Opinion

PAS untuk Bali?

5 MAC — PAS untuk Bali? Sesuatu yang tidak terbayangkan dalam fikiran. Sebuah parti bernuansa Islam mentadbir Bali yang majoriti Hindu. Sebelum menyimpang jauh, elok diterangkan bahawa “PAS untuk Bali” adalah slogan yang dicipta pendukung calon Gubernur dan calon Wakil Gubernur Bali, Anak Agung Ngurah Puspayoga dan Dewa Nyoman Sukrawan. PAS adalah akronim untuk pasangan dua calon tersebut.

Pasangan PAS diusung Parti PDI Perjuangan yang dipimpin Megawati dan kini lebih dikenali kerana ketokohan seorang Jokowi, Gubernur Jakarta yang dikagumi dunia termasuk di negara kita. Lawan pasangan PAS adalah Gubernur Bali berkuasa sekarang, I Made Mangku Pastika.

Seperti Malaysia, suhu politik di Bali semakin memanas menjelang pilihanraya Gubernur Bali yang akan diadakan pada 15 Mei nanti. Bali adalah salah satu dari 34 provinsi (negeri) yang membentuk Indonesia. Bali merupakan provinsi yang unik di mana majoriti penduduknya beragama Hindu dan sering dicemburui provinsi lain kerana popularitinya dan layanan manja yang diberikan kerajaan pusat Indonesia. Maka masuk akal komuniti Bali perantauan yang berjaya secara ekonomi dijadikan sasaran kemarahan seperti yang terjadi baru-baru ini di Lampung dan Sumbawa.

Belakangan, lebih tepat pasca-bom Bali pengukuhan identiti “Bali untuk Bali” semakin kuat kedengaran. Ajeg Bali yang bermaksud Bali yang kuat menjadi popular, sebuah konsep yang menyerupai Ketuanan Melayu Islam yang menjadi langganan umat Melayu Islam di Malaysia. Realitinya di mana-mana politik identiti seakan agama, mengalahkan agama itu sendiri.

Bukan tanpa alasan, Bali yang relatif aman dimusnahkan pengganas bersarung agama Islam dengan justifikasi yang mengada-ada. Bali yang sebelumnya bersahabat baik dengan pendatang dari luar mulai curiga dan memperketat peraturan. Saya sendiri menerima dampaknya dengan harus melapor kepada penguasa setempat selama tinggal di Bali, apatah lagi Malaysia dikenali di Indonesia sebagai negara pengeksport pengganas.

Bali merespon fundamentalisme Islam dengan fundamentalisme Hindu, suara azan sembahyang lima waktu untuk umat Islam yang kadangkala memekakkan telinga dengan sistem pembesar suara murahan ditiru persis. Begitu juga dalam aspek lain seperti pakaian upacara yang seakan menyerupai penganut Islam. 

Meski demikian fundamentalisme Hindu masih di peringkat luaran dan umumnya Bali masih bersahabat dengan agama-agama lain. Hanya saja pengukuhan politik identiti yang mengarah kepada Bali itu Hindu harus dikawal dan diurus. Jangan sampai organisasi samseng agama seperti Front Pembela Islam (FPI) diadoptasi Hindu Bali. 

Perihal samseng agama dan kaum ini sesungguhnya mengkhuatirkan dunia perpolitikan Malaysia. Pilihanraya umum ke-13 ini Malaysia akan bereksperimen dengan diri mereka. Malaysia akan berjalan mencari jalur barunya, baik menuju kepada Ketuanan Melayu Islam di bawah Kerajaaan Perpaduan Umno dan PAS, Liberal, progresif dan demokratik di bawah PKR, DAP dan parti-parti di Sabah dan Sarawak, kekal dengan politik stabil Barisan Nasional atau bermain dengan politik baru yang sifatnya eksperimental di bawah Pakatan Rakyat.

Satu hal pasti, jika pilihan pertama iaitu pengukuhan Ketuanan Melayu Islam di bawah panji Umno dan PAS menjadi kenyataan, nasib dunia perpolitikan Malaysia cenderung akan memburuk, lebih buruk dari Bali. Suara-suara teriak keras penentang Ketuanan Melayu Islam yang berkumandang pasca-2008 seakan menjadi kunci kepada percepatan sebuah negara Malaysia yang dominan Melayu Islamnya.

Teriakan lupa diri kelompok anti-Ketuanan Melayu Islam memberikan sebab untuk kelompok garis keras agama dan kaum meneruskan hegemoni mereka. PAS mungkin tidak sesuai untuk Bali, tetapi PAS adalah parti penentu masa depan negara dan PAS dengan satu alasan sahaja boleh berubah menjadi PAS untuk Malaysia, dan bersama-sama Umno pastinya. 

Model Bali mengakomodasi semua kepentingan dan menerima budaya Bali Hindu sebagai teras dan budaya-budaya lainnya dengan terbuka. Pemain politik di Malaysia barangkali harus belajar ini, menerima hakikat bahawa teras budaya Malaysia adalah Melayu Islam dan pada masa yang sama mengakui hak semua warganya termasuk mereka yang bukan Melayu Islam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

 

Comments