Opinion

PRU ke-13: Harapan perubahan

Zulhabri Supian

Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com).

1 NOV — Memasuki bulan November teka teki tarikh pilihanraya umum (PRU) ke-13 terus hangat berlangsung. Setiap rakyat Malaysia baik yang peduli atau tidak peduli politik terus memperkatakannya; bila? siapa bakal menang? siapa bakal PM baru? dan seterusnya. Apa yang pasti dalam tempoh 6 bulan ini, Parlimen dan seluruh dewan undangan negeri kecuali Sarawak wajib dibubarkan untuk sebuah pesta demokrasi bernama pilihanraya.

Keputusan PRU 2008 yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) dinafikan majoriti 2/3 buat pertama kali dan kemenangan parti-parti pembangkang (kemudian Pakatan Rakyat (PR) di 5 buah negeri membawa politik Malaysia ke dalam arena baru di mana harapan rakyat terhadap negaranya kembali memulih dan kesedaran politik rakyat yang semakin tinggi. Meski sistem pilihanraya masih dilihat tidak adil dan bebas yang kemudiannya melahirkan gerakan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, secara umum rakyat masih menaruh kepercayaan. Begitu juga dengan PR dan parti pembangkang lainnya.

Sejak mengikuti PRU secara sedar mulai 1999 dan berdasarkan pembacaan sejarah PRU pertama hingga kesembilan, saya meyakini PRU ke-13 bakal menjadi yang terhebat dalam sejarah negara. Buat pertama kali rakyat Malaysia dihidangkan dengan prospek penggantian kerajaan yang bukan Barisan Nasional. Meski ramai juga yang meragui termasuk di kalangan pendukung PR kerana menganggap sistem pilihanraya yang masih cacat, hati nurani pengundi yang akhirnya akan menentukan jatuh bangun. Harus diingat, PRU 2008 adalah waktu di mana para penganalisa politik, aktivis dan pekerja politik tewas kepada hati nurani pengundi yang berani membuat perubahan tanpa heboh.

PRU 13 dan negara jiran

Jika PRU 2008 tidak begitu diendahkan jiran dekat kita, Singapura dan Indonesia, PRU ke-13 akan berbeza sama sekali. Sepanjang enam bulan di Indonesia, soalan tentang adakah Anwar Ibrahim akan menjadi PM dan parti pembangkang (PR) akan memerintah sering dilontarkan. Banyak kalangan terutama di kelompok aktivis bahkan rakyat biasa Indonesia yang sangat teruja melihat prospek perubahan kepimpinan di Malaysia.

Melihat lebih dalam, keterujaan mereka sangat didorong oleh media-media besar di sana seperti Kompas dan Tempo yang dilihat cenderung positif terhadap Anwar Ibrahim berbanding PM Najib Razak dan BN. Kedekatan Anwar Ibrahim dengan Indonesia sejak zaman mahasiswa hingga menjadi pemimpin nombor dua di Malaysia dilihat sebagai penyebab yang melatari hubungan baik tersebut di samping sang Anwar adalah ikon reformasi Malaysia. 

Dalam sisi lain, hubungan Indonesia dan Anwar Ibrahim yang baik didasarkan kepada semangat reformasi di mana kebanyakan pemimpin di dalam kerajaan Indonesia sekarang adalah bekas aktivis reformasi 1998. Kedekatan semangat ini yang membuat mereka akrab, juga di kalangan aktivis pejuang demokrasi dan hak asasi manusia di Malaysia dan Indonesia kini. Soal sama ada mereka telah melacur dan mengkhianati perjuangan reformasi di Indonesia untuk sebuah kuasa adalah perkara lain.

Rata-rata kelompok yang pro-perubahan atau pro-Anwar Ibrahim di sini ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara kaya baru yang lebih manusiawi terhadap abangnya yang ditinggalkan secara ekonomi. Sebut saja isu Tenaga Kerja Indonesia (TKI), perebutan wilayah, kezaliman Polis, isu budaya dan banyak lagi, mereka mahukan kerajaan Malaysia yang menyanjung semangat serumpun dalam erti kata sebenar. Indonesia mahukan Malaysia makmur yang sederhana, manusiawi dan tidak sombong, harapan mereka adalah Anwar Ibrahim.

Singapura

Ahad lepas saya hadir ke Festival Filem Kebebasan 2012 (FFF2012) siri Singapura yang dianjurkan Function 8 Ltd dengan kerjasama NGO Malaysia, KOMAS. Salah satu program adalah tayangan 3 filem pemenang; “Rights of the Dead” oleh Tricia Yeoh, “M-C-M: Utopia Milik Siapa?” oleh Boon Kia Meng dan “The Silent Riot” oleh Nadira Illana. Sewaktu soal jawab bersama Yeoh dan Boon, banyak soalan tentang politik Malaysia dan arah tujunya selepas PRU dari kalangan audien Singapura yang memadati lokasi acara di The Substation.

Salah satu pandangan dari audien asal Singapura menarik perhatian saya, iaitu tentang sentimen keMalaysiaan yang kuat di kalangan rakyat Malaysia keturunan Cina yang menetap di luar negara dan ini segera dijawab Yeoh yang mengatakan keputusan PRU 2008 mengubah banyak hal terutama tentang harapan yang kembali memancar. Kia Meng menambah bahawa ramai di kalangan teman-teman berbilang bangsanya menunda hasrat berhijrah disebabkan harapan itu. Harapan yang diwar-warkan sudah tentu untuk melihat Malaysia jauh lebih baik dari apa yang ada sekarang dan sememangnya dengan segala sumber kekayaan yang ada Malaysia wajib lebih baik. 

Namun begitu menarik untuk diperhatikan apakah reaksi rakyat dan kerajaan Singapura seandainya terjadi perubahan di Malaysia. Adakah rakyat Singapura akan menuntut perubahan dengan segala kemajuan ekonominya yang dalam sisi lain adalah pendorong utama kepada hasrat perubahan di Malaysia? Adakah kerajaan Singapura yang dipimpin PAP akan menekan butang kecemasan menyedari undi popularnya yang merosot di PRU lepas tidak akan berubah menjadi sebuah kekalahan yang tidak terbayangkan selama ini? 

Singapura sangat rumit untuk diramal kerana kondisi ekonomi, politik dan sosialnya mengalami perubahan drastik semenjak berpisah dengan Malaysia. Meski dekat, Malaysia dan Singapura jauh dalam banyak hal walau tidak menolak kemungkinan perubahan mampu terjadi dalam bermacam-macam situasi. Sejarah dunia moden mengajar kita bahawa tidak ada satu resepi bagi semua untuk terjadinya perubahan dan kejatuhan. 

Perlahan tapi pasti, perubahan di Malaysia jika terjadi akan mengubah banyak hal di tiga buah negara ini. Malaysia yang cekap diurus mudah-mudahan akan membawa pulang pekerja mahir dan profesional yang mencari rezeki di Singapura seterusnya tidak menganggu rezeki rakyat di sana. Malaysia yang manusiawi akan mendorong Indonesia memfokuskan usaha pembangunan ekonominya tanpa terjejas dengan sentimen nasionalisme tidak rasional yang gemar dimainkan segelintir pihak di sana.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments