Opinion

Gerakan mahasiswa - politik nilai atau politik kekuasaan?

Zulhabri Supian

Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com).

25 DIS — Gerakan mahasiswa sebagai barisan ketiga di Malaysia? Persoalan ini sering dibangkitkan setiap kali berlabuh punggung di restoran mamak. Banyak yang merasa skeptikal dari yang merasa optimis dan ini tidak menghairankan kerana sejak adanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang digubal oleh kerajaan Malaysia dan diperkenankan oleh raja pada 27 April 1971, gerakan mahasiswa malap sekali. Sebaliknya mahasiswa pasca-AUKU terutama yang mengaji di universiti awam sangat terkenal dengan kehebatan di medan peperiksaan dan kelemahan di dalam medan kehidupan sebenar. 

Namun tanggal 17 Disember 2011 merubah skeptikal meninggi itu kepada sedikit harapan apabila Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) bersama hampir 500 orang seperti yang diberitakan, majoritinya mahasiswa berarak ke ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur bagi menuntut kebebasan akademik yang lebih besar di negara ini. Bantahan itu secara kebetulan serentak dengan perbincangan meja bulat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. 

Di dalam aksi bersejarah itu, SMM dan BEBAS menuntut pemansuhan AUKU dan Akta Institusi Pendidikan dan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang didakwa mencabul hak asasi. Ia dibuat bersama tuntutan lain melibatkan kebebasan akademik di universiti, hak terlibat dalam politik dan autonomi mahasiswa di kampus. Tambah heboh adalah tindakan seorang maha­siswa bernama Adam Adli Abdul Hamid yang telah menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kemudiannya memicu pandangan pro dan kontra masyarakat. 

Sebelum itu, harus diketahui bahawa SMM ditubuhkan pada tahun 2001 dan mula bergiat cergas pada tahun 2003 dengan membawa isu-isu mahasiswa seperti contohnya pada 2008, SMM menampilkan alternatif undang-undang yang diberi nama ‘Magna Carta’. Undang-undang tersebut adalah cadangan mahasiswa yang SMM masukkan ke dalam setiap peti surat Ahli Parlimen dan mereka menuntut dimansuhkan Auku dan Magna Carta sebagai ganti. Jadi aksi 17 Disember tersebut merupakan kesinambungan terhadap seluruh kerja yang telah dilakukan mereka selama ini. 

Namun tetap ada persoalan besar di sini iaitu adakah gerakan mahasiswa seperti ini akan berjaya menarik imaginasi majoriti mahasiswa seperti yang berlaku di Indonesia pada 1998? Mari kita semak apakah inti gerakan mahasiswa di sana? 

Gerakan Mahasiswa Indonesia 1998 adalah kemuncak gerakan mahasiswa dan gerakan rakyat pro-demokrasi pada dekad 90an. Gerakan ini menjadi fenomena kerana dianggap berjaya memaksa Soeharto berundur dari Jabatan Presiden Republik Indonesia pada tanggal 21 Mei 1998. Meskipun salah satu agenda perjuangan mahasiswa menuntut jatuhnya Presiden tercapai, namun banyak yang menilai agenda reformasi yang dituntut mahasiswa belum tercapai atau malah gagal hingga kini. Tuntutan-tuntutan mereka adalah; 

1- mengadili Soeharto dan kroni-kroninya 

2- melaksanakan pindaan UUD 1945 (Perlembagaan Indonesia) 

3- Penghapusan dwi fungsi ABRI (Angkatan Bersenjata Republik Indonesia) 

4- pelaksanaan autonomi daerah yang seluas-luasnya 

5- menegakkan kedaulatan undang-undang 

6- menciptakan pemerintahan yang bersih dari kronisme, kolusi dan nepotisme 

Meskipun gerakan mahasiswa di Indonesia semakin melemah akibat perampasan dan seterusnya pembelotan agenda mereka oleh ahli politik dengan kuda tunggangan mereka iaitu parti politik, Sondang Hutagalung telah menggemparkan Indonesia pada 7 Disember lalu dengan membakar dirinya di hadapan Istana Presiden di Jakarta Pusat dan kemudiannya meninggal dunia pada 10 Disember sebagai protes kepada pemerintahan Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang dianggap tidak memberi kebaikan kepada rakyat terbanyak. Soalnya sekarang adakah aksi mahasiswa undang-undang dari Universiti Bung Karno (UBK) itu akan memercik semula api kebangkitan gerakan mahasiwa melawan pemerintahan SBY dan seluruh parti politik di Indonesia? Kita tunggu dan lihat. 

Gerakan politik nilai melawan gerakan politik kekuasaan 

Meskipun begitu, ada suatu hal yang menarik dan elok dipelajari dan diaplikasikan gerakan mahasiswa di Malaysia dari saudara seberang kita. Seorang aktivis di Indonesia bernama Fadjroel Rahman pernah menulis bahawa gerakan mahasiswa di Indonesia membawa gerakan politik nilai kerena kepentingan pertama yang diperjuangkan mereka adalah nilai-nilai atau sistem nilai yang sifatnya universal seperti keadilan sosial, kebebasan, kemanusiaan, demokrasi dan solidariti kepada rakyat yang tertindas dan sangat waspada dengan gerakan politik kekuasaan yang menjadi ciri khas parti politik, dimana penetapan agenda dan matlamat politik mahupun pemilihan lawan dan kawan politik semata-mata sebagai urusan taktik dan strategi untuk memperkuat dan mengukuhkan posisi politiknya dalam percaturan merebut kekuasaan sekarang dan di masa depan. 

Adalah sangat penting untuk gerakan mahasiswa di Malaysia tidak terjebak dengan kancah politik kekuasaan atau politik kepartian Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat yang terlihat sangat menebal di dalam kampus terutama di kalangan aktivis mahasiswa. Meskipun tidak dapat dinafikan bahawa gerakan politik kekuasaan yang dibawa Pakatan Rakyat juga menjunjung tinggi politik nilai, hal ini tidak boleh dijadikan sandaran yang kuat untuk bersikap menyebelahi buta ke arah mereka. Lihat apa yang terjadi di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat? adakah politik nilai dijunjung tinggi mereka? Meskipun masih di tahap baik, ciri-ciri khas Barisan Nasional semakin hari semakin terserlah di sana sini walau masih sukar mengatasi Barisan Nasional tatkala ini. 

Tindakan SMM mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah berhubung isu KUIN wajar dipuji dan tindakan tidak memilih bulu seperti ini wajib dipertingkat supaya gerakan mahasiswa mempunyai kredibiliti yang tinggi di kalangan mahasiswa seMalaysia. Usah gentar dengan kecaman-kecaman dari parti-parti politik seandainya aktivis mahasiswa benar-benar serius membawa agenda mahasiswa dan masyarakat, lainlah kalau mereka sudah memasang niat menjadi calon wakil rakyat di atas kapasiti parti politik sedia ada. Harus ditegaskan bahawa pindaan atau pemansuhan AUKU sebenarnya ditakuti gerakan politik kekuasaan kerana hilangnya AUKU memungkinkan kembalinya gerakan politik mahasiswa berasaskan nilai yang sedia membungkam tidak kira siapa. 

Sebagai penutup, ada satu hal yang penting untuk gerakan mahasiswa kembali hidup dan segar di Malaysia iaitu kepentingan mengembalikan gerakan mahasiswa seperti dekad 60an dan 70an yang tidak dimonopoli gerakan mahasiswa Islam dan Cina totok. Gerakan mahasiswa wajib lebih inklusif merangkul semua golongan baik mereka itu kaki clubbing, kaki main judi, kaki futsal, kaki EPL, kaki gig, kaki Topman/Uniqlo, kaki Redbox, kaki pergaulan bebas, kaki memancing, kaki cari bapok dan bermacam-macam jenis kaki lagi yang semuanya tidak menyukai teriakan takbir membabi buta apatah lagi menghadiri usrah yang membosankan. Ingat! sebuah gerakan mahasiswa yang suka menentang konsert hiburan (bukan ‘hiburan Islam’) di dalam kampus mahupun luar kampus pastinya akan gagal dan wajib selamanya digagalkan. 

Segala pandangan yang diluahkan hanyalah pandangan peribadi penulis.

Comments