KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Polis Negeri Sembilan telah menahan empat remaja berusia 16 hingga 18 tahun awal hari ini berhubung kejadian surau di Taman Impian Pulai Impian, Seremban disimbah dengan cat merah awal pagi semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, remaja Cina terbabit telah bertindak demikian ekoran salah faham dengan anggota surau tersebut.
“Mereka bermain mercun sehari sebelum itu dan telah diminta supaya tidak berbuat demikian oleh mereka dari surau,” kata Osman pada sidang media di Seremban hari ini.
“Ini bukan isu perkauman ataupun isu agama,” kata beliau.
Osman menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan nakal ekoran salah faham yang kecil.
Osman juga berusaha meredakan isu itu dengan berkata, serangan itu tidak menyebabkan kerosakan besar kepada surau.
Kata beliau, salah seorang suspek tidak bekerja.
Surau yang tidak berpagar itu baru digunakan pada 24 Julai lepas dan disimbah dengan cat merah dan dibaling dengan botol arak.
Pengerusi jawatankuasa surau itu, Mohd Hasbi Ismail, berkata kejadian itu disedari oleh jemaah surau semasa solat subuh pagi semalam dan memaklumkan kepadanya.
“Kejadian ini saya rasa berlaku antara 3.30 pagi dan 4 pagi dan saya telah membuat laporan polis secara rasmi,” katanya semalam.
Mohd Hasbi berkata selain empat botol arak dibaling di hadapan bangunan surau, terdapat kesan cat warna merah di dinding, lantai dan pintu cermin bahagian kanan surau.