The Malaysian Insider

bahasa

DAP dan PAS hantar mesej bercampur-aduk dalam isu kalimah ‘Allah’

KUALA LUMPUR, 26 Dis — Dalam perdebatan mengenai isu kalimah “Allah”, PAS hari ini menyatakan masyarakat Kristian tidak wajar menggunakannya sebagai merujuk kepada tuhan mereka dalam Injil tetapi DAP pula bertegas bahawa Kristian di Malaysia Timur dibenarkan menggunakan kalimah tersebut.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini berkata kalimah “Allah” dalam Alkitab, terjemahan Injil bahasa Melayu tidak akan mencerminkan maksud asal ayat tersebut.

“PAS berpendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan Tuhan dan bukannya Allah untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.”

Beliau juga berkata kedua-dua Kristian dan Islam mungkin terkeliru apabila kalimah “Allah” digunapakai dalam Alkitab.

“Memandangkan Bible Bahasa Melayu adalah terjemahan dari teks asal bahasa Inggeris, maka sewajarnya istilah God tidak bermaksud Allah, kerana terjemahan tepat ialah Tuhan.

“Maka sewajarnya ia diterjemahkan menurut maksud asal. Manakala menterjemahkan God dengan Allah akan mengelirukan penganut Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam serta boleh mengelirukan orang Islam,” kata beliau.

Tuan Ibrahim berkata “Allah” adalah nama suci kepada orang Muslim dan harus digunakan sewajarnya.

“Sehubungan itu, permintaan untuk menggunakan nama Allah dalam terjemahan Injil bahasa Melayu tidak wajar, bahkan di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada ‘God’ samada dalam pertuturan, penulisan atau filem.

“Perkataan yang sering digunakan ialah ‘Lord’,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng menimbulkan kembali isu kontroversi kalimah “Allah” dalam perutusan sambutan Krismasnya.

“Atas alasan ini, DAP gesa kerajaan pusat BN untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Injil bahasa Melayu memandangkan ia telah dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan digunapakai di Timur Tengah hampir seribu tahun,” kata Lim dalam satu kenyataan bertarikh pada 24 Disember.

Walaubagaimanapun, pembantu setiausaha publisiti DAP, Zairil Khir Johari hari ini mendakwa kenyataan Lim diputar-belit kerana ketua menteri Pulau Pinang hanya meminta Putrajaya tidak menafikan hak masyarakat Kristian di Timur Malaysia untuk menggunakan kalimah “Allah”.

Menurut Zairil, beberapa laporan engaja menuduh Lim menggesa kerajaan pusat untuk membenarkan masyarakat Kristian di semenanjung Malaysia untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam Alkitab.

“Beliau hanya meminta agar ia dibenarkan dalam kitab Injil versi bahasa Melayu yang digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

“Lagipun, kitab Injil versi bahasa Melayu hanya boleh didapati di Sabah dan Sarawak dan bukan di semenanjung Malaysia.

“Maka, langsung tidak timbul persoalan penggunaan kalimah “Allah” di Semenanjung Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Zairil menekankan kalimah “Allah” biasanya digunakan oleh masyarakat Kristian di negara jiran Indonesia dan telah digunakan selama berdekad oleh Kristian Bumiputera di Malaysia Timur yang diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Masyarakat Kristian di Malaysia terdiri daripada 9.2 peratus daripada keseluruhan 28.3 juta populasi rakyat Malaysia, dimana kebanyakkan mereka di Malaysia Timur menggunakan bahasa Melayu dan kalimah “Allah” untuk merujuk kepada tuhan mereka.

Namun, tahun kebelakangan ini masyarakat Kristian dan Muslim terlibat dalam satu pertelingkahan melibatkan penggunaan kalimah “Allah”, apabila pihak satu lagi mendakwa bahawa kalimah tersebut adalah eksklusif kepada mereka atas alasan Islam adalah monoteistik dan kalimah “Allah” merupakan tuhan kepada orang Muslim.

Isu kalimah “Allah” sehingga kini masih tidak dapat diselesaikan memandangkan Gereja Katolik masih dihalang daripada menerbitkan kalimah tersebut dalam akhbar minggu mereka walaupun keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 memihak kepada mereka.

Hal ini kerana Kementerian Dalam Negeri membuat rayuan pada 2010 menentang keputusan Mahkamah Tinggi yang kemudiaannya terhenti begitu sahaja tanpa sebarang tarikh ditetapkan untuk sesi pendengaran.

Tahun lepas, penghantaran Alkitab, Injil berbahasa Melayu untuk pengguna bumiputera Kristian dihalang dan dirampas di pelabuhan sebelum kerajaan terpaksa tunduk kepada tekanan orang ramai dan membenarkan penghantaran tersebut.