
Maka sekali gus saya, Jasmine Koh, Nurul Fadzillah dan Izan Ali tidak lagi menjadi ‘back packers’ yang diiringi Tan See Hua selaku pemandu pelancong meneroka kehidupan sebenar masyarakat bawahan serta destinasi pelancongan budaya tradisi masyarakat China. Kami menjadi sebahagian daripada sekitar 40 pelancong Malaysia yang tinggal di sebuah hotel mewah serta bergerak ke destinasi pelancongan menaiki bas yang disewa khas.
Serta-merta kami berempat merindui pengalaman menaiki bas, teksi dan kereta api bawah tanah serta mendengar penjelasan panjang lebar dan penuh teliti oleh See Hua bagi setiap tempat dikunjungi dan perkara diperhati.
Dalam rombongan pelancongan ini, saya sempat bertemu dengan enam individu yang sejak awal amat menonjol sebagai kumpulan ‘enam sekawan’ yang lantang bersuara dan sentiasa mengutarakan pandangan serta soalan kepada pemandu pelancong.
Hakimi yang lebih mesra dengan panggilan Kimie adalah pakar andaman dari Kajang dan dia datang bersama salah seorang pekerjanya, Hafiz.
Sky Lim dan Nurul pula rakan sekerja di sebuah kilang elektronik di Pulau Pinang manakala Ida @ Angel yang bekerja di jabatan sumber manusia Toyota, Shah Alam datang bersama Fad dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), juga tinggal di Shah Alam.
Dalam perjalanan menuju ke Tembok Besar China, saya sempat berbual-bual bersama mereka mengenai pengalaman mereka selepas sehari berada di Beijing.
Bagi keenam-enam mereka, ini adalah kali pertama datang ke China.
Kimie menjelaskan bahawa setiap tahun, mereka akan mengambil cuti tahunan secara serentak dan melancong ke luar negara.
Pada masa sama, setiap bulan, mereka memperuntukkan masa untuk melancong ke tempat-tempat yang diminati di Malaysia.
Bagi mereka, tempat yang wajib dikunjungi jika ke Beijing khasnya dan China amnya adalah Tembok Besar China yang merupakan satu daripada tujuh keajaiban dunia.
Satu lagi perkara yang pasti mahu mereka lakukan selama enam hari di sini adalah membeli-belah. Saya percaya bahawa ‘impian’ kedua ini tidak akan menghadapi sebarang masalah kerana pakej pelancongan yang mereka sertai memang memberi ruang yang cukup luas bagi membeli-belah di begitu banyak tempat.
Sky Lim menjelaskan bagi pihak rakan-rakannya bahawa mereka mahu benar-benar berjalan-jalan di tempat orang untuk mengenali budaya tempatan, bertemu penduduk sekitar Beijing dan menghayati tradisi bangsa China.
Bagi memastikan bahawa objektif kunjungan mereka tidak terganggu, keenam-enam individu ini mematikan telefon bimbit serta tidak membeli kad SIM telefon tempatan.
“Kami tidak mahu ada gangguan daripada rakan sekerja dan kenalan di Malaysia sepanjang kami menenangkan fikiran dan menimba ilmu serta pengalaman di Beijing,” kata Nurul yang mesra.
Kesemua mereka juga mengakui bahawa mereka tidak melakukan apa-apa rujukan atau mencari maklumat terperinci mengenai sejarah Beijing, budaya orang China dan sebagainya walaupun percutian ini sudah dirancang beberapa bulan lalu.
“Apa yang kami cari dan harapkan adalah adventure. Atas sebab itulah kami tidak mahu datang dengan segala persiapan awal yang mungkin menjadikan pelancongan kami hanya seperti acara berjalan-jalan makan angin tanpa ada apa-apa nilai tambah seperti yang kami impikan,” ulas Ida pula.
Walaupun rombongan pelancongan pada hari pertama tidak memenuhi kriteria ‘adventure’ seperti yang mereka impikan, mereka berenam tetap tidak menyesal.
“Ini baru masuk hari kedua dan kami yakin bahawa masih ada banyak pengalaman menarik yang menanti kami di Beijing. Kami sebenarnya seronok kerana dapat sama-sama menyertai rombongan pelancongan ini,” Hafiz yang berumur 20 tahun dan sedikit pemalu menjelaskan.

“Memang ada sedikit kejutan budaya, misalnya kerana tandas-tandas di sini tidak disediakan air dan perkara ini sedikit menyulitkan kita sebagai pelancong dari Malaysia,” ujarnya.
“Tapi kami faham bahawa apabila berada di negeri orang, kita tak boleh mengharapkan semuanya sempurna dan tepat memenuhi cita rasa kita. Apabila kami sudah putuskan untuk ke Beijing, kami datang saja dan bersedia menghadapi apa saja cabaran,” pintas Kimie yang bersuara lantang.
Tentu sahaja saya, Jasmine, Fadzillah dan Izan sependapat dalam hal ini kerana kami juga berpendirian demikian serta begitu menghargai pengalaman penuh cabaran sepanjang empat hari pertama kami di Beijing.
Memandangkan enam rakan berkenaan juga bercadang meluangkan masa membeli-belah, mereka rasa lebih terjamin kerana Sky Lim adalah individu kaum Cina dan dia lancar berbahasa Mandarin.
“Kehadiran Sky pasti memudahkan komunikasi kami bersama peniaga tempatan, khususnya dalam urusan tawar-menawar harga,” kata Ida yang turut menggunakan nama timangan Angel.
Saya sempat berbual-bual sekali lagi bersama Kimie, Sky Lim, Hafiz, Nurul, Ida dan Fad dalam perjalanan pulang selepas mendaki Tembok Besar China.
Mereka mengakui bahawa pengalaman itu amat menakjubkan serta mengujakan.
“Kami sebenarnya masih belum puas kerana masa yang diberikan amat terhad. Kalau boleh, kami mahu datang semula ke sini untuk meluangkan lebih banyak masa mendaki dan menghayati keunikan salah satu keajaiban dunia ini,” Nurul mengakui.
Tidak mustahil bahawa pada 20 Julai, selepas membeli-belah, kumpulan enam rakan ini akan mendaki semula Tembok Besar China sebelum penerbangan pulang ke tanah air pada keesokan harinya.