Opinion

Zulfahmi dan Hafizh harapan baru Malaysia

Zulhabri Supian

Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com).

25 OKT — Sejarah besar sukan pemotoran Malaysia tercipta di GP Motosikal Malaysia 2012 apabila pelumba kelas Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin berjaya menaiki podium tempat kedua. Setelah mencuba dari awal musim, akhirnya Zulfahmi berjaya melakukannya di hadapan 77,000 penonton yang membanjiri Litar Sepang. Kejayaan menaiki podium ini adalah yang pertama buat pelumba Malaysia dan juga pelumba Asia bukan Jepun.

Tidak cukup dengan itu, perlumbaan Moto3 yang dilangsungkan lebih awal rupanya bukan penamat kepada penciptaan sejarah apabila pelumba wildcard negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang berlumba di dalam kelas Moto2 mencatat prestasi luar biasa menamatkan saingan di tangga keempat. Bahkan Hafizh sempat mendahului perlumbaan beberapa pusingan dan tunggangan cemerlangnya telah membikin gamat di Litar Sepang. Kejayaan Hafizh ini merupakan keputusan paling cemerlang pernah dicapai oleh pelumba wildcard negara. 

Sejak pertama kali menonton GP Motosikal Malaysia pada 1996 di Litar Shah Alam hingga kini, edisi 2012 sangat memberi kepuasan kerana dua hal, pertama tentunya prestasi kedua-dua pelumba negara tersebut dan kedua, kehadiran penonton yang mencipta rekod kehadiran tertinggi dalam sejarah GP Motosikal di Malaysia. Saya masih ingat beberapa tahun lalu Dorna, selaku pemegang hak perlumbaan ada memberi kata dua kepada SIC selaku penganjur untuk menarik semula kehadiran penonton atau jika tidak, hak penganjuran tidak diperbaharui. Untuk ini sekalung penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali atas segala usaha yang dilakukannya.

Tidak mudah sebenarnya untuk mencapai apa yang dikecapi tanggal 21 Oktober lalu melainkan usaha berterusan dan kesabaran. Zulfahmi dan Hafizh bukan muncul secara tiba-tiba melainkan melalui proses pembinaan fasa demi fasa yang telah dirancang terdahulu.

Di sini, saya ingin menelusuri impak ekonomi, politik dan sosial dari hasil kejayaan mereka berdua.

Ekonomi

Polisi menggalakkan pemilikan kereta dengan akses kredit yang mudah bagi menyokong pembuat kereta negara, Proton dan Perdoua menyebabkan penggunaan motosikal menjadi sesuatu yang bertaraf rendah secara ekonomi. Peminat motosikal yang majoriti menunggang motosikal kapcai berkuasa rendah disulitkan dengan cukai yang tinggi dan akses kredit yang ketat untuk memiliki motosikal berkuasa besar. Faktanya mereka mampu secara ekonomi jika prosedur memilikinya dimudahkan seperti mana membeli kereta berjenama Perodua. 

Peminat motosikal yang sebahagiannya terlibat dalam aktiviti rempit dimarjinalkan secara tidak sedar oleh kerajaan yang mengutamakan kereta. Sangat menghairankan kerana sejak GP Motosikal berlangsung pertama kali di Malaysia pada 1991, tiada usaha serius dari kerajaan untuk menyokong dan mendorong peminat motosikal untuk tidak sekadar menjadi penonton kepada pelumba luar negara. 

Seharusnya kerajaan dari dahulu sedar akan potensi yang boleh dimainkan oleh GP Motosikal di Malaysia dengan mencipta Proton versi motosikal atau paling tidak, mengundang pembuat-pembuat motosikal berkuasa besar membuka kilang di Malaysia seterusnya merakyatkan harganya. Sudah saatnya peminat dan juga pengguna motosikal diberi pilihan harga mampu milik untuk membeli motosikal berkuasa besar yang jauh lebih selamat dalam semua aspek. 

Semoga kerajaan Malaysia akan memberi perhatian terhadap nasib peminat dan pengguna motosikal dengan menurunkan harga motosikal berkuasa besar, jangan hanya harga kereta sahaja. Saya percaya langkah ini akan membantu sedikit sebanyak dalam mengurangkan kadar kematian di kalangan pengguna motosikal yang tinggi akibat ciri keselamatan motosikal kapcai yang rendah.

Sosial

Mat Rempit termasuk juga Mat Motor (lebih beradab) yang sering dihina dan dikeji pastinya mendapat suntikan semangat kerana Zulfahmi dan Hafizh dilihat dekat dengan mereka secara emosi. Bahkan banyak Mat Rempit turut hadir ke Litar Sepang memberikan dukungan.

Jika selama ini anak-anak muda yang bercinta dengan motosikal dipandang serong, Zulfahmi dan Hafizh telah membuktikan bahawa tidak salah mencintai dunia motosikal dan menjadikannya sebagai kerjaya seperti mana cita-cita tipikal kebanyakan orang untuk menjadi doktor, jurutera, peguam dan sebagainya. Sudah saatnya menjadi pelumba motosikal  adalah cita-cita yang tipikal atau biasa.

Hanya saja jangan terjun ke dunia gelap motosikal sebaliknya masuklah ke dunia halal yang disediakan seperti Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang diselenggara setiap tahun. Semoga kejayaan Zulfahmi dan Hafizh akan merangsang banyak mat rempit dan mat motor untuk memulakan langkah awal kepada sesuatu yang besar baik di Cub Prix atau perlumbaan lain. 

Tidak mustahil tahun-tahun mendatang setiap kelas GP Motosikal Dunia akan dipenuhi aksi potong memotong sesama pelumba Malaysia berbeza pasukan seperti mana dilakukan pelumba dari Itali, Sepanyol, Perancis, Jerman dan Jepun selama ini. Saya percaya ini akan berlaku jika semua pihak berganding bahu dan serius kerana di Malaysia sudah terbukti hasil akan diperolehi jika tidak setengah hati, lihat sukan terjun dan lumba basikal sebagai contoh.

Politik

Oleh kerana pilihanraya umum bakal menjelang, sangat menarik untuk diperhatikan apa yang akan terjadi kepada dunia pemotoran setelah kerajaan baru nantinya dipilih. Tidak seperti di Eropah, sukan pemotoran di Malaysia masih memerlukan dukungan kuat kerajaan yang memerintah kerana sukan ini belum menjadi budaya kerana pembabitan kita yang masih tergolong baru.

Khabar gembira hadir apabila mStar Online (Oktober 22) melaporkan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan bercakap mengenai kejayaan Zulfahmi dan Hafizh itu di peringkat yang lebih tinggi agar sukan permotoran diberi perhatian yang lebih serius. Kita tunggu saja apa hasilnya.

Di pihak Pakatan Rakyat (PR), saya sendiri tidak tahu pendirian atau apa yang akan dilakukan mereka sekiranya memerintah nanti. Apa nasib kontrak penganjuran GP Motosikal Malaysia, Formula 1, Litar Sepang dan yang berkaitan tidak dapat dipastikan barangkali mereka sedang sibuk untuk mendapatkan kuasa terlebih dahulu. Sudah menang baru cerita agaknya. 

Apa sekalipun baik Barisan Nasional atau PR, silalah mendukung terus sukan pemotoran kerana setelah 22 tahun kita akhirnya berada di landasan yang benar untuk sesuatu yang lebih besar. Jangan disia-siakan peluang ini dan satu saja amaran, berikan dukungan terutama dalam bentuk wang dengan telus. Itu sahaja, jujur kunci segalanya. Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin membawa harapan baru Malaysia terutama kepada generasi muda untuk berani dan hidup dengan cita-cita mereka. Membawa harapan negara jangan dikecilkan skopnya  dengan ahli politik sahaja, kita semua boleh.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments