Opinion

LGBT: Ancaman negara?

Zulhabri Supian

Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com).

28 APRIL — Tanggal 21 April lepas kira-kira 1,000 orang berhimpun membantah amalan seks bebas dan anti LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual) di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).  Perhimpunan ini dianjurkan oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan turut disertai oleh 18 NGO termasuk Aman Kampus.

Intipati menarik di dalam perhimpunan tersebut sudah tentu semai kebencian seperti yang terserlah di dalam ucapan Presiden Alam Warisan, Azam Moktar,  "Today I withhold this keris. But if one day I can't tolerate anymore, I will use the keris against the enemy of this land."

Sementara itu pada hari yang sama, di Pulau Bali sedang berlangsung sebuah majlis pengumpulan dana untuk komuniti lesbian, L-Word Indonesia yang diadakan di sebuah kafe khusus untuk kelompok ini. Tidak ada yang istimewa di acara ini yang dibuat sempena memperingati hari Kartini melainkan sesi perkongsian cerita dan rintihan yang dihadapi mereka di dalam berhadapan dengan masyarakat.

Ketika menulis ini, saya baru selesai menghadiri tayangan dan diskusi filem pendek 'Sanubari Jakarta' di Bentara Budaya Bali. Lola Amaria bersama sembilan pengarah muda menggarap kompilasi filem pendek yang terinspirasi dari kisah-kisah realiti kehidupan cinta sesama jenis di Jakarta.  Filem berskala indie kerana menggunakan wang sendiri ini mengangkat 10 kisah tentang komuniti LGBT dan durasi setiap cerita adalah 10 menit.

Apa yang menarik, mahasiswa-mahasiswa dari universiti tempatan diundang untuk hadir dan turut serta dalam diskusi yang berlangsung hangat dan diselang seli gelak tawa. Hal ini sangat terbalik dengan apa yang berlaku di UPM di mana ruang universiti dan anak muda termasuk mahasiswa yang diundang didedahkan dengan ucapan-ucapan kebencian terhadap kelompok minoriti ini tanpa diwujudkan ruang perbincangan. Barangkali Islam Melayu Raja yang dianut kelompok ini melarang itu dan sebaliknya menghalalkan ancaman kekerasan.

Saya dan LGBT

Pengalaman pertama saya berhadapan dengan kelompok LGBT (kebanyakannya rakan homoseksual) adalah sewaktu berada di sekolah rendah di mana beberapa rakan dilihat cenderung menyerupai karakter wanita dan hal ini saya maklumi kerana ketika saya dan rakan-rakan menunjukkan sifat 'kelakian' dengan bermain bola sepak, mereka sibuk bermain congkak dan batu seremban bersama rakan-rakan wanita. Entah mengapa saya tidak pernah menghakimi rakan saya itu ketika kebanyakan yang lain sibuk mentertawa dan mengejek walhal saya adalah ketua pasukan bola sepak, mungkin kerana saya turut gemar bermain batu seremban dan timbul rasa memahami.

Beranjak ke sekolah menengah, saya tinggal di asrama lelaki sebuah sekolah agama di Kuala Selangor selama lima tahun dan di sini saya berhadapan dengan pelajar-pelajar LGBT yang lebih banyak barangkali kerana usia remaja adalah masa yang normal untuk mengeksplorasi seksualiti masing-masing. Bukan hal yang mengejutkan ada beberapa pelajar yang pura-pura menyukai wanita walhal pada faktanya melakukan hubungan seks dengan pelajar lelaki. Ada yang memang biseksual dan ada juga yang homoseksual. Seperti biasa saya menyikapinya dengan berlapang dada selagi mana pelajar tersebut tidak melakukan gangguan seksual terhadap saya dan bersikap hipokrit. Menariknya kelompok ini taat beragama seperti mana kelompok lurus dan salah seorang menjabat jawatan penting berkaitan hal ehwal pengurusan surau.

Melepasi zaman sekolah dan universiti, skop kerja saya yang sering berhubungan dengan komuniti seni mendedahkan kepada interaksi yang lebih luas dengan kelompok LGBT seperti aktivis yang aktif  dalam penganjuran Seksualiti Merdeka, Pang Khee Teik , penulis buku Azwan Ismail dan banyak lagi. Seperti biasa saya tetap menerima mereka seadanya tanpa sama sekali mengubah orientasi seks saya yang masih 100 peratus meminati wanita.

LGBT dan agama

Dalam Islam, ayat di Surah Al A'raf:80-84 dan Surah Hud:77-83 secara jelas berisi kutukan dan larangan Allah SWT terhadap mereka yang melakukan amalan homoseksual. Amalan homoseksual juga menjadi momok yang menakutkan di agama Kristian di mana Bible menyebutnya sebagai ibadah kafir yang lazim dikenali dengan nama ‘pelacuran kudus’. Ia sangat mengutuk dan mengecam pelakunya kerana bertentangan dengan moral.

Baru-baru ini negara-negara anggota OIC, kelompok Arab dan Afrika memilih untuk keluar ruangan sebagai bentuk protes sewaktu perdebatan mengenai hak-hak terhadap pelaku homoseksual di Dewan HAM PBB dilangsungkan. Hak kelompok pelaku homoseksual itu dibahas di PBB untuk pertama kalinya, sejak resolusi persamaan hak bagi semua orang diluluskan pada Jun 2011.

Imej dari filme Sanubari Jakarta.Imej dari filme Sanubari Jakarta.“Perilaku bermoral yang diusung berdasarkan konsep 'orientasi seksual' bertentangan dengan ajaran berbagai macam agama, termasuk Islam. Dari perspektif ini, menghalalkan homoseksual dan amalan seksual peribadi lainnya atas nama orientasi seksual adalah tidak dapat diterima bagi OIC,” kata delegasi Pakistan.

Sementara itu Musdah Mulia yang terkenal dengan kontroversinya, pernah mengeluarkan pernyataan bahawa homoseksual dan homoseksualiti adalah kelaziman dan dibuat oleh Tuhan, dengan begitu diizinkan juga dalam agama Islam. Siti Musdah melanjutkan bahawa sarjana-sarjana Islam sederhana mengatakan tidak ada pertimbangan untuk menolak homoseksual dalam Islam, dan bahawa larangan homoseks dan homoseksualiti hanya merupakan kecenderungan para ulama. Beliau berkata demikian di dalam sebuah diskusi yang diadakan di Jakarta pada Mac 2008.

Debat tentang itu baik dalam soal keagamaan mahupun perundangan antarabangsa saya serahkan pada yang pakar. Secara peribadi saya sedaya upaya ingin mengelak menulis tentang LGBT kerana persoalan ini sangat sensitif dan rumit terutama sebagai seorang penganut Islam. Namun setelah melihat aksi kebencian massa di UPM tersebut saya gagal menahan diri dan bersangka buruk bahawa mereka tidak mempunyai rakan atau ahli keluarga dan saudara yang berperilaku seperti itu. Seandainya mereka punya sekalipun, ajaran Islam 'songsang' yang menyemai kebencian terhadap orang bukan Islam dan kelompok LGBT inilah yang melahirkan perilaku hasut dan benci yang tidak manusiawi itu. Mungkin juga sejak dari kecil hingga dewasa mereka sudah terbiasa menghina manusia-manusia yang berbeza orientasi seksual ini. Saya percaya mereka bersikap seperti itu kerana dilahirkan lurus, andai saja mereka lahir berbeza nescaya mereka akan menginsafi luasnya penciptaan Tuhan.

LGBT dan Hedonisme

Dalam menyikapi LGBT, jangan kita terperangkap dengan berita sensasi pesta-pesta liar sebahagian kelompok LGBT dan memaknai LGBT semberono sebagai hedonis. Kaum hedonis bukan sahaja ada di kelompok LGBT bahkan lebih leluasa di kalangan kelompok lurus dan lucunya sering diwajarkan dan diterima kerana walaupun tetap 'berdosa', namun dosanya tidak sebesar LGBT.

Meskipun begitu kelompok LGBT harus bijak menggunakan strategi untuk menarik perhatian masyarakat terhadap perjuangan mereka yang majoritinya masih belum boleh menerima barangkali kerana 'nilai Asia' nya yang masih tebal. Saya percaya masyarakat seluruhnya sangat terbuka seperti yang terjadi di lapangan pekerjaan di mana kelompok LGBT diterima dan menguasai beberapa sektor kerjaya seperti wartawan/blogger hiburan, jurusolek dan sebagainya. Perjuangan memang memerlukan masa yang panjang dan di sinilah diperlukan karakter aktivis yang mampu bertahan atau istiqomah di dalam apa yang diperjuangkan.

LGBT jenayah?

Nah perjuangan selanjutnya inilah yang sukar dan mendapat banyak tentangan, perlindungan dari sisi undang-undang. Namun perbezaan tafsir atas kata 'undang-undang' untuk LGBT bak kata Pang Khee Teik ini wajar dicermati;

    "It occurred to me that while both sides of the debate referred to the laws this and the laws that, we actually meant completely different things. When we referred to “the laws”, we were thinking of an instrument that protects people. When some people refer to “the laws”, they were thinking of an instrument that punishes people. This disparity reveals the opposing philosophies: people as innocent until proven guilty vs people as inherently guilty, in need of control and guidance from the state. One’s justice is fairness, equality, protection of rights. Another’s justice is vengeance, a show of might, reminding the minorities to toe the line."

Barangkali kita harus memikirkan apa yang diperkatakan Lola Amaria, produser dan pengarah salah satu cerita 'Sanubari Jakarta' sewaktu sesi diskusi bahawa pemilihan tema tersebut bertujuan memperkenalkan kepada masyarakat bahwa ada komuniti LGBT di tengah-tengah mereka, bukan untuk menghakimi atau membela komuniti tersebut. Kerana ini juga pendidikan, saya dan teman-teman tidak mahu membuat filem yang menghakimi, tetapi bercerita. Siapa yang mahu dilahirkan berbeza, kita tidak mahu mereka dibeza-bezakan.

Tambah Lola, walau apapun hasil dari debat sekitar LGBT tidak akan boleh menutup satu hal yang paling mendasar iaitu cinta, "Kita tidak mungkin hidup tanpa cinta walaupun cintanya dari sudut pandang berbeza." Bagi saya pula, kita manusia tetaplah menjalankan kecintaan kita kepada Tuhan, manusia dan alam seluruhnya serta keadilan kepada semua dan serahkan kepada Tuhan untuk melakukan tugasnya nanti. Saya percaya dengan tidak membenci kita akan disayangi Tuhan, sebaliknya jika kita bersikap lebih dari Tuhan nescaya dunia akan musnah.

Ancaman negara yang sebenar adalah apabila masyarakat secara berjemaah mengiyakan kezaliman dan penindasan, menyemai kebencian dan mengancam dengan kekerasan,  menolak menggunakan hati nurani sihat, menghalalkan rasuah dan sepertinya. Ketahuilah juga bahawa jarang bahkan mungkin tiada satupun peperangan di dunia ini dikeranakan oleh LGBT, tetapi kerana ego kelakian, berebut wanita dan agama, ya.

 

Comments