menarik perhatian saya sejak dahulu.

Salah satu ciri khusus tarian kuchipudi adalah aksi “tarangam” di mana si penari melakukan gerak-geri tarian sambil berdiri di atas talam tembaga. Pada masa yang sama, sebiji belanga penuh berisi air dijunjung atas kepala.

Tarian kuchipudi yang amat unik ini merupakan identiti bagi kaum India berketurunan Telugu yang berasal dari negeri Andra Pradesh, India sejak kurun ke-3 Sebelum Masehi.

Pada peringkat awal, tarian berkenaan dinamakan kuchelapuri dan kuchelapuram sebelum dijadikan kuchipudi sempena nama kampung di mana tarian tersebut dipelopori. Kampung berkenaan terletak di delta Sungai Krishna.

Pada mulanya, kuchipudi — sebagaimana kebanyakan tarian klasik India — dikaitkan dengan upacara keagamaan. Tarian ini hanya dipersembahkan pada musim perayaan tahunan di kuil-kuil di seluruh Andra Pradesh.

Aksi ‘tarangam’ sambil berdiri di atas talam tembaga.Aksi ‘tarangam’ sambil berdiri di atas talam tembaga.Namun, ada juga catatan yang menunjukkan bahawa kuchipudi pernah dipersembahkan di istana pada tahun 1505-1509 semasa pemerintahan Raja Vira Narsimha Raya dari Kerajaan Vijayanagar.

Satu lagi perkara yang amat wajar dinyatakan adalah bahawa walaupun kini kuchipudi ditarikan oleh golongan wanita, pada asalnya, penari terdiri daripada golongan lelaki sahaja.

Penari berkenaan pula berasal dari keluarga Brahmin yang dikenali dalam kalangan masyarakat Telugu sebagai golongan bhagavathalu.

Golongan berkenaan dipercayai membentuk kumpulan penari kuchipudi yang dilatih sejak usia muda. Orang luar tidak dibenarkan menyertainya. Kumpulan ini akan bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk membuat persembahan.

Tarian kuchipudi merupakan dramatari yang dipersembahkan secara berkumpulan. Keadaan ini pasti sahaja berbeza dengan keadaan sekarang — di Malaysia mahu pun di India sendiri — di mana persembahan dilakukan secara individu atau berpasangan.

Secara tradisi, setiap penari akan memegang satu watak. Watak-watak wanita juga dipegang oleh penari lelaki yang dilatih khas. Persembahan dilakukan sepenuhnya menggunakan Bahasa Telugu.

Dari segi persembahan pula, kuchipudi dipersembahkan di tempat terbuka. Pentas yang amat ringkas sahaja dibina di tengah kawasan lapang. Saya pernah menulis di majalah Dewan Budaya (Mac 2005) untuk memperkenalkan kuchipudi kepada khalayak pelbagai kaum di Malaysia.

Persembahan kuchipudi dikendalikan oleh pengurus pentas yang digelar “sutradhar” (sudradara/pengarah) dalam Bahasa Telugu. Sutradhar ini boleh dikenal pasti melalui sebatang tongkat bengkok (“kuttilaka”) yang dipegangnya.

Persembahan biasanya dimulakan dengan sutradhar yang diiringi para pemuzik naik ke pentas dan mempersembahkan muzik menggunakan gendang dan kesi.

Seterusnya, satu demi satu watak utama akan naik ke pentas untuk menjayakan sesi “daru” iaitu persembahan tarian dan muzik yang dicipta khusus bagi watak berkenaan. Para penonton akan dapat mengenali watak berkenaan sebelum persembahan dramatari bermula.

Para penari juga biasanya menggunakan peluang “daru” untuk menonjolkan kepakaran mereka dengan melakukan aksi dan mempertontonkan teknik tarian yang mereka kuasai.

Seperti yang telah dinyatakan sejak awal, salah satu ciri signifikan bagi dramatari kuchipudi adalah aksi “tarangam” iaitu menari di atas talam tembaga. Talam khas digunakan bagi tujuan ini; bukan talam yang digunakan untuk menghidangkan makanan!

Kedua-dua kaki penari perlu diletakkan di atas talam tembaga ini. Kemudian, tanpa mengangkat kaki, penari akan membuat gerakan pada kaki yang masih berpijak pada talam berkenaan. Penari akan memanipulasi pergerakan talam untuk bergerak di pentas.

Bagaikan teknik yang amat rumit itu tidak memadai, penari juga akan menjunjung sebiji belanga di atas kepala yang disanggulkan. Belanga itu pula diisi air sehingga penuh.

Sepanjang tarian di atas talam tembaga berlangsung, seorang penari kuchipudi yang berpengalaman boleh memastikan setitik air pun tidak menitis keluar dari belanga berkenaan.

Penari kuchipudi tidak mengenakan solekan, barangan perhiasan dan pakaian yang berlebih-lebihan. Namun, setiap watak mempunyai solekan, barangan perhiasan dan pakaian yang berlainan dan mudah dibezakan.

Bagi penari yang memegang watak wanita, mereka memakai “rakudi” (perhiasan kepala), “chandra vanki” (perhiasan lengan), “kasina sara” (perhiasan leher) serta rambut palsu yang dihias dengan bunga dan barang kemas.

Bahasa yang digunakan dalam dialog dan nyanyian adalah Bahasa Telugu dan Sanskrit. Persembahan dijayakan oleh penari melalui tarian, pergerakan anggota tubuh, dialog serta nyanyian.

Kuchipudi menonjolkan teknik-teknik tarian yang dikuasai si penari.Kuchipudi menonjolkan teknik-teknik tarian yang dikuasai si penari.Maka, seorang penari kuchipudi perlu mampu menari, berlakon, bermain alat muzik, menguasai beberapa bahasa serta telah menghafaz beberapa teks bagi dramatari.

Muzik karnatik digunakan dalam persembahan kuchipudi. Peralatan muzik pula terdiri daripada mridangam (gendang), violin, harmonium, klarinet dan kesi. Beberapa alat muzik lain juga biasa digunakan untuk menjadikan persembahan lebih menarik.

Kisah-kisah yang dipersembahkan dalam dramatari kuchipudi biasanya diambil daripada “purana” atau mitos berkaitan dewa Vishnu serta inkarnasi dewa berkenaan.

Antara judul persembahan yang biasa adalah “Prahlad Charitram”, “Usha Parinayam”, “Rukmini Kalyanam”, “Sashireka Parinayam”, “Mohini Rukmangada”, “Harichandra Nataka”, “Rama Nataka” dan “Gayopakhyanam”.

Kuchipudi pada asalnya dianggap sebagai tarian suci yang dipersembahkan untuk tontonan dewa-dewi. Itulah juga antara sebab mengapa penari wanita tidak dibenarkan mengambil bahagian.

Keadaan ini ada kaitan dengan kewujudan golongan “devadasi” (hamba dewa) di Tamil Nadu dan Orrisa; iaitu kelompok penari wanita yang mengabdikan diri untuk membuat persembahan tarian klasik di kuil-kuil.

Namun, golongan berkenaan dikatakan turut menjadi wanita simpanan bagi lelaki kaya; sekali gus mencemar kesucian seni persembahan klasik.

Maka, penari kuchipudi di Andra Pradesh disyaratkan supaya hanya terdiri daripada golongan lelaki. Syarat ini sama seperti tarian kathakali di Kerala di mana watak wanita turut dipegang oleh penari lelaki.

Tentu sekali keadaan sudah amat berbeza sekarang. Dahulu, dramatari kuchipudi mempersembahkan sebuah drama dalam bentuk tarian. Kerjasama dalam bentuk kumpulan amat diperlukan untuk menjayakan persembahan. Penari dan pemuzik terdiri daripada golongan lelaki sahaja.

Bagaimanapun, mengikut peredaran zaman, kuchipudi bertukar menjadi persembahan individu atau berpasangan. Persembahan bukan lagi berbentuk sebuah drama tetapi lebih berupa tarian bagi menonjolkan teknik-teknik tarian yang dikuasai si penari.

Daripada persembahan berciri keagamaan di tanah lapang di hadapan kuil, kini kuchipudi hanya menjadi persembahan di pentas untuk tontonan khalayak dan pelancong. Penari wanita pula lebih banyak mendapat peluang berbanding penari lelaki.

Namun, tarian kuchipudi wajar dijaga dengan baik sebagai warisan budaya yang amat berharga. Usaha masyarakat keturunan Telugu di Malaysia untuk terus menghidupkan persembahan kuchipudi perlu disokong oleh semua pihak terbabit.

Jangan sampai generasi muda pelbagai kaum di negara bertuah ini hilang peluang menghayati satu lagi seni persembahan yang unik dan menyimpan seribu lapan cerita mengenai budaya dan adat tradisional masyarakat keturunan Telugu.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments