The Malaysian Insider

Bahasa

India dakwa penjenayah warga Malaysia Soosai esok

Sep 03, 2010

CHENNAI, 3 Sept — Rakyat Malaysia Michael Soosai, yang ditangkap di Tamil Nadu baru-baru ini kerana disyaki melakukan penipuan dan pembunuhan, mungkin dihadapkan ke mahkamah majistret Coimbatore esok.

Sumber polis berkata, lelaki berkenaan dijangka dikenakan tiga tuduhan menipu di bandar raya Coimbatore melibatkan RM80,000 dan satu tuduhan membunuh.

Tiga anaknya ditempatkan di rumah juvana, manakala isterinya ditahan di sebuah penjara di bandar raya ini.

Bercakap kepada Bernama hari ini, Penolong Pesuruhjaya Polis Coimbatore M. Selvarajan berkata soal siasat sedang dijalankan dan setakat ini, Soosai mengaku mengambil wang dan barang kemas daripada mangsanya, tetapi menafikan dia menipu mereka.

“Soosai berkata dia akan mengembalikan barangan berharga mereka, tetapi tidak menjanjikan sebarang tarikh untuk berbuat demikian.

“Dia mengaku bahawa dia adalah Michael Soosai dan mempunyai keluarga di Malaysia,” kata pegawai polis itu.

Soosai, 47, didakwa terlibat dengan pembunuhan N. Subramaniam, pemandu lori dari Malaysia di Selatan India pada 2004 berikutan krisis rumah tangga.

Setelah menjejaki suspek selama hampir tiga bulan, polis Coimbatore mengerahkan Pasukan Pencegahan Jenayah Siber menangkap Soosai yang telah Berjaya mengelakkan diri daripada dicekup polis Malaysia selama hampir satu dekad.

Polis Coimbatore menagkap lelaki itu serta isterinya Rajeswari di sebuah bilik hotel di Chennai, Khamis lepas.

Sumber polis di Tamil Nadu berkata penjenayah kolar putih itu mungkin terlibat dalam hampir 20 kes penipuan lain dan kebanyakan mereka yang menjadi mangsanya ialah pencari kerja dari India.

Modus operandinya ialah mengumpan mangsa supaya datang ke hotel dan menjanjikan peluang pekerjaaan dengan gaji lumayan sebelum melesapkan wang atau barangan berharga mereka.

Sejak melarikan diri dari Malaysia, penipu licik ini dipercayai bersembunyi di Selatan India dan sering menjalankan operasinya di negeri Andhra Pradesh. — Bernama