Opinion

Dasar afirmatif, Perkasa dan perang pemikiran

Wan Saiful wan Jan

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan juga editor AkademiMerdeka.org, sebuah platform yang mempromosikan idea-idea libertarian.

15 MAC — Kami di IDEAS kini sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis pelancaran buku sulung Presiden kami, YAM Tunku Zain Al-Abidin ibni Tuanku Muhriz, bertajuk “Abiding Times”. Majlis akan diadakan pada hari Khamis ini, 17 Mac, pada jam 4 petang di Carcosa Seri Negara. Mereka yang berminat untuk hadir boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.ideas.org.my atau menghantar email ke events@ideas.org.my.

Dalam kesibukan itu, saya teringat kembali persidangan Mont Pelerin Society yang saya hadiri di New Delhi pada pertengahan Februari lalu. Di sana, saya bertemu dengan Dr John Lee, anak kelahiran Ipoh yang telah berhijrah ke Australia. Kini beliau merupakan Penyelidik Dasar Antarabangsa di Centre for Independent Studies Australia (CIS). CIS ialah sebuah organisasi yang turut berkongsi prinsip kebebasan dan masyarakat liberal dengan IDEAS.

Lee memaklumkan saya mengenai kajian terbaru beliau bertajuk “Malaysian Dilemma: The Enduring Cancer of Affirmative Action” yang telah diterbitkan pada 23 Februari 2011. Hanya dengan melihat tajuknya pun kita boleh meneka bahawa kajian ini agak kritikal terhadap dasar tindakan afirmatif. Lee berhujah bahawa walaupun Malaysia pernah dianggap berjaya dalam melaksanakan tindakan afirmatif, namun, dasar ini telah melahirkan kesan-kesan yang tidak diingini terutama dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa.

Lee berpendapat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyedari ada keperluan untuk menyemak semula dasar tindakan afirmatif yang memberi beberapa keistimewaan terhadap orang Melayu. Bagi Lee, Najib merupakan pemimpin negara yang pertama mengaitkan masalah struktur ekonomi dengan dasar tindakan afirmatif.

Bagi saya kepimpinan Najib telah membawa kesegaran dalam perdebatan politik negara. Di kalangan mereka yang biasanya mengkritik kerajaan — termasuklah saya — ramai yang memuji usaha beliau meliberalisasikan beberapa juzuk ekonomi negara serta konsep 1 Malaysia.

Saya merupakan antara mereka yang mengharapkan agar usaha Najib ini berjaya. Semangat ekonomi pasaran bebas yang ditonjolkan oleh Model Ekonomi baru (NEM) dan Program Transformasi Kerajaan (ETP) perlu dipuji. Ia meletakkan negara di atas landasan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Akan tetapi, terdapat perbezaan diantara impian tokoh politik dengan realiti perlaksanaannya. Saya meragui komitmen sesetengah anggota kabinet dan lain-lain ahli politik terhadap sistem ekonomi pasaran bebas dan keperluan untuk menyemak semula dasar tindakan afirmatif.

Pada waktu yang sama, saya berkongsi kebimbangan yang dinyatakan oleh Lee bahawa inisiatif yang telah diperkenalkan setakat ini masih lagi belum merupakan langkah konkrit yang membawa ke arah terhapusnya dasar tindakan afirmatif. Masih banyak halangan yang wujud.

Salah satu halangan utama ialah kejayaan kumpulan pendesak seperti Perkasa. Pertubuhan yang memperjuangkan agenda Melayu ini sebenarnya mempunyai pengaruh yang jelas ke atas polisi negara.

Perlu disebut bahawa Perkasa bukan satu-satunya pertubuhan yang memperjuangkan kepentingan kaum. Banyak pertubuhan lain yang matlamatnya ialah kepentingan kaum yang telah wujud sebelum Perkasa, seperti Dong Jiao Zong, Hindraf, pelbagai Dewan Perniagaan Cina, India dan Melayu, serta NGO-NGO lain yang berteraskan bangsa atau agama. Maka sebenarnya tidak adil jika kita memerahi Perkasa tetapi tidak menyentuh langsung NGO berteraskan kaum yang lain kerana semua itu adalah penghalang kepada terhapusnya dasar yang berteraskan perkauman. Tetapi dalam konteks artikel ini, saya hanya menggunakan Perkasa sebagai contoh sahaja.

Pengaruh Perkasa dalam iklim politik negara sangat jelas sehingga mampu memberikan tekanan kepada para pembuat dasar di peringkat tertinggi. Sebagai contoh, pada 28 Disember 2010, dilaporkan bahawa Perkasa telah menuntut penubuhan satu badan seperti Pemandu tetapi khusus untuk Bumiputera. Dalam tempoh 6 minggu sahaja, iaitu pada 8 Februari 2011, kerajaan telah melancarkan Teraju dengan peranan yang hampir menyerupai tuntutan Perkasa. Jika kita mahu melihat betapa kerajaan boleh menjadi pantas dan efisyen, inilah contohnya!

Pelancaran Teraju dibuat pada hari yang sama dengan hari jadi yang Almarhum Tunku Abdul Rahman yang ke-108. Almarhum Tunku pernah berkata bahawa “Umno bermula dengan slogan ‘Hidup Melayu’ dan kemudian ‘Merdeka’. Mungkin kini slogan Umno seharusnya ‘Hidup Malaysia’.” Sekiranya Almarhum Bapa Malaysia masih hidup untuk menyaksikan betapa berpengaruhnya kumpulan Melayu seperti Perkasa terhadap Umno, apa agaknya yang akan Tunku kata?

Bagaimanapun, saya tidak terkejut melihat kejayaan Perkasa. Ini kerana Perkasa telah berjaya melakukan dua perkara penting. Pertama mereka berjaya menbentuk satu naratif yang jelas dan mudah difahami mengenai matlamat perjuangan mereka. Kedua, dengan naratif perjuangan yang begitu jelas, mereka telah berjaya mempengaruhi pola pemikiran masyarakat umum. Untuk mendapatkan perhatian daripada pemimpin politik, sudah tentu cara paling berkesan ialah dengan terlebih dahulu mempengaruhi para pengundi mereka.

Walaupun saya tidak bersetuju dengan mesej Perkasa, saya mengakui keberkesanan strateginya. Tidak banyak organisasi yang boleh membuatkan kerajaan melaksanakan cadangan mereka dalam tempoh enam minggu sahaja. Begitu hebatnya cengkaman Perkasa!

Kejayaan pertubuhan berasaskan kaum seperti Perkasa dalam mempengaruhi pemikiran rakyat inilah yang akan menyebabkan dasar-dasar usang seperti tindakan afirmatif akan terus kekal walaupun terdapat bukti yang mengatakan bahawa sudah tiba masanya untuk negara berubah. Golongan pemikir harus berusaha keras untuk memujuk rakyat bahawa kita memerlukan anjakan paradigma ke arah lain yang lebih progresif.

Dalam kertasnya juga, Lee mengatakan bahawa terdapat tanda-tanda menunjukkan Perdana Menteri telah mula melangkah ke belakang, dan tidak dapat melaksanakan sepenuhnya cadangan-cadangan berani yang ada dalam Model Baru Ekonomi terutamanya yang berkaitan dengan dasar-dasar pro-Melayu. Ini tidak boleh dibiarkan. Rugilah kita sekiranya Perdana Menteri terpaksa berundur daripada visi asal untuk mentransformasi negara.  

Dalam menganalisa perjalanan proses transformasi negara, jangan pula kita terlalu pantas menuding jari menyalahkan kepada Perdana Menteri, kerajaan, Umno atau parti-parti politik lain apabila mereka mengambil langkah ke belakang. Dalam amalan demokrasi, ahli politik tidak mempunyai pilihan melainkan melaksanakan apa yang mereka fikir diminta oleh rakyat. Jika rakyat terus mahukan dasar afirmatif atau sistem politik berteraskan kaum, maka semua itu akan tetap berterusan.

Sebaliknya golongan pemikir harus bekerja keras untuk meyakinkan rakyat bahawa sudah tiba masanya untuk maju ke hadapan dan mengubah hala tuju negara. Rakyat perlu diyakinkan bahawa itulah langkah terbaik untuk mereka. Sekiranya kita mahu negara berubah, maka usaha pendidikan rakyat perlu dipergiatkan. Perubahan hanya akan berlaku sekiranya kita memenangi pertembungan idea dan permikiran terlebih dahulu.

* Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments