Opinion

Drama pendidikan nasional

2 JAN ― Syed Husein Alatas di dalam makalahnya “The meaning of progress in contemporary education” menyatakan: “The questions, which need to be highlighted, are “What has education done tu us?”, “Are we happy with what we achieved?”, “Is it going in the right direction?”, “How has education helped us to improved ourselves?” and “How has it made us understand things better?” (UKM, 1999)

11 Disember yang lalu, laporan terperinci Trends in International Math and Science Study (TIMSS); sebuah badan mengukur pola pencapaian Matematik dan Sains untuk murid 10 dan 14 tahun untuk edisi laporan 2011 menyatakan kedudukan Malaysia untuk subjek Matematik jatuh dari tangga ke-20 pada 2007 ke tangga ke-26 pada 2011 manakala untuk subjek Sains dari tangga ke-21 pada 2007 ke tangga ke-32 untuk 2011.

Markah purata pencapaian dalam subjek Matematik di negara ini jatuh dari 474 pada 2007 ke 404 untuk tahun 2011 manakala markah purata pencapaian Sains pula jatuh lebih teruk  dari 471 pada 2007 ke 426 pada 2011 (semua laporan boleh dimuat turun melalui timssandpirls.bc.edu).

Laporan TIMMS 2011 ini juga mendedahkan “trend” kejatuhan kedudukan Malaysia untuk subjek Matematik iaitu 16 (1999), 10 (2003), 20 (2007), dan 26 (2011) sementara subjek Sains pula ialah 22 (1999), 20 (2003), 21 (2007), dan 32 (2011).

Begitu juga dengan “trend” kejatuhan markah purata bagi subjek Matematik iaitu 519 (1999), 508 (2003), 474(2007) ke 440 (2011); jatuh 79 mata sementara subjek Sains iaitu 492 (1999), 501 (2003), 471 (2007) ke 426 (2011); jatuh 66 mata dengan panilaian markah di bawah 500 dikira sebagai “under performance”.

Menurut penganalisis politik Dr Ong Kian Ming di dalam blognya pada 14 Disember 2012 sebagai respon kepada laporan TIMSS 2011; Malaysia satu-satunya negara yang mengalami penuruan ketara di dalam semua markah terutama domain kognitif untuk Matematik dan Sains di samping Jordan dari 2007 ke 2011. Anehnya, laporan ini hadir 3 bulan selepas pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) pada 11 September 2013 yang dijalankan secara meriah, popular dan penuh publisiti.

Drama pendidikan nasional

Untuk pemerhati dan penganalisis pendidikan nasional, pengumuman PPPM 2013-2025 adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Pelancaran besar-besaran pada 11 September 2012 di Dewan Plenari, Kuala Lumpur Convention Centre itu dilihat akan menjenamakan semula Pelan Induk Pendidikan Nasional (PIPP) 2006-2010 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Nasional 2001-2010 yang dilihat tidak memberi kesan ketara terhadap sistem pendidikan nasional secara keseluruhan dalam masa 10 tahun kebelakangan ini.

Walaubagaimanapun, satu-satunya kejayaan PIPP 2006-2010 ialah peningkatan ketara pencapaian PMR dan SPM untuk 10 tahun kebelakangan ini. Berbeza dengan laporan TIMSS 2011, Ong Kian Ming dan Tony Pua di dalam laporan The Malaysian Insider bertarikh 14 Disember 2012 menyatakan Gred Purata Nasional (GPN) untuk peperiksaan PMR meningkat ketara untuk 5 tahun yang lalu iaitu 2.83 pada 2008, 2.78 pada 2009, 2.74 pada 2010 dan terbaru 2.71 pada 2011.

Lebih spesifik menurut mereka, bilangan pelajar yang mendapat A di dalam Matematik meningkat dari 26.7 peratus pada 2010 kepada 28.9 peratus pada 2011 manakala untuk subjek Sains pula meningkat dari 18.5 peratus dari 2010 kepada 21.7 peratus pada 2011. Untuk peperiksaan SPM pula, pencapaian 2011 dikatakan pencapaian terbaik dalam masa 5 tahun dengan peningkatan GPN meningkat dari 5.19 pada 2010 kepada 5.04 pada 2011.

Kehadiran penuh, implementasi dan pembelajaran eksplorasi

Di sebalik kemeriahan dunia pendidikan nasional pada tahun 2012, saya sempat menemubual beberapa Duta Teach For The Needs (TFTN) dan guru muda di seluruh negara melalui Facebook tentang pandangan mereka mengenai sesi persekolahan 2013, harapan terhadap anak murid dan wawasan diri mereka menjelang tahun mendatang.

Abdul Azim Hussain, 24, Duta TFTN dari SK Labang Sebauh, Bintulu menyatakan sesi 2013 akan menjadi lebih mencabar kerana murid-murid pedalaman kebanyakannya masih sukar untuk hadir ke sekolah dengan kehadiran penuh.

Selain itu beliau juga berharap agar anak muridnya akan lebih terbuka mindanya dengan mengikuti tusyen TFTN kerana mereka perlu mengikuti peredaran masa supaya mereka tidak tertinggal jauh serta tidak berada dalam tempurung dunia mereka sndiri.

Wawasan beliau untuk 2013 pula agar terus menjadi seorang Duta TFTN dan guru yang sentiasa memberi ilham dan inspirasi kepada anak murid serta menjadi seorang yang mampu memandu mereka seiring dengan perkembangan dunia yg semakin maju.

Mohd Zubir Amirudin, 24, Duta TFTN dari Sk Long Semadoh, Sarawak pula memberi pandangan sesi 2013 adalah tugas yang agak mencabar memandangkan KSSR dilaksanakan untuk tahap satu manakala KBSR masih perlu dilaksanakan untuk tahap dua.

Beliau yang akan mengajar kelas UPSR (Tahun 6) menyatakan bebanan semakin terasa apabila kerja perkeranian juga terpaksa dilakukan terhadap subjek Matematik Tahun 2 (KSSR) kendaliannya.

Beliau berharap pada 2013 agar dapat memanfaatkan masa sebaiknya dengan target peratusan kelulusan 100 peratus dan target pencapaian A sebanyak 25 peratus, selain akan meneruskan kelas TFTN seperti biasa untuk membantu memberi input tambahan kepada murid selepas sesi persekolahan tamat.

Sukarelawan TFTN dan pelajar tahun akhir IPGM Kampus Ipoh lulusan TESL dari Warwick University, Faiez Ali, 24 tahun pula menyatakan rasa teruja untuk melihat implementasi Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Beliau yang akan memulakan sesi 2013 sebagai guru praktikal teruja untuk belajar gerak kerja di sekolah di samping berharap untuk menjadi “role model” kepada anak muridnya. Beliau mengingatkan keperluan untuk menimbulkan kesedaran tentang erti dan tujuan hidup dalam diri murid.

Guru muda di SJKC Balakong, Chew Kai Qing, 26 tahun pula menegaskan sesi 2013 penuh dengan cabaran kerana anak-anak muda sekarang mudah dipengaruhi oleh media massa dan rakan sebaya.

Selain itu, silibus pengajaran yang masih mengutamakan keputusan murid-murid akan menyebabkan murid hanya tahu menghafal sahaja. Beliau berharap muridnya dapat belajar secara konstruktif dimana pembelajaran berlaku secara “eksplorasi” dan berlaku secara automatik.

Adalah penting menurutnya proses pembelajaran secara sukarela dalam kelas dan berharap murid-murid dapat belajar untuk berdikari dengan mengutamakan iklim kelas yang harmoni.

Guru bahasa inggeris dari india dan wawasan pendidikan anak-anak Iban

Fathen Suriati , 25, bertugas di SMK Binjai, Chukai, Terengganu adalah salah seorang guru yang terkejut mendengar berita tentang pengambilan guru bahasa Inggeris dari India seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 November 2012 yang lalu.

Lulusan TESOL dari New Zealand itu menyifatkan sesi 2013 sebagai sesi yang mencabar kerana di samping mengajar pelajar yang bakal menduduki PMR dan SPM, beliau juga adalah pelajar pasca-siswazah di Universiti Malaya. Mengharapkan pelajarnya lebih serius pada tahun ini, beliau ingin melihat dirinya pada tahun ini mengajar dan bukannya menjadi kerani serta ingin menjadi inspirasi kepada anak muridnya.

Sementara Hasmiyuhairi, 24, Duta TFTN yang mengajar di SK Bukit Mawang, Bintulu melihat sesi 2013 sebagai mengujakan memandangkan situasi pembelajaran dan pengajaran akan lebih mencabar akibat perbezaan bahasa dan budaya.

Oleh yang demikian beliau berharap pada tahun 2013 ini jurang dari segi budaya dan bahasa serta keserasian diantara dirinya dan anak-anak di Sk Bukit Mawang akan semakin mengecil bagi memudahkan penerapan ilmu secara langsung di dalam kelas mahupun di luar kelas. Bercakap tentang wawasan dirinya untuk tahun ini, beliau menjawab;

“Wawasan untuk 2013 tidaklah terlampau tinggi ke langit, tidaklah seluas lautan benua. Sekadar ingin melahirkan insan yang memenuhi aspek perkembangan yang termaktub dalam falsafah pendidikan kebangsaan dikalangan anak-anak masyarakat Iban di sekolah. Selain itu, saya juga berharap diri ini akan menjadi guru yang lebih berpengalaman, berkemahiran dan berkualiti daripada tahun sebelumnya, Insya’Allah,”

Melihat kepada wawasan guru-guru muda di atas, saya tidak fikir masa depan pendidikan nasional akan bergantung sepenuhnya kepada pelan-pelan yang akan bertukar nama setiap kali bertukarnya menteri pelajaran. Usaha pertama untuk memperbaiki sistem pendidikan negara harus bermula dengan memartabatkan guru pada tempatnya yang betul.

Pelarasan gaji mengikut struktur profesional setaraf doktor dan peguam, pengiktirafan sosial yang sewajarnya, wujudkan jawatan pembantu guru, menyediakan sistem sokongan kepada guru muda dari segi latihan dan aspek kepimpinan serta membuka ruang untuk mereka menggubal kurikulum sendiri dan mengajar mengikut keperluan murid.

Saya percaya di luar sana, ribuan guru muda bersemangat dan teruja untuk memulakan sesi 2013. Dengan bantuan “good leadership” yang mendorong inovasi, kebebasan dan suasana produktif untuk mereka bekerja dengan gembira, masa depan negara terletak di tangan-tangan ini yang akan memacu sistem pendidikan nasional untuk 30 tahun ke hadapan.

Namun menurut Alatas, kemajuan dalam pendidikan bermakna mempunya sistem pendidikan dengan tujuan yang jelas dan ideal. Ini termasuk i)penguasaan kemahiran; ii) mempunyai ilmu yang perlu; iii) memastikan perkembangan personaliti dan iv) memastikan perkembangan sifat solidariti sosial. Tujuan ini menurut Alatas lagi harus dibina dengan asas falsafah yang perlu diteliti dengan betul; kerana masalah besar akan timbul jika sistem pendidikan dibina secara “haphazard fashion”.

Hartini Abdullah (2007) ketika mengulas makalah “The meaning of progress in contemporary education” menyifatkan Alatas menjelaskan pendidikan akan merasai kesan “tidak berkembang” jika kita meningkatkan maklumat tanpa meningkatkan pemahaman. Secara ringkasnya Alatas menekankan keupayaan dan kemahuan kita untuk menilai perkembangan sistem pendidikan adalah refleksi kepada perkembangan falsafah pendidikan secara keseluruhan.

Melengkapkan drama pendidikan nasional 2012 ialah Malaysia menjadi satu-satunya negara yang mengalami penurunan markah terbesar untuk Matematik dan Sains di antara 1999 hingga 2011 di dalam laporan TIMSS 2011.

Markah purata Matematik jatuh 79 mata berbanding Thailand (turun 40 mata) manakala untuk subjek Sains markah purata jatuh 66 mata berbanding  Macedonia (turun 51 mata). Tidak dilupakan kedudukan Malaysia di dalam laporan United Nation Education Index 2010 ialah 98 daripada 181 negara serta kedudukan Malaysia di dalam PISA 2009 ialah 55 daripada 74 negara.

Syed Husein Alatas ialah tokoh paling sesuai memahami citra budaya dan konteks pendidikan negara Malaysia yang berbilang kaum ini. Kemahuan kita untuk mengakui kebenaran bahawa pendidikan nasional tidak menunjukkan perkembangan terutamanya 10 tahun kebelakangan; selain tidak berada di landasan yang betul adalah sikap besar hati yang perlu kita utamakan kini.

Apa kata tahun 2013 dimulakan dengan menyokong dan membantu guru muda seperti Cikgu Azim, Cikgu Zubir, Cikgu Faiez, Cikgu Fathen, Cikgu Kai Qing dan Cikgu Hairi dengan menyediakan suasana kondusif untuk mereka menjalankan tugas dengan gembira?

Sebagai penutup, di hujung makalah tersebut Alatas menulis; “If a History teacher is very enthusiastic, he will pass this enthusiasm on to his students,” 

* Ini adalah pendapat peribadi penulis

Comments