Opinion

Tentang Thaipusam

Uthaya Sankar SB

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

6 FEB — Sempena sambutan Thaipusam esok, baru-baru ini, saya diundang ke studio TV Selangor untuk berkongsi maklumat asas berkenaan sambutan keagamaan itu bersama khalayak pelbagai kaum dan agama.

Saya menganggap itu sebagai peluang baik untuk memberi penjelasan dan penerangan asas mengenai beberapa persoalan yang sentiasa bermain dalam fikiran berhubung perayaan itu.

Secara umum, kita tahu mengenai upacara sambutan besar-besaran di Kuil Sri Subramania Swamy, Batu Caves. Bagaimanapun, sambutan meriah juga diadakan pada setiap tahun di kuil-kuil yang dikhaskan bagi dewa Murugan di Pulau Pinang, Ipoh, Taiping dan Sungai Petani.

Malah, sebenarnya, Thaipusam disambut di semua kuil dewa berkenaan pada tarikh yang ditentukan mengikut kalendar Hindu.

Patung setinggi 42.7 meter yang dirasmikan pada Januari 2006 dan menjadi tarikan pelancong.Patung setinggi 42.7 meter yang dirasmikan pada Januari 2006 dan menjadi tarikan pelancong.Ramai yang menganggap sambutan Thaipusam sebagai menandakan tarikh kelahiran Murugan yang juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Subramaniam, Velan, Kanthan dan Saravanan.

Sebenarnya, ada kisah dalam purana mengenai asal-usul sambutan Thaipusam. Menurut cerita, golongan asura yang diketuai Surapadman mula memerangi golongan dewa di kayangan.

Maka, para dewa meminta bantuan daripada Shiva. Perlu dinyatakan bahawa terdapat enam mazhab dalam agama Hindu yang menyembah Tuhan dalam bentuk Shiva, Shakti, Ganapathi, Murugan, Surya Narayanan dan Mahavishnu.

Bagaimanapun, berlaku interaksi antara keenam-enam mazhab ini. Malah, sambutan Thaipusam yang khusus bagi penganut mazhab yang menyembah Murugan juga boleh disambut penganut mazhab-mazhab lain tanpa sebarang halangan.

Berbalik pada kisah purana tadi, Shiva menggunakan kuasa yang ada untuk “mencipta” (baca: melahirkan) Murugan. Kemudian, Shakti yang merupakan pasangan kepada Shiva menghadiahkan “vel” iaitu senjata khas yang bakal digunakan untuk menghapuskan Surapadman. Maka, tarikh penyerahan kuasa dalam bentuk vel itulah yang disambut sebagai Thaipusam. Itulah juga sebabnya laungan “Vel! Vel!” paling utama semasa sambutan Thaipusam.

Kuil Sri Subramania Swamy di Batu Caves diasaskan pada tahun 1891 oleh seorang pedagang dan dermawan bernama K. Thamboosamy Pillai (1850-1902) yang juga merupakan pengasas Kuil Sri Mahamariamman, Kuala Lumpur.

Beliau dilaporkan mendapat inspirasi membina kuil bagi dewa Murugan di atas bukit di Batu Caves selepas melihat arca menyerupai “vel” apabila memandang bukit batu kapur itu.

Sambutan Thaipusam dimulakan di kuil berkenaan pada 1892 dan diteruskan sehingga kini. Tangga kayu dibina pada tahun 1920 untuk memudahkan penganut naik ke kuil di atas bukit untuk bersembahyang.

Kini, tangga batu yang terdiri daripada 272 anak tangga memudahkan orang ramai turun-naik. Malah, kuil itu juga kini menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara sepanjang tahun; khususnya dengan adanya patung Murugan setinggi 42.7 meter (tertinggi di dunia) serta muzium seni/budaya di kaki bukit.

Foto lama menggambarkan suasana Thaipusam di Batu Caves pada tahun 1956.Foto lama menggambarkan suasana Thaipusam di Batu Caves pada tahun 1956.Sewaktu saya berkongsi topik berkaitan Thaipusam bersama rakan-rakan di Facebook pada 1 Februari 2012, ada beberapa orang yang bertanya mengenai amalan berpuasa dan membawa kavadi.

Sebenarnya, apabila seorang penganut agama Hindu bernazar, dia akan berpuasa selama 48 hari. Konsep “puasa” dalam agama Hindu berbeza dengan apa yang kita ketahui dalam agama Islam.

Misalnya, ada individu yang berpuasa dengan erti kata hanya minum susu pada awal pagi dan senja. Ada juga yang mengamalkan pemakanan sayur-sayuran. Bagi individu yang sudah berkahwin, mereka perlu mengawal diri daripada hubungan kelamin.

Bentuk pembayaran nazar juga berbeza mengikut niat dan kemampuan masing-masing. Misalnya, seorang pelajar yang bernazar untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan mungkin memecahkan sebiji kelapa atau membotakkan kepala atau membawa kavadi.

Konsep asas kavadi adalah sebagai alat yang digunakan untuk membawa sebiji belanga kecil bersisi susu. Susu inilah yang akan dibawa ke kuil Murugan untuk kemudian digunakan bagi membasuh (memandikan) berhala dewa berkenaan.

Ada penganut yang membawa bunga, kapur barus, buah-buahan dan setanggi untuk “dipersembahkan” kepada Murugan sebagai tanda berterima kasih.

Agama Hindu amat kompleks dan kaya dengan simbolisme serta makna tersirat yang boleh ditafsir mengikut tahap kemampuan masing-masing penganut.

Mustahil untuk saya menjelaskan keseluruhan konsep sambutan Thaipusam secara lengkap dan terperinci di sini. Sebaliknya, saya hanya berusaha memberikan maklumat asas serta cuba membuka pintu ke arah perbincangan lanjut secara sihat demi kebaikan bersama.

Agama Hindu diakui agama tertua dan amat kompleks. Itulah sebabnya ada individu yang memilih untuk membawa kavadi yang besar atau mencucuk vel pada lidah/pipi semasa Thaipusam. Perkara ini dilakukan atas pilihan sendiri mengikut pemahaman dan niat di hati.

Setiap kali sambutan Thaipusam, akan ada perarakan rata (chariot) dari kuil Mariamman ke kuil Murugan. Apa yang berlaku adalah simbolik pada peristiwa Sakthi (Parvathi, Mariamman) menyerahkan vel kepada puteranya, Murugan, untuk menghapuskan Surapadman.

Apabila kita pergi ke mana-mana rumah ibadat, pasti ada etika dan peraturan yang perlu dihormati. Begitulah juga apabila menyertai sambutan Thaipusam.

Malangnya, apabila upacara menjadi acara besar-besaran umpama sebuah pesta, agak sukar untuk mengawal keadaan. Kita sedia maklum mengenai pelbagai kejadian tidak diingini yang berlaku di pelbagai tempat semasa sambutan Thaipusam.

Namun, perlu diingat bahawa segala kejadian tidak diingini itu adalah masalah sosial yang tidak ada kaitan dengan upacara agama. Sekadar contoh mudah, jika insiden kehilangan kasut selalu dilaporkan di masjid, kes itu tiada kaitan dengan rumah ibadat dan agama Islam; sebaliknya adalah masalah sosial.

Berbalik pada sambutan Thaipusam di Batu Caves, perarakan rata biasanya bermula di Kuil Sri Mahamariamman, Jalan Tun H.S. Lee dan bergerak sejauh 15 kilometer menuju ke Kuil Sri Subramania Swamy.

Sejak dahulu, penduduk, pemastautin, pelajar dan pekerja di Kuala Lumpur sering merungut setiap kali menjelang Thaipusam. Hal ini adalah kerana mereka terpaksa berdepan dengan kesesakan jalan raya atau kerana tidak dapat sama-sama menikmati cuti.

Saya masih ingat sambutan Pesta Ponggal di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 19 Januari 2008; menjelang Pilihan Raya Umum Ke-12. Saya diminta menyediakan tiga rangkap pantun khas untuk “dijual” kepada Perdana Menteri waktu itu.

Valluvar Kottam dan Gua Ramayana di kaki bukit wajar dikunjungi untuk memahami budaya India dan agama Hindu.Valluvar Kottam dan Gua Ramayana di kaki bukit wajar dikunjungi untuk memahami budaya India dan agama Hindu.Sepatutnya pantun berkenaan disampaikan orang lain pada majlis yang dihadiri Tun Abdullah Ahmad Badawi. Namun, pada saat akhir, saya diminta menyampaikannya. Salah satu rangkap berbunyi begini:

“Minum pagi kopi pekat,

Bersarapan dengan sebuku roti;

Sambutan Thaipusam semakin dekat,

Warga menanti pengumuman cuti.”

Dipendekkan cerita, pada petang keesokkannya, Perdana Menteri mengumumkan cuti Thaipusam bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya; tentunya dengan memberi kredit penuh kepada salah satu parti politik dalam komponen Barisan Nasional.

Semasa menjadi tetamu di TV Selangor pada 1 Februari lalu untuk membicarakan topik Thaipusam bersama-sama Zubli Zainordin, saya ada menyebut betapa penting dan perlu dokumentasi dilakukan berkaitan sejarah dan sambutan keagamaan itu.

Saya berpandangan demikian kerana Thaipusam nampaknya semakin hilang ciri-ciri asal dan sudah semakin menjadi semacam pesta atau sekadar tarikan pelancong dengan menampilkan karnival, konsert, tarian dan seumpamanya.

Lebih parah apabila Thaipusam secara terang-terangan turut menjadi “modal” dan “medan” untuk politikus “jual minyak” dan “beli undi”.

Sekiranya tiada inisiatif diambil untuk “membetulkan” keadaan, tidak mustahil bahawa generasi pelbagai kaum dan agama pada masa akan datang hanya mengenali Thaipusam di Malaysia sebagai pesta pelancongan (Cuti-cuti Malaysia) dan tempat politikus berkempen menjelang pilihan raya.

Ya, tentu sahaja andaian ini kedengaran keterlaluan atau amat drastik. Akan tetapi, segala-galanya adalah mungkin di negara bertuah ini.

Selamat menyambut Thaipusam. Vel! Vel! Vetri vel!

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments